Bila Malam Bulan Mengambang

2.7K 218 42
                                    

Pagi itu cuaca di Kampung Sri Rampai agak baik dan tenang seperti biasa. Di sebuah warung yang bernama Warung Haji Soad, sedang duduk beberapa orang kampung untuk bersarapan. Di pagi Sabtu begini biasanya orang yang datang bersarapan lebih ramai daripada hari biasa. Haji Soad tidak menang tangan sedikit, mujurlah ada anak cucu yang datang membantu di warung.

Kampung Sri Rampai yang poplulasi penduduknya tidak sampai lebih 300 orang ini terletak di muka bumi yang agak berbukit bukau sedikit. Tambahan pula tidak banyak fasiliti moden dan juga jalan raya utama terletak di kampung ini. Rata-rata penduduk hanya berkerja kampung, disebabkan itu populasi penduduk kampung tidak terlalu ramai oleh kerana yang muda-muda dan belia-belia sudah berhijrah ke bandar. Mana mereka mahu bekerja kampung, berkotor-kotor berlumpur-lumpur.

Di sebuah meja yang terletak paling tepi sekali, terdapat 3 orang lelaki dalam usia lingkungan 40 hingga 50an sedang duduk melepak sambil bersarapan. Mereka ialah Ghani, Wahid Sepat, dan juga Azman Kayu. Kemudian datang lagi seorang rakan mereka. Jika empat-empat ni tak ada bagai tak cukup korum. Bagai makan nasi lemak tak ada sambalnya. Begitulah rapatnya mereka empat sekawan.

“Haji! bagi nescafe tarik satu, tapi nak suam.”

Man Jali mengibas-ngibas bangku kayu dengan topinya sebelum duduk. Diletak beg kerjanya yang berisi pisau toreh getah di sisi meja.

“Aik, Man Jali.. Sabtu-sabtu pun kerja ke?” Haji Soad mengerling daripada dapur.

“Iya lah, Haji. Kerja sendiri macam ni lah. Kalau tak kerja karang, apa nak dibagi makan dekat anak bini.” Man Jali menyalakan sebatang rokok gulung sementara menunggu nescafe tarik suamnya siap. Asap rokok berkelun-kelun naik ke wajahnya.

Ghani menjeling ke arah Man Jali, Man Jali pula buat tak tahu, manakala rakan-rakannya yang lain hanya menyengih. Man Jali dengan pantas tanpa rasa bersalah mengambil rokok yang baru disiap gulung oleh Ghani. Dah memang tabiat Ghani akan menggulung dahulu dua tiga batang sebelum menghisap. Dan dah juga memang tabiat Man Jali suka merembat rokok Ghani. Kawan-kawan semua dah faham.

Gelas kaca bersaiz sederhana berdenting saat Haji Soad mengacau bancuhan nescafe. Baunya harum semerbak memenuhi ruang dapur. Sambil mengacau matanya melirik pada jam di pergelangan tangan. “Pukul 8.10 pagi dah, matahari pun nak terpacak. Menoreh apa si Man Jali ni? Biasanya orang menoreh awal-awal pagi selepas subuh.” Ujar Haji Soad dalam hati. Nak ditegur takut kecil hati pula nanti si Man Jali.

Mereka berempat berborak sakan sambil mengarut di sana sini, sampaikan gelas nescafe yang Haji Soad letak di meja pun Man Jali boleh tidak perasan. Begitulah empat orang sahabat ini. Akrab. Bagai roti dengan jem, bila makan roti sahaja tak sedap, bila makan jem sahaja juga tak sedap. Mesti nak kena makan digabungkan kedua-duanya, baru lah sedap padu dan umph.

Sementara itu di meja kaunter, Haji Soad tersenyum menjeling sahaja pada Man Jali yang mengetuai sesi berborak. “Nampaknya tak jadi Si Man Jali ni nak pergi menoreh.” Geli hati dibuatnya perangai seekor-ekor yang sudah seusia dengan motor honda cup lamanya.

Sementara melayan karenah empat sahabat pelanggan tetapnya ini, Haji Soad melayan pelanggan-pelangan lain yang ingin membungkus kuih untuk di bawa pulang. Riak wajah Haji Soad berubah apabila terlihat seorang pelanggan lelaki yang sedang sibuk memilih karipap. Lelaki ini tidak biasa Haji Soad lihat di kampung Sri Rampai. Jika dilihat pada fizikal dan wajahnya, usianya agak muda. Lebih kurang dalam pertengahan 20an. Tak pernah dia lihat lelaki ini. Haji Soad terus memerhati. Agak jarang nak nampak kelibat anak-anak muda remaja sebegini di kampung ini.

“Semua sekali 3 ringgit, dik.”

Lelaki asing ini terus mengeluarkan wang kertas yang sudah berlipat-lipat dan bergumpal-gumpal dari kocek seluarnya.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now