Perkhemahan

1.5K 91 7
                                    

Hari Pertama:

Masa darjah 5 di SKPG3, ingat lagi kes ni sebab kecoh masa tu antara sekolah-sekolah. Rasanya classmate dan para senior aku masih ingat kes ni. Program perkhemahan sekolah di Tanjung Balau. Ada enam khemah masa tu. Hari pertama camping, dah banyak benda jadi. Histeria. Masa mula sampai, biasalah kena kemas kawasan perkhemahan.

Dulu Tanjung Balau tak cantik macam sekarang. Elok masuk senja, tiba-tiba ada seorang kakak ni histeria. Panik juga sebab hari pertama dah macam-macam jadi. Waktu malam, aku ditempatkan satu khemah dengan kakak yang kena rasuk tu. Yang lain tidur, aku tak boleh nak tidur sebab seram oi!

Dalam masa aku kelip-kelip mata tak boleh tidur tu, cikgu yang teman satu khemah bangun ajak aku baca Yaasin. Tiba-tiba kakak yang kena rasuk sebelum tu bangun. Katanya panas, dia nak buka zip khemah. Kita orang tak bagi bukak yang lapisan luar. Yalah, tengah malam dah masa tu… aduh. Kita orang cuma bagi buka lapisan yang berjaring tu. Kakak tu duduk peluk lutut, goyang-goyang badan ke depan ke belakang tenung luar sambil humming, menggumam, “hmmm… hmmm…”

Aku tengok cikgu, cikgu tengok aku. Cikgu suruh kejutkan yang lain ajak baca Yaasin. Cikgu tanya kakak tu, “awak tengok apa?”

Nak tahu kakak tu cakap apa?

“Cikgu tak nampak ke tu atas pokok? Cantiknya perempuan tu cikgu. Panggil-panggil saya.”

(Depan khemah kita orang ada tiga batang pokok besar dan ada bot kayu karam yang dah reput)

Lepas tu kakak sambung cakap, “saya nak keluar, nak ikut perempuan cantik tu. Dia ajak saya ikut dia.”

Dalam kelam kabut tu, “aaarghhh!” Kakak tu histeria lagi… meronta-ronta dia nak keluar. Kita orang pegang dia ramai-ramai. Cikgu cuba tenangkan, peluk dia dan baca apa yang patut. Kita orang baca Yaasin kuat-kuat. Penduduk khemah lain yang tersedar datang khemah kita orang. Lepas itu perlahan-lahan, kakak tu OK dah. Senyap dan tidur.

Kalau ingat-ingat balik masa dia tenung luar pagi–pagi buta gelap pekat tu, mak aih… seram!

Hari Kedua:

Siang tu ada pertandingan memasak. Aku masak sardin asam. Oh, dari kecil dah terror masak rupanya aku ni ek? Haha. Lepas masak, cikgu kata ada program mandi laut. Fuhh! Memandangkan khemah aku nombor enam, paling akhir, maka group kita orang paling lambat cikgu nilai hasil masakan. Selesai semua, nak turun laut, tiba-tiba terdengar bising-bising. Rupanya kakak tu histeria lagi. Maka batallah program mandi laut. Sedih.

Malam tu malam akhir, sebab esok nak balik dah. Ada program Malam Kebudayaan. Team kita orang pilih tema berlakon kot. Tapi ada satu team ni, depa baik punya pilih tema menyanyi lagu Puteri Tujuh. Aku dah tak sedap hati masa team ni perform. Bagitahu cikgu, cikgu pun perlahan-lahan nak tarik kakak tu masuk khemah untuk tenangkn dia. Akhirnya, apa yang aku fikir akan jadi, terjadi. Sebab masa menyanyi tu, kakak ni nampak gelisah, mata berair, meliar tengok kiri kanan.

Penyudahnya, dia kena rasuk lagi. Kesian, kan? Sebab aku yang tengok pun penat sangat. Malam tu semua tidur awal lepas bacaan Yaasin dan aku ingat-ingat lupa apa jadi lepas tu.

Hari Ketiga:

Yeah, nak balik! Horay! Naik dua bas balik ke sekolah dulu, so parents fetch anak-anak semua dekat sekolah saja. Sampai sekolah, aku dengan kuali tergantung dekat beg, tunggu arwah bapak sampai. Syok punya tunggu, histeria lagi babe! Masa ni histeria berjangkit-jangkit dah. Cikgu kena, pelajar lagilah kena. Kecoh sangat! Masa arwah bapak aku sampai, aku ceritalah. Dulu zaman public phone… mana ada whatsapp, wechat apa bagai. Arwah bapak aku masuk sekolah, doakan air penawar, bagi minum dekat dia orang yang histeria tu dan alhamdulillah, tenang sikit.

Arwah bapak aku suruh cikgu cari orang yang bijak pandai bab-bab perubatan Islam ni.

Rupanya, benda alah tu marah sebab katanya kakak tu ada “terambil barang” dia. Hari pertama tu, rupanya kakak tu ada terjumpa jam tangan, dia ambil. Kakak tu ada tunjuk aku lepas tu. Ada juga yang ambil kulit-kulit siput dan macam-macam lagi.

Ustaz yang datang untuk ubatkan mangsa histeria bagitahu, benda alah tu minta kami semua pulangkan balik semua benda yang kami ambil, hatta pasir pantai sekalipun. Jenuhlah masa tu. Kumpulkan dekat hujung padang sekolah, esoknya semua tu hilang. Wallahualam.

Kesian pada kakak tu sebab, dia kena bawa berubat jauh dari kawasan, sebab benda alah tu masih mengganggu dia. Sekolah masa tu diberi cuti sehingga tiga hari.
Selepas semua selesai, alhamdulilllah kembali tenang. Tapi kenangan tu memang masih aku ingat.

●●●

TAMAT.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now