Suara Siapakah?

1.9K 105 1
                                    

Sudah menjadi rutin setiap malam, pondok di depan rumahku menjadi ‘port’ rasmi kami melepak. Setiap kali lepas isyak, jemaah melepak mula ramai. Seperti biasa, apabila ramai berkumpul, suasana jadi riuh dengan gelak tawa kami. Dari gurauan biasa sehingga ke gurauan kasar. ‘Sporting’. Kami memang sekepala walaupun kadang-kadang ada yang terasa hati tetapi kami cepat berbaik. Begitulah keadaannya setiap malam.

Malam ini suasana agak suram kerana sebelah petangnya hujan sehingga senja. Tambahan pula, gerai burger jiran sebelah rumah juga tutup menambahkan lagi suasana yang suram di sekitar pondokku. Pondok yang di bina abangku itu memang tiada lampu. Besarnya boleh muat dalam 7 orang. Sudah hampir 8 bulan di bina tetapi masih utuh walaupun kawan-kawanku perangainya seakan-akan beruk dewasa. Kah! Kah!

“Ambik la air sejuk satu jug. Lepak tak kan la tak ada minum-minum? Tak kan itu pun aku nak ajar?” Spontan kawanku Muk menyuruhku masuk mengambil minuman sambil membelek handphone Nokia 3310 miliknya. “Leceh! Tiap-tiap malam nak kena suruh.” Wan mencelah sambil bermain game ular dalam handphonenya yang juga Nokia 3310. Aku hanya tersengih kelat lalu bangun masuk ke dalam rumah.

“Lann..”

Belum sempat langkahku sampai ke depan pintu rumah, aku mendengar seseorang memanggilku dari arah pondok. Suaranya lembut sayup-sayup kedengaran. “Nak apa lagi?” Teriakku dari depan pintu rumah. Muka kawan-kawanku sedikit berkerut. “Bila pulak aku panggil kau?” Yang lain juga berkata begitu. “Suara siapa pulak yang panggil aku tadi? Emm..salah dengar kot.” Getus hatiku sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

Sambil menuang air sejuk ke dalam jug, aku menoleh ke arah jam dinding. Sudah hampir pukul 11 malam. Aku tinggal di rumah itu bersama-sama dengan abang dan kakak iparku. Anaknya pula seramai 3 orang. Mereka sekeluarga keluar ke bandar untuk membeli barang keperluan harian. Mungkin sebentar lagi mereka akan pulang.

“Lan…”
“Lannn…”

Suara tadi kedengaran lagi. Sayup bunyinya. Aku tidak dapat mengecam bunyi suara siapa kerana suaranya pertama kali ku dengar. Bunyinya seakan-akan dari luar pintu dapur. “Siapa pulak nak kenakan aku ni? Kau tunggu jap. Jap lagi aku balun kau dengan raket badminton ni!” Aku fikir mungkin kawan-kawanku cuba menakut-nakutkan aku. Aku mencapai raket badminton yang di sangkut di dinding dapur lalu perlahan-lahan melangkah ke pintu.

Raket ku angkat dalam posisi sedia untuk melibas lalu ku buka pintu dapur selaju mungkin. Tetapi hampa! Tiada siapa-siapa di luar. Hanya angin dingin menerjah masuk. Bayunya lembut dan sejuk sehingga menaikkan bulu romaku. Aku sudah berkira-kira mungkin Muk ataupun Wan yang akan merasa ‘smash’ raketku di kepala mereka, tetapi tekaanku tidak mengena. Suasana yang gelap di belakang dapur membuatkan aku segera menutup pintu.

“Korang ada pergi belakang dapur aku tadi ke?” Sambil meletakkan dulang berisi air sejuk dan cawan kosong, aku meninjau sekeliling pondok kalau-kalau ada kawanku yang lain menyorok. “Tak ada pun. Dari tadi lepak sini je.” Balas Wan. “Betul ke ni? Korang jangan main-main!” Sukar untuk mempercayai kejujuran Wan yang kuat kelentong itu. “Cakap banyak pun tak guna. Kita minum duluu…” Muk menuang air sejuk ke dalam cawannya lalu di hirup dengan sekali hirupan. Nampak benar hausnya itu. Muk tidak mengendahkan soalan ku. Aku jadi bingung.

Ah! Malas aku nak fikirkan sangat tentang suara tadi. Aku pasti suara tadi adalah plan busuk kawan-kawanku yang memang suka bergurau kasar. Mulut puaka mereka itu memang ku masak benar. Malam ini kami hanya bertiga. Yang lain-lain masih belum nampak batang hidung.

Tidak lama selepas itu Botak tiba dengan motor kapcainya. “Bertiga je ke? Mana lagi yang lain?” Kami tidak segera menjawab. Kami sudah berpakat tadi untuk tidak melayan Botak supaya dia naik angin. Kami buat tak tahu saja. “Woi! Pekak ke? Aku pukul jugak sekor-sekor ni karang!” Botak sudah mula naik angin. Dia mengambil seekor katak yang kebetulan lalu di bawah pondok lalu mencampakkannya ke dalam pondok. Berterabur kami melompat keluar dari pondok. “Kahkahkah! Padan muka. Nak kenakan aku konon!” Botak ketawa puas. “Gurau sikit pun tak boleh ke? Leceh la botak!” Wan menyapu seluarnya yang di penuhi pasir. “Malam ni apa projek? Tadi aku lalu depan kebun Wak Tamin tengok jagung dia dah cukup masak. Jom la ambik setongkol 3 4 tongkol.” Cadangan Botak itu memang kami sangat setuju. Di antara kami berempat, Botaklah yang paling nakal. Ada sahaja idea jahatnya.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now