Sengsara Akibat Nasi Kangkang

1.7K 104 1
                                    

TERKEJUT dan sukar untuk percaya... begitulah perasaan Ibu Normala Rahim (ibu) sebaik sahaja mendengar pengakuan Rokiah tentang perbuatannya mengenakan ilmu nasi kangkang terhadap suaminya Salleh.

Ibu sering merantau ke sana sini untuk mengubati pesakit tetapi itulah pertama kali Ibu menerima pelanggan yang sakit gara-gara perbuatannya mengamalkan ilmu nasi kangkang. Ibu sama sekali tidak menyangka bahawa pada zaman yang serba canggih ini masih ada insan yang sanggup mengamalkan ilmu keji dan terkutuk seumpama itu.

Peristiwa itu berlaku di Selangor tujuh tahun lalu ketika Rokiah berusia dalam lingkungan 45 tahun. Sewaktu Ibu dibawa menemui Rokiah, keadaannya uzur dan lemah kesan daripada kepedihan dan kesengsaraan yang ditanggung bertahun-tahun.
Wajahnya cengkung dan tubuhnya kurus kering. Kedua-dua belah tapak tangannya sentiasa berkurap dan perut membusung. Badannya juga dibasah percikan peluh yang berbau busuk dan masam. Mulutnya pula tidak henti-henti mengeluarkan
lendir yang melekit dan menusuk hidung. Kerana mahu dirinya diubati, Rokiah juga tidak segan-silu menceritakan kepada Ibu bahawa kemaluannya juga mengeluarkan cecair busuk. Keadaannya sungguh memilukan.

Sepanjang Ibu merawat Rokiah, tiada siapa yang menjaganya kecuali seorang saudara yang datang menjenguk dari semasa ke semasa. Suami dan juga anak-anak semuanya menjauhkan diri mungkin kerana membenci apa yang telah terjadi.
Pada mulanya Rokiah cuba juga merahsiakan perbuatannya tetapi pengalaman sebagai pengamal perubatan tradisional selama 15 tahun mengajar Ibu mengenali pesakit secara lebih mendalam. Setelah puas memujuk, Rokiah akhirnya membuka cerita.
Rupa-rupanya perasaan dendam dan sakit hati terhadap suaminya mendorong Rokiah memilih jalan sesat itu. Hatinya betul-betul luka bila mengenangkan sikap suami yang langsung tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
Menurut cerita Rokiah, Salleh warak orangnya tetapi dalam diam-diam dia sebenarnya liar, ligat dan bermata keranjang. Walaupun ridak mempunyaipekerjaan tetap, tetapi berkahwin dan bercerai sudah menjadi mainan hidupnya.

Sehingga kini sudah tujuh kali dia berkahwin tetapi tanggungjawab sebagai suami tidak pernah dilaksanakan. Dia jarang pulang ke rumah apatah lagi memberi nafkah kepada keluarga. Sikap lepas tangannya itu memaksa Rokiah berikhtiar sendiri mencari wang untuk menyara persekolahan anak-anak.
Hati Rokiah juga begitu terhiris bila mengenangkan sikap Salleh yang tidak mengenang budi. Sebagai isteri tua, Rokiah menjadi tempat mengadu setiap kali suaminya kesempitan wang. Dia jugalah yang bersusah payah mencari modal dengan menjual tanah bila Salleh merancang untuk berniaga tetapi kesemua pengorbanannya langsung tidak dihargai.
Setelah sekian lama makan hati berulam jantung, kesabaran Rokiah akhirnya sampai ke penghujung. Hatinya nekad untuk berbuat sesuatu bagi menghentikan sifat tidak bertanggungjawab dan miang keladi suaminya itu.

Dengan bantuan seorang rakan, dia menemui bomoh untuk mempelajari ilmu nasi kangkang bertujuan menjinakkan Salleh. Niat di hati ingin mengajar suami yang tidak sedar diri. Soal dosa tidak lagi difikirkan asalkan hati puas dan hajat tercapai.
Rokiah menceritakan secara terperinci bagaimana seorang bomoh mengajarnya tentang kaedah-kaedah mengamalkan ilmu nasi kangkang tetapi tidak sanggup rasanya Ibu menceritakan kaedah-kaedah itu... takut nanti ada orang lain yang cuba menirunya.
Bagaimanapun memadailah jika Ibu katakan ia melibatkan bahan-bahan kotor daripada tubuh badan manusia seperti air yang ditadah semasa mandi, air kencing, darah haid, rambut, kuku dan wap badan.

Kesemua bahan itu digunakan untuk memasak atau dicampur ke dalam makanan dan minuman suami dengan iringan jampi serapah. Minta dijauhkan segala amalan khurafat seumpama itu kerana ia sungguh keji dan jijik... Nauzubillahimin?.alik!!
Setelah beberapa kali mempraktikkan ilmu itu, Salleh mula memperlihatkan perubahan ketara. Dia jarang keluar rumah kalau tiada urusan di luar. Kalau keluar bekerja, dia akan segera kembali sebaik sahaja habis kerja seolah-olah tidak mahu berpisah lama dengan Rokiah. Dia juga mula memberi wang belanja, malah jika diminta semua yang ada padanya pasti diberikan.
Begitulah taatnya Salleh pada Rokiah sejak terkena ilmu nasi kangkang. Daripada seorang suami yang liar, miang dan tidak bertanggungjawab, dia berubah menjadi baik dan amat menghormati isteri.

Perubahan itu amat menggembirakan Rokiah. Akhirnya dia berjaya menjinakkan Salleh. Hatinya puas kerana segala usahanya berjaya. Kini dia tidak risau lagi memikirkan wang belanja harian.
Dia juga tidak perlu bimbang lagi Salleh mencari wanita lain. Kakinya sudah dirantai dan hatinya sudah dikunci. Ilmu itu tidak dipraktikkan sekali dua sahaja, sebaliknya diulangi dari semasa ke semasa bagi memastikan Salleh terus tunduk kepadanya.
Tetapi sesungguhnya Tuhan tidak meredhai perbuatan keji dan terkutuk seumpama itu. Setelah bertahun-tahun mengamalnya, Rokiah akhirnya menyedari sedikit kelainan pada diri Salleh.
Walaupun dia sentiasa berada di sisi Rokiah, tetapi cara pergaulannya terasa hambar dan tawar. Sikap dan tingkah lakunya lebih kepada seorang hamba mentaati dan menghormati perintah tuannya. Lagaknya tidak ubah seperti orang bingung dan bodoh... tiada kemesraan dan tiada kasih sayang.

Kesedaran itu segera mendorong Rokiah untuk menilai semula perbuatannya. Dia sama sekali tidak menyangka suaminya menjadi begitu. Dia mengharapkan seorang suami yang penyayang, bukannya bodoh yang hanya menurut telunjuk isteri.
Sejak itu Rokiah menghentikan segala amalannya. Dia insaf dan menyesal di atas apa yang berlaku. Air mata jatuh bercucuran bila mengenangkan apa yang telah dilakukan. Dia berdosa pada Salleh dan pada Tuhan. Kini baru dia sedar perbuatannya tidak menguntungkan sesiapa, malah menyusahkan diri sendiri.
Rokiah segera berusaha memulihkan Salleh tetapi kurang berhasil mungkin kerana ilmu yang dipraktikkan telah sebati. Dia masih dalam keadaan bingung dan mungkin mengambil masa yang lama untuk kembali seperti sediakala.

Sejak itu Rokiah hidup dalam dilema. Tekanan jiwa yang dialami akibat perbuatannya itu menyebabkan hidupnya tidak tentu arah. Dia berusaha mencari penawar melalui perubatan moden dan juga tradisional tetapi semuanya sia-sia belaka. Keadaannya semakin teruk dan kesihatannya semakin lemah.
Penyakit darah tinggi menyebabkan keadaannya bertambah melarat. Lendir busuk dari mulut dan kemaluannya semakin banyak keluar. Kalau ikutkan hati, memang tak tertahan rasanya menghidu bau busuk itu tetapi Ibu kuatkan semangat dan berikhtiar sedaya upaya untuk meringankan penderitaan Rokiah.
Namun manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Setelah lebih setahun Ibu berusaha mengubati Rokiah, dia akhirnya meninggal dunia tanpa suami atau anak-anak di sisi. Mayatnya dikebumikan pada malam itu juga memandangkan keadaannya yang bonyok.
Itulah balasan Tuhan terhadap seorang isteri yang menganiayai suaminya sendiri. Mengamalkan ilmu nasi kangkang bertentangan dengan agama. Hendaknya janganlah ada sesiapa lagi yang mengamalkan ilmu itu kerana ia satu perbuatan yang berdosa besar.

Walaupun niat Rokiah baik, iaitu untuk menyedarkan suaminya supaya kembali ke pangkal jalan, tetapi cara yang diamalkan menyalahi agama. Akibatnya dia sendiri makan hati dan hidup merana hingga akhir hayat. Seribu penyesalan pun tidak membawa sebarang makna kepada suaminya yang masih berkeadaan bingung hingga hari ini.
Sebelum bertindak fikirlah sedalam-dalamnya dan banyaklah bersabar kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam hadis yang bermaksud:
"...Dan sesiapa yang sabar antara para isteri terhadap kejahatan perangai suaminya nescaya diberikan Allah kepadanya pahala seperti pahala Asiah isteri Firaun."

•••

TAMAT.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now