BAB 13

173 20 1
                                    

Syam Syahrul Azmi ditempatkan di dalam wad peribadi selepas mendapat rawatan segera daripada doktor peribadi Bray yang bekerja di hospital tersebut. Syam disahkan terkena serangan jantung akibat racun yang merebak ke dalam saluran darahnya. Racun tersebut masuk ke dalam badannya melalui luka pada tapak tangan kirinya. Luka tersebut mungkin disebabkan oleh perlawanan jarak dekat menggunakan pisau. Sarung tangan kulit yang terkoyak juga telah dijumpai di dalam laci kereta Syam selepas Safuan membuat pemeriksaan ke atas kereta Syam untuk mencari alat jejak milik pihak musuh jika ada.

Syah mengambil tempat di atas sebuah kerusi yang terletak di sebelah kanan bapanya. Dia menatap wajah bapanya yang memakai alat bantuan pernafasan. Kemudian, tangan kanan bapanya dipegang. Syah menangis.

Sementara itu, Bray pula berada di pondok pengawal sekolah menengah untuk menjaga keselamatan anaknya. Safuan pula berada di tempat menunggu di dalam hospital selepas dia membawa Syah ke hospital tersebut.

"Syam hampir terkorban disebabkan racun. Kalau Bray lambat bawa dia ke sini..." Safuan tertunduk dan menutup wajahnya menggunakan kedua-dua tapak tangannya.

"Aku tak sanggup kehilangan sesiapa lagi. Syam dah banyak tolong aku. Aku berhutang nyawa dengan dia." Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Safuan menangis tatkala dia terkenang jasa pertama Syam yang telah menyelamatkan nyawanya pada suatu ketika dahulu.

"Safuan."

Safuan terus melihat ke arah kanan apabila namanya dipanggil oleh seorang wanita yang sangat dikenalinya. "Qasya."

Wanita itu memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung bawal. Penampilannya dilengkapi dengan kot putih yang berlencana hospital tersebut. Dia berjalan menghampiri Safuan lalu memeluk Safuan sebaik sahaja dia duduk di sebelah kanan Safuan. Safuan pula membalas pelukan tersebut.

"Sayang, sabarlah. Syam akan selamat. Dr. Marc dah berikan penawar, kan? Kita tunggu laporan perkembangan dia nanti." Pujuk Dr. Qasya kepada suaminya.

"Okay. Tapi saya tetap risau. Saya tak sanggup kehilangan kawan baik saya." Pelukan dilepaskan.

Dr. Qasya mengelap air mata suaminya menggunakan tisu yang dikeluarkan daripada plastik tisu di dalam poket baju kurung. "Sayang, doa banyak-banyak semoga Allah panjangkan umur Syam." Nasihatnya kepada suami kesayangannya itu.

"Ya, sayang. Terima kasih sebab dah tenangkan saya." Ucapnya dengan senyuman manis.

Dr. Qasya merapatkan dahinya pada dahi Safuan. "Tenang. Jangan cepat panik. Saya ada dekat sini. Saya tahu awak kuat."

Safuan pejam mata dan tarik nafas sedalam-dalamnya. Nafas dihembuskan perlahan-lahan. Mata kembali dibuka. "Qasya. Terima kasih sebab awak sudi terima saya."

Dr. Qasya senyum kepada suaminya. "Sebab awak dah selamatkan nyawa saya dan sentiasa jaga saya tanpa diminta."

"Sebab saya dah jatuh cinta pada awak untuk kali pertama seumur hidup saya."

"Hanya awak dalam hati saya." Ujar mereka berdua serentak.

*

[IMBAS KEMBALI]

Seorang lelaki telah tersandar pada sisi kanan sebuah Myvi milik seseorang di tempat letak kenderaan. Lengan kanan dan bahu kanannya tercedera akibat ditembak oleh pihak musuh yang melalukan serang hendap kepadanya. Glock-17 dipegang erat pada tangan kirinya. Lelaki ini bukan seorang yang kidal. Dia ialah seorang lelaki yang cekap bersenjata menggunakan kedua-dua tangannya.

"Tak guna. Dekat mana dia menyorok?" Dia mengintai musuhnya di sebalik tempat persembunyiannya.

Lelaki itu terkejut apabila mendengar bunyi kunci kereta dibuka menggunakan alat kawalan jauh pada gugusan kunci kereta milik pemilik kereta tersebut. Pemilik kereta tersebut berdiri di sebelah kiri lelaki tu kerana lelaki itu bersandar pada pintu pemandu. Masing-masing terkaku.

A.K.U : EAX0011Where stories live. Discover now