Serunai Maut | Henry | 5

14.1K 1.8K 66
                                    

DUA susuk tubuh berkemeja putih itu berdiri penuh takzim merenung jauh pada kerumunan penduduk Pulau Jengka yang kelihatan berasak-asak hendak menghampiri jeti. Kelihatan ramai sibuk menyebut perihal serunai maut dan sumpahan. Tidak tinggal juga ada yang menyuarakan keinginan untuk melihat mayat mangsa. Dan paling ramai ialah yang merungut-rungut kerana tidak boleh turun ke laut hari ini kerana diperintah berkurung di pulau sahaja.

Hiruk pikuk.

Henry dengan kaca mata hitamnya berkerut dahi melihat suasana itu, manakala Iman juga dengan kaca mata hitam hanya biasa-biasa sahaja. Dia sudah pun mengalami perkara ini tadi.

Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh dan sepatutnya untuk cahaya matahari makin menerik. Dengan berada di tepian pantai ini bahangnya semakin membakar kulit membuatkan kedua-dua orang kuat jabatan penyiasatan bahagian laut ini lebih memilih untuk berkaca mata hitam.

"I nak jumpa saksi." Tiba-tiba Henry bersuara selepas lama diam termenung.

Iman yang memeluk tubuh segera menjatuhkan kedua tangan lantas menjeling Henry di sebelah. Dua tangan dibawa menyeluk saku seluar slack-nya.

"Saksi tak beri kerjasama. Tetap mengatakan benda sama. Serunai maut." Iman mengangkat bahu. Bosan.

Henry menarik nafas dalam-dalam. "I tetap nak jumpa." Dia bertegas lantas membuka langkah mendahului Iman.

Iman menaikkan mata ke atas dengan hembusan nafas kasar. Akhirnya dia turut mengikuti langkah Henry yang sudah maju melintasi jambatan ke pekan.

"Bawak I jumpa dia." suara Henry berbaur arahan.

Iman hanya taatkan sahaja walau tidak rela. Dalam diam dia merungut kerana memikirkan kenapa dia dipilih oleh Henry untuk ke sini padahal baru sebentar tadi dia melakukan tugas ini. Namun apabila menyedari pangkat Henry lebih tinggi darinya, dia terpaksa diamkan sahaja.



IMAN memeluk tubuh memerhati sahaja Henry dan lelaki bergelar nelayan itu bersoal jawab. Sesekali lelaki tua yang senang dipanggil Pak Sobri itu membentak tidak berpuas hati apabila kata-katanya tidak dipercayai Henry. Sedari tadi lelaki tua itu tidak menyenangi Henry, apabila Henry dan Iman datang lelaki itu langsung tidak menjemput mereka masuk rumah malah menyuruh Henry duduk di tangga sahaja. Nasib baik Henry tidaklah cerewet seperti Kapten Lutfi - seorang lagi kapten dalam kumpulan mereka yang terkenal dengan sikap bossy-nya.

Dek kerana bosan melihat perbincangan mereka yang nampak makin menjurus kepada pertengkaran itu, Iman mengambil langkah untuk meninjau keadaan sekeliling rumah kayu ini. Tipikal rumah kayu orang melayu begitulah rumah Pak Sobri ini, dapurnya dibuat dari bata tidak seperti ruang hadapan yang dibuat dari kayu cengal. Namun Iman sedikit tidak berkenan dengan halamana belakang rumah ini yang bersepah dan penuh dengan sampah sarap yang tidak dibakar.

Walaupun busuk, Iman sudah biasa dengan bau yang lebih busuk daripada ini. Malah bau mayat sudah sebati dengannya, maka apalah sangat bau najis bukan.

Dia menapak menghampiri sampah sarap tersebut, menjenguk-jengukkan kepala mencari sesuatu yang bakal membantu siasatannya nanti.

Namun tiada apa yang menarik perhatiannya melainkan baki lilin putih yang berselerak di sana sini. Untuk itu dia jadi sedikit pelik apabila melihat kuantiti lilin itu sangat banyak. Malah tiada satu ruang pun yang tertinggal melainkan ada baki lilin di situ. Kotak mancis pun ada banyak. Cuma tidaklah sebanyak lilin.

"Apa akak buat?"

Iman terkejut namun dapat mengawal riaknya apabila ditegur mengejut begitu. Dia menoleh. Dilihatnya seorang budak perempuan dalam usia tujuh tahun sedang berdiri tidak jauh darinya. Berdekatan dengan pintu dapur rumah Pak Sobri. Muka budak perempuan itu comot, sangat comot.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now