| Falah | 22

12.7K 1.7K 114
                                    

"KENAPA tok seronok sangat dapat jumpa kami?" Iman bertanya hairan. Manakan tidak, wajah Tok penghulu berseri-seri betul ketika ternampak Iman dan Henry di tengah pekan.

Tok penghulu senyum. Berjalan sahaja membawa pasangan suami itu ke destinasi.

"Kita nak ke mana tok?"

"Falah suruh bawak kamu berdua ke sana," Tok penghulu membalas sapaan dari penduduk kampung yang menyapanya. Hanya sekadar mengangkat tangan.

"Dia kata kamu berdua pasti datang ke sini.. Jadinya dia minta tok panggilkan kamu berdua."

Henry dan Iman saling berpandangan.

"Dia tunggu kamu di jeti. Mari, kita dah sampai." Tok penghulu berjalan lebih pantas. Mendahului Iman dan Henry yang berjalan lambat-lambat itu.

Dari tempat mereka, jelas kelihatan jeti Pulau Jengka. Ada ramai orang sedang membuat kerja di situ. Henry tidak dapat menangkap kelibat Falah di mana-mana. Sehinggalah langkah mereka sampai betul-betul di hujung jeti, mereka ternampak satu susuk tubuh yang familiar sedang berada di atas perahu. Susuk itu sedang berdiri merenung lautan walaupun keriuhan jeti sangat merosakkan kedamaian.

"Falah?"

Henry terkebil-kebil apabila mendapati susuk itu ialah Falah yang berpakaian ala-ala nelayan kampung. Falah terus memandang Henry, bibirnya meleret senyuman. Dua tangan yang tadi memeluk tubuh dijatuhkan.

"Kenapa tiba-tiba jadi nelayan ni?" Iman bagi soalan pedas.

Falah tersenyum sahaja. "Jom."

"Jom ke mana?" Iman berkerut.

"Jom makan di tengah laut."

TENANG dan damai. Dua perkataan itu belum dapat menafsirkan lagi situasi yang mereka sedang berada ketika ini.

Jauh dari keriuhan orang kampung, jauh dari cercaan mereka, jauh dari pandangan sinis yang sering dilemparkan. Di sini mereka merenung damai laut biru yang tidak bersempadan. Mengkagumi titisan air yang tidak bernilai mampu menjadi sebuah ombak yang sangat gagah.

Namun untuk Falah, berdiri di sini - di hujung perahu merenung lautan ini - tidak lain tidak bukan fikirannya penuh dengan rasa kagum pada Sang Pencipta yang sungguh indah. Lidahnya basah dengan tasbih dan tahmid. Matanya redup mengusap setiap inci lautan biru menawan ini dengan tamsilan-tamsilan keagamaan begitu banyak dikupas dalam kepalanya di samping rasa kagumnya pada Allah.

Berada di sini mengingatkan bahawa diri sangatlah kerdil pada pandangan penduduk langit, hanyalah satu titik yang tidak terlihat di tengah lautan luas yang tiada penghujung. Seperti buih di dalam ombak tsunami yang sangat besar. Tidak terlihat.

Falah hela nafas kagum.

Henry yang duduk di belakang, dari tadi hanya memerhati belakang tubuh Falah. Adik iparnya itu sejak perahu ini mula dirakit ke tengah laut sehinggalah daratan Pulau Jengka semakin mengecil pada pandangan - hanya berdiri di situ dengan dua tangan di belakang tubuh. Seperti sedang memikirkan sesuatu yang sangat dalam sehingga langsung tidak memikirkan tentang keselamatan dirinya yang berada di hujung perahu yang tidak seimbang ini. Dengan pemuda Pulau Jengka yang mendayung perahu di bahagian tengah dan Iman yang sedang enak mengunyah roti di bahagian belakang, Henry tidak tahu bagaimana Falah boleh jadi sangat tenang berada di hujung sana. Satu kawasan yang bila-bila masa sahaja bakal meragut nyawanya dengan menjatuhkannya ke dalam lautan yang sangat dalam.

Henry spontan memandang tepi perahu. Air laut sangat dekat dengannya. Sehingga boleh sahaja dia jatuhkan tangan dan melalukannya di dalam air berwarna biru pekat itu.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now