| Jibt | 33

11.8K 1.7K 151
                                    

TOK penghulu melangkah lemah menerusi lorong ini, beratapkan rimbunan pepohon yang hijau, dengan tanah tidak rata menjadi jalannya, sesekali angin bertiup menghembus haba panas dengan terik matahari yang berada tegak di langit.

Sepi.

Lorong ini sememangnya tidak dilalui orang. Hanya sesekali penduduk kampung melaluinya itu pun hanyalah untuk mencari kayu api di hutan belakang, lebih banyak masa lorong ini ditinggal sunyi.

Derapan langkah Tok penghulu berubah perlahan apabila merasakan dirinya diperhati.

Malah hakikatnya sedari tadi lagi, apabila dirinya ditinggalkan Falah dan dua rakannya itu di bawah pokok Ara Jejari itu- dia dapat merasakan bahawa dirinya sedang diperhatikan. Sehinggalah apabila langkahnya membawa ke sini, perasaan itu semakin kuat.

Dan akhirnya langkahnya mati. Hening menyapa. Mencipta seram. Wajah diangkat.

Sekitar enam depa darinya, satu susuk berdiri tegak. Merenungnya dengan pandangan tajam bersama bibir hitamnya yang tersenyum senget.

Tok penghulu kenal susuk ini.

Dan nampaknya susuk ini masih tidak berubah biarpun sudah tiga puluh tahun berlalu.

Rambutnya tetap sahaja hitam pekat, matanya yang sering disangka bercelak itu masih sahaja bercelak pekat malah kali ini terasa lebih jelas kepekatannya, dan yang lebih ketara pastinya hujung-hujung kuku susuk itu semuanya berwarna kelabu bagai tidak pernah dipotong kukunya.

"Jibt." Tok penghulu bersuara perlahan. Kerongkongnya perit.

Dan susuk itu melebarkan lagi senyuman tajamnya.

"Kita berjumpa lagi Razak."

Tok penghulu tidak terkata. Nafasnya berhembus perlahan seiring nafas laut yang terasa sampai ke sini.

"Gembira bertemu aku?" Jibt mendepa tangan rendah. Keningnya naik sebelah. Menyindir.

Tok penghulu diam sahaja.

"Ahh.. Hamba mana sahaja yang gembira bertemu dengan bekas tuannya kan?" Jibt tersengih. Menatap tajam wajah Tok penghulu yang sudah berubah tegang mendengar kata-kata itu.

"Kau bukan tuan aku." Tok penghulu bertegas.

"Kau sudah lupa?" Jibt sudah melangkah ke mari. Lembut sahaja langkahnya namun siapa sangka dalam setiap langkah itu tersirat seribu satu tipu daya yang Tok penghulu sendiri tidak dapat tafsirkan.

Tok penghulu tidak berganjak biarpun Jibt sudah pun mengelilingi dirinya. Tetap teguh berdiri di tengah jalan itu. Seakan bersedia sahaja walau apa pun yang terjadi.

Jibt tersenyum sinis apabila melihat keteguhan Tok penghulu.

"Kau sudah lupa Razak? Siapa kau tiga puluh tahun lepas?"

"Itu tiada kaitan dengan kau. Itu antara aku dan Mona sahaja--"

"Dan Mona ialah tunggangan aku, Razak." bisikan itu benar-benar kedengaran di telinga Tok penghulu. Tok penghulu terdiam. Bibir terasa bagai digam terus.

"Kau benar-benar lupa nampaknya." Suara itu sangat dekat.

Tok penghulu menahan nafas. Liur ditelan. Cuba menenangkan dirinya.

"Mona tunggangan aku, dan kau hambanya. Maka ketika ini kau juga menjadi hamba aku. Ingat itu baik-baik dalam kepala kau." Jibt sudah ke sisi Tok penghulu, tidak lagi berada di belakang.

"Aku sudah pun bebaskan diri aku dengan pengorbanan itu. Apa lagi yang kau mahu?" Tok penghulu dengan berani bertanya. Matanya mengerling tajam pada Jibt yang sedang mengusap dagu runcingnya.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now