Serunai Maut | Henry | 7

13.9K 1.8K 51
                                    

MALAM itu feri gelap gelita. Hanya beberapa batang lilin dipasang di sekitar feri ini. Memberikan sedikit cahaya sekadar untuk dapat melihat jalan dan melihat orang.

Semua mayat sudah dipindahkan ke Melaka lewat petang tadi menggunakan pesawat besar. Seramai 249 mayat dipindahkan. Masih berbaki satu namun yang satu itulah tiada siapa pun yang bertanya.

Mayat Linda.

Memikirkan hal itu Henry menghela nafas berat. Pandangan didongak ke langit malam. Langit sangat cantik. Dipenuhi bintang-bintang bergemerlapan. Betullah kata orang, bintang akan lebih mudah dicerap apabila suasana sekitar gelap.

Mengikut laporan dari team-nya di daratan, betapa ahli keluarga mangsa menangis meratapi kematian keluarga mereka saat mayat itu sampai dalam bentuk dibungkus plastik hitam. Air mata membanjiri dan tangisan kedengaran di sana sini, dan suasana senja di lapangan terbang itu diakhiri dengan suasana yang terasa sangat menyayatkan hati.

Henry tidak dapat membayangkan jika dia yang melihat semua itu. Pasti dia tidak teragak-agak untuk mengalirkan air mata. Dia menyaksikan bagaimana mayat itu, malah dia juga yang mengkaji kes ini. Masakan tiada langsung rasa simpati dalam dadanya?

Kasihan.

Namun lebih menyedihkan apabila kematian itu tidak tahu berpunca dari mana.

Henry bingung. Bertambah bingung apabila teringatkan Linda yang dikatakan hilang itu. Sampai sekarang masih tiada sebarang berita tentang penemuan mayat gadis kecil itu. Malah sudah ada yang mencari mayat itu di dalam laut sekitar feri kerana membuat spekulasi mayat itu mungkin terjatuh ke dalam air. Namun tetap juga tidak kedapatan apa-apa hasil.

Henry menghembus nafas lemah. Begitu banyak perkara yang berselirat dalam kepala.

"Wah, banyaknya bintang.."

Tidak semena telinganya menangkap satu suara tidak jauh dari tempat berdirinya.

Dia menoleh. Dalam kegelapan matanya yang memang dilatih untuk melihat sesuatu dalam gelap - jelas dapat melihat seorang wanita berkemeja putih sedang memandang langit dengan senyuman lebar.

Iman Nadrah.

"Tenang hati aku.. Tak adalah sesak nak fikir pasal serunai maut tu." Iman bercakap seorang diri. Kelihatan dia menghirup udara malam dalam keadaan mata terpejam.

Henry diam sahaja merenung wanita itu. Tidak tahu apa motif dia. Tapi melihatkan keadaan Iman, dia juga jadi tenang.

Iman membuka mata. Meletakkan dua tangan pada palang feri. Dia tekun memandang langit. Seperti sedang mengira bintang.

Sesaat wanita itu berkerut. Mungkin menyedari dirinya sedang diperhati sedangkan dia yakin yang dia berseorangan di dek atas ini.

Dia menoleh ke kanan, tiada orang. Ke kiri. Tiada ora..

"You!" Iman terundur bertapak-tapak apabila menyedari kewujudan Henry.

"Yes me, kenapa?" Henry selamba. Segera memandang langit.

"Sejak bila you ada dekat situ?" Iman marah. Namun tetap jelas dia sedikit gugup.

"Sejak sejam lalu. Sebelum you datang lagi." Henry menongkat siku. Merenung kegelapan laut yang mencerminkan langit.

Iman terkulat-kulat mendengar jawapan Henry. Dia kemudian membetulkan kedudukannya, turut memandang laut. Angin laut menampar-nampar tubuh mereka berdua.

Seketika mereka berdua terdiam, hanya merenung lautan yang gelap gelita.

"Yang lain duduk mana?" Henry menyoal. Memecah sepi mereka berdua.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now