| Falah | 36

11.4K 1.7K 128
                                    

FALAH meraup wajah. Menamatkan solat subuh berjemaahnya. Terdengar dengungan salam penamat solat dari belakangnya - dari Henry dan Iman yang turut serta sembahyang.

Nafasnya dihela perlahan. Seperti biasa posisi ditukar biar menghadap ke kanan saat wirid. Terus dari ekor matanya terlihat Henry yang sedang tertunduk khusyuk di belakangnya dan Iman yang berbungkus kain di belakang Henry.

Falah hanya mampu menahan senyum bila terlihat Iman menguap luas dek teramat mengantuk sehinggakan tercabut pin kain yang membalut kepalanya. Kelam kabut kakaknya itu membetulkan kain di kepalanya agar tidak melurut jatuh.

Falah membaca wirid selepas sembahyang seperti biasa. Suasana fajar sangat sepi di tengah hutan ini. Dengan angin pagi yang sangat dingin dan langit yang mula memancar sinar perak di hujung timur, semuanya menambah kedamaian.

Selesai membaca wirid, Falah mula menadah tangan berdoa. Membaca doa sedikit panjang daripada biasa. Berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah. Safar mereka masih jauh.

Sebaik sahaja Falah mengaminkan doa - terus Iman dan Henry tumbang, tidak sampai sesaat terus mereka lena dalam baring yang masih belum sempurna itu.

Falah hanya mampu tersenyum kecil memerhati tingkah mereka. Dia tahu, memang sangat mengantuk ketika ini. Bayangkan semalaman mereka tidak tidur. Dia sendiri mengantuk tapi tidak gemarnya pada tidur selepas subuh lebih mengatasi rasa mengantuk. Akhirnya dia bangkit dari duduknya, kain yang menjadi lapik solatnya diangkat lalu dilipat.

Ketika itu matanya jatuh pada susuk perempuan yang sedang terbaring di atas comforter milik Henry di hujung sana, dekat dengan pelita.

Mona.

Falah segera alihkan pandangan ke arah lain. Tidak mahu berlama memerhati susuk tersebut.

Gadis itu pengsan sejak kejadian malam tadi.

Dek terlalu terkejut dengan keadaan mayat Nyai yang hancur hasil sentuhannya sendiri, buat dirinya tidak dapat menerima lalu terus longlai dalam pelukan Falah itu juga. Nasib baik Falah sempat memegang kuat tubuh longlai gadis itu sebelum jatuh menyembah lantai.

Akhirnya, mereka sama-sama membawa Mona ke luar. Membaringkan gadis itu di atas comforter dan membiarkan Mona berehat tanpa diganggu. Sehinggalah subuh menjengah dan Falah pun mengajak Henry dan Iman yang sudah mula mengantuk itu untuk solat berjemaah.

Maka memang sepatutnya dua orang itu sudah terkorban di sejadah masing-masing. Malah sudah berdengkur pun. Sangat penat.

Falah bergerak mengambil pelita yang tidak terpasang di atas pangkin. Pelita dihidupkan. Subuh masih gelap. Maka dia perlukan cahaya ini untuk membantunya mencari perkara yang diingininya.

Dengan cahaya pelita itu dia berjalan keluar dari perkarangan rumah nenek pada Mona ini, menuju mengikut firasat hatinya.

Meninggalkan yang lain dalam keadaan terusan lena itu.

SUNGAI. Dia sudah dapat mengagak di sini terletaknya sungai. Sangat dekat dengan rumah Mona. Saat dia menjejak kaki di halaman rumah Mona semalam, dia sudah dapat mendengar deruan air sungai yang mengalir deras secara sayup-sayup. Maka dia membuat tekaan bahawa sungai yang akan menjadi penunjuk arah perjalanan mereka ini adalah berdekatan.

Benar sekali kerana kurang lima puluh langkah, dia sudah sampai di sini. Cuma kawasan menuju sungai itu agak curam. Falah perlu menjenguk ke bawah barulah terlihat sungai itu. Rupanya kediaman Mona berada di tempat tinggi. Dan hendak turun ke sungai dari arah sini ialah sangat merbahaya. Mungkin ada jalan lain yang lebih selamat.

Falah berjalan dengan berhati-hati mengikuti lereng bukit ini, dia dapat mengagak kira-kira lapan belas kaki tingginya lereng ini daripada sungai. Cukup tinggi untuk seorang manusia turun ke sana dengan tangan kosong.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now