Epilog

26.2K 2.5K 668
                                    





MERENUNG bintang yang bergemerlapan di langit malam, sungguh membuatkan dia tenang. Ketika ini rasa cinta pada Tuhan semakin mekar membuatkan dia tersenyum sendiri. Dia memang selalu berada di sini sebelum tidur. Asyik merenung cipataan Sang Kekasih yang dirindui. Angin malam sesekali mengucup hujung rambutnya membuatkan ia terbuai jatuh ke bahu.

"Buat apa tu?" Tidak semena satu tangan menarik rambut yang jatuh tadi ke belakang, lalu dagu runcing melabuh di bahunya kemas. Tubuhnya serta-merta tenggelam dalam dakapan sang suami.

Dia tersenyum bahagia.

"Ciptaan Allah itu infiniti kan?" Dia mendongak ke langit. Masih merenung taburan bintang yang begitu banyak malam ini.

Falah turut sama mendongak ke atas. Dari beranda rumah mereka ini, langit malam kelihatan sangat jelas. Tidak terhalang oleh sebarang pokok pun.

"Tidak terkira." Falah membalas kata-kata Linda perlahan.

"Setiap kali Linda lihat ciptaan-Nya, setiap kali itulah cinta Linda pada-Nya semakin kuat. Sebab Linda percaya, kekasih Linda Yang Satu itu sangat hebat." Linda berkongsi rasa kehebatan tentang Kekasihnya.

"Abang jeles," Laju sahaja Falah membalas.

"Kenapa pulak?" Linda rasa nak tergelak.

"Sebab mesti cinta Linda pada Allah melebihi cinta abang pada Allah."

Wajah Linda berubah mendengarnya. Sedikit terharu dengan kata-kata itu. Lembut tangannya mengelus tangan Falah di pinggangnya.

"Tak, cinta abang pada Allah mengatasi cinta Linda pada-Nya. Sebab abanglah yang ajar Linda semua tu."

"Tapi tetap Linda setiap kali merenung langit akan ingatkan Allah. Itu bermaksud fikiran Linda selalu mengingati Dia." Falah tidak mahu kalah.

Akhirnya Linda hanya mampu ketawa. Terhibur entah kenapa.

"Abang rasa abang tak buat lawak." Falah berbisik. Makin kuat pula tawa Linda mendengarkannya.

"Ya, abang memang tak buat lawak. Tapi cara abang nak menang tu buat Linda rasa terhibur." Linda menyisakan tawanya. Falah hanya tersenyum.

Mereka kemudian sama-sama menatap langit. Menikmati keindahan dunia dalam syurga mereka sendiri.

"Sebenarnya dah lama Linda nak tanya abang,"

"Hrmm.." Falah menyahut.

"Ke mana abang menghilang dua tahun tu?" Linda memandang sisi wajah suaminya. Falah tersenyum kecil membalas pandangan sang isteri.

"Tempat yang sama abang menghilang selama tiga tahun sebelum." Jawab Falah tenang.

"Dekat mana?" Linda berkerut.

"Temboro Indonesia. Abang berguru dengan seorang sheikh dekat sana."

Linda baru tahu kenyataan itu hari ini, selepas dua minggu berkahwin dengan Falah.

"Abang belajar ilmu pertahanan diri dengannya?"

Falah tertawa mendengar soalan itu. "Bukan ilmu pertahanan diri, tapi ilmu tasawuf. Dia mengajar abang untuk sentiasa mengingati Allah walau di mana pun abang berada. Hatta abang sedang makan pun, abang perlu berusaha untuk ingat pada Allah."

"Susahnya.." Linda menyedari betapa situasi itu sangat susah.

"Memang pun. Hari pertama hingga hari kelima, hidup abang kucar-kacir. Banyak perkara abang tak boleh handle. Guru abang banyak ajar abang untuk bertenang. Sentiasa menyendiri untuk mengingati Allah sepenuh hati. Sebulan guru abang latih diri abang untuk buat itu sahaja. Abang pernah nak lari dari rumah dia sebab tak tahan sangat. Tapi abang tahu, abang tetap tak ada tempat tinggal kalau balik."

"Akhirnya apa jadi?" Linda rasa ingin tahu.

Falah melepaskan pelukan dari isterinya, lantas bergerak ke sisi. Kini mereka saling berhadapan. Falah tersenyum.

"Akhirnya, selepas sebulan abang berkeadaan sebegitu, sehingga abang mengalami tekanan yang sangat dahsyat sebab cuba ingat Allah setiap masa – guru abang panggil abang dan tanya abang hanya satu soalan."

"Dia tanya apa?"

Falah tertunduk, tersenyum kelat mengingati waktu itu.

"Adakah kamu sudah mengenali Allah?' Itulah soalan tuan guru pada abang. Abang tak sangka dia akan tanya macam tu, jadi abang jawab yang abang kenal Allah."

"Lepas tu?"

"Tuan guru kata, tidak. Abang belum kenal Allah, sebab itu abang sangat susah untuk mengingati Allah. Cinta pada Allah sama macam mencintai seseorang. Sebelum kita mencintainya kita perlu mengenali dahulu dia sepenuh hati, lalu bila kita sudah mencintainya amat mudah untuk kita mengingatinya sentiasa." Falah menghela nafas.

Linda terpegun mendengar cerita itu.

"Lalu abang tanya, macamana hendak mencintai Allah. Guru jawab, dengan mendalami setiap cipataan-Nya dan kalam-Nya. Mulai saat itulah abang mula menghafal quran, dan abang juga belajar banyak kitab, abang hendak mengenali Allah sepenuh hati abang. Abang menyelidik semua tentang ciptaan Allah, dari angkasa sehingga ke zarah di bumi ini. Abang hendak lihat semuanya. Dan abang nampak," Mata Falah berkaca. "Hebatnya Allah tidak terkata. Tidak bersempadan. Semakin abang mencari, semakin abang jumpa banyak dan lagi banyak. Tak pernah berakhir. Tak pernah ada penghujung."

Linda rasa sebak bila melihat Falah menunduk dengan mata berkaca-kaca. Falah tertawa perlahan, kedengaran pedih. "Abang terlalu naif sehingga tak nampak semua itu sebelum ini."

"Linda pun sama." Linda membalas dengan senyuman hambar.

Falah menatap isterinya, perlahan air matanya tumpah.

"Saat itu, abang mula sedar sebenarnya selama ini kenapa begitu sukar abang cuba ingat Allah setiap waktu. Rupanya kerana abang tidak menyerahkan sepenuh hati abang pada-Nya. Bila kita serahkan sepenuh hati kita pada-Nya, maka kita tak dapat elak dari terus berfikir. Sehingga kita boleh mencapai tahap angau."

Mereka berdua ketawa bila perkataan Angau muncul. Seakan pelik pula bila disebut. Namun itulah hakikatnya. Bila terlalu mencintai tuhan, akan sampai satu tahap angau. Sehingga bila menatap langit, bibir akan tersenyum sendiri.

"Dan dua tahun lepas, abang balik semula ke sana. Belajar dan terus belajar. Abang cuma rasa sangat dahaga dengan ilmu sehingga tak sedar abang lambat balik ke rumah. Bila guru menegur barulah abang sedar yang abang perlu pulang."

Linda tersenyum mendengarkannya.

"Dan sekarang di sinilah abang, berkahwin dengan wanita yang sangat hebat." Rambut Linda diusap lembut. Linda tertunduk malu.

"Kalau macam tu, dari mana abang pandai seni tempur?" Linda baru teringat, rasa suaminya tak ada pun menyebut tentang belajar seni tempur.

Falah ketawa, sempat mencubit pipi Linda. Linda berkerut pelik.

"Abang kerja apa sekarang? Tukang masak ke?" Soal Falah sarkastik. Tawanya masih sahaja bersisa.

Linda berfikir sejenak, kemudian dia tersedar lalu tersengih comel.

"Lupa, abang kan polis."

Falah ketawa lalu memeluk Linda erat. Mereka kemudian sama-sama ketawa.

Tersenyum bahagia dalam sebuah syurga yang dikurniakan Allah untuk mereka nikmati di dunia ini.


TAMAT




InsyaAllah.. Saya akan buat story FALAH lagi selepas ini. Mungkin ia jadi siri perjalanan hidup Falah. Jangan cedih cedih okay!

Tengok cover baru! Saya buat sendiri tau! Puji sikit hahaha

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now