| Henry | 56

12.7K 1.8K 187
                                    

Dua tahun, segalanya berlalu dengan pantas. Sekelip mata segalanya kembali menjadi normal. Pulang ke Kuala Lumpur menjadi seorang pegawai polis yang sibuk dengan penyiasatan dan pembunuhan. Mempunyai keluarga yang lengkap dengan seorang cahaya mata hasil cintanya dengan isteri. Segalanya menjadi sediakala. Tiada yang aneh. Seolah kejadian dua tahun lalu hanyalah sekadar dongeng untuk memorinya.

Kadang-kadang dia terfikir, adakah kejadian di Pulau Jengka itu ialah realiti atau mimpi? Kerana apabila dia memandang kembali ke memori yang satu itu, dia dapati begitu banyak perkara yang tidak logik yang dia kongsikan dengan Falah. Berlawan dengan makhluk hodoh itulah yang paling buat dia rasa tidak percaya.

Namun, apabila dia melihat keratan akhbar tentang misteri serunai maut dua tahun lalu, dengan gambar dia sedang membuat sidang media di hadapan puluhan kamera dan puluhan wartawan – dia tahu semua itu ialah realiti. Saat dia berkongsi dengan dunia tentang misteri ini, dengan penerimaan mereka tentang perkara tidak logik ini – dia tahu dia benar-benar telah alami semua yang terjadi di Pulau Jengka itu.

Henry tersengih sendiri. Mug berisi kopi yang sudah tinggal separuh dia letak atas meja. Tubuh yang tadinya bersandar dibawa tegak. Skrin laptop yang bercahaya di depan matanya itu memaparkan gambar sebuah keluarga. Ada dia, Iman dan seorang bayi kecil perempuan – Hasya namanya.

Hari ini dia perlu siapkan satu lagi fail siasatan untuk dibentangkan di sidang media esok hari. Bila disebut tentang sidang media itulah dia jadi serta-merta teringatkan dua tahun lalu di mana dia pernah berdiri di depan wartawan dan kamera menyampaikan sesuatu yang tidak masuk akal. Megingatkan itu buat dia termenung sendiri. Cukup hairan bagaimana dia boleh jadi sangat berani membentangkan kes tidak masuk akal seperti itu.

Henry mengambil tablet dan membelek berita-berita baru. Pembunuhan yang berlaku baru-baru ini melibatkan seorang usahawan wanita yang mayatnya dijumpai dalam keadaan dikerat empat belas. Pembunuhan yang sangat kejam.

Ketika itu dia terdengar bunyi bising di luar pintu bilik kerjanya. Seperti ada yang melanggar pintu itu berkali-kali.

Bunyi itu tidak mengerikan kerana itu dia tidak cemas, malah dia boleh tersenyum lagi. Tidak menunggu lama, dia terus bangkit dari kerusi lalu mendekati pintu. Sengaja dia tidak membuka pintu awal-awal. Telinganya dirapatkan ke pintu.

"Siapa dekat luar tu?" Dia bertanya dengan senyuman yang ditahan. Di luar, bunyi sesuatu melanggar pintu semakin kuat. Malah dapat didengari tawa kecil menyelit bunyi bising itu.

Henry tersengih lebar mendengarkannya. Dia kemudiannya membuka pintu sedikit, dia pula menyorok di belakang pintu.

Ketika itu muncul Hasya di dalam walker merah jambunya, sungguh teruja bila papanya sudah buka pintu. Tapi dia tidak jumpa di mana papa. Tawanya hilang. Berpusing kepalanya mencari papa di sana sini.

"Pa.. Pa.." Mulut kecilnya memanggil. Gelabah bila tidak menjumpai papanya. Henry di belakang pintu perlahan mendekati Hasya dari belakang.

"Dapat dia!!" Terus tubuh Hasya dilambung dari walker. Hasya terjerit nyaring bila dikejutkan begitu, namun sekejap jeritannya menjadi tawa merdu. Apatah lagi apabila papanya menggeleteknya. Pecah tawanya.

"Mama! Tengok siapa kacau papa kerja!" Henry melaung dalam menggeletek Hasya.

Hasya terus ketawa bila papanya makin kuat menyakatnya. Sehinggalah mereka berdua terduduk atas sofa. Hasya terus merangkak hendak lari dari papanya.

"Haa.. nak pergi mana?" Henry cekap menangkap Hasya. Dikucup pipi gebu anaknya itu. Hasya mencebik sedih bila tak sempat melarikan diri. Mulutnya berbunyi sesuatu, seperti marah. Henry tersengih sahaja melihat anaknya membebel. Membebel pun comel. Parah benar.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now