| Henry | 21

12.5K 1.7K 59
                                    

DIA sudah lama jaga, namun dia malas hendak bangun. Masih berbaring merenung siling rumah kayu ini. Berbungkus gebar tebalnya yang sangat digemarinya. Suasana pagi sangat sejuk biarpun kipas tidak dibuka. Buat dia rasa makin ralat untuk bangkit mandi.

Henry meletakkan tangan di dahi. Termenung sendirian. Falah sudah lama tiada di sisinya. Pastinya adik iparnya itu sudah pun keluar pagi-pagi begini. Tadi ketika solat subuh Falah tidak mengejutkannya, dia terjaga sendiri dalam jam enam setengah itupun kerana terdengar suara Falah membaca AlQuran di musolla. Nampaknya Falah solat sendiri sahaja subuh tadi. Akhirnya dia solat seorang sahaja di sebelah Falah yang tampak khusyuk benar dengan qurannya.

Entah kenapa selepas berhari-hari menjaga solat, dia jadi rasa serba salah jika meninggalkan sembahyang walaupun untuk satu waktu. Terasa ada sesuatu yang memberat apabila dia terlepas satu waktu solat. Kerana itulah biarpun dia tidak sempat berjemaah dengan Falah subuh tadi, tetap juga dia solat bersendirian.

Selepas subuh itulah dia kembali masuk ke dalam selimut dan lena akibat terlalu penat dengan kerja semalam. Falah pun seakan faham keadaannya, tidak dikejutkan dari tidur pagi itu dan adik iparnya itu nampaknya hari ini keluar bersendirian sahaja.

Tidak perlu disoal lagi ke mana Falah, pastinya lelaki itu ke pekan pada waktu begini. Waktu inilah waktu kemuncak kesibukan pasar. Maka Falah gunakan peluang ini sebaiknya untuk 'agenda'nya.

Mengambil hati penduduk kampung.

Berhari-hari berada di Pulau Jengka, Falah dan Henry tidak duduk diam. Kerap keluar dengan sebab saranan dari Falah sendiri untuk bersemuka dengan penduduk kampung kesemuanya. Bukan untuk bercakap tentang dakwah dengan mereka, tapi untuk ikram mereka atau dalam bahasa lebih mudah bermesra dengan mereka.

Tidak mudah rupanya untuk membetulkan akidah seseorang, malah ini bukan seseorang tapi satu kaum. Memerlukan usaha yang bukannya calang-calang.

Sabar itu sangat penting.

Teringat pula kata-kata Falah ketika mereka makan petang bersama-sama kelmarin selepas mereka kelelahan membantu penduduk kampung di jeti. Biarpun mereka tidak diendahkan malah dicemuh secara berhadapan, tetap Falah bertegas untuk membantu sehingga akhirnya orang kampung di situ terpaksa pasrah sahaja dengan kedegilan Falah dalam sikap ramahnya.

Dan waktu makan petang itu Falah mengatakan sesuatu yang bagi Henry dia mula sedar, kenapa Falah masih teguh mengambil hati penduduk kampung biarpun dicemuh dan dimaki.

"Rasulullah dahulu, mengajak kaum quraisy kepada Allah. Sedangkan kaum quraisy ialah keluarga Rasulullah. Baginda tidak gentar langsung. Tiga belas tahun baginda dakwah. Secara berperingkat. Tidak dengan mendadak. Bermula dengan ambil hati dahulu. Menunjukkan peribadi yang baik dan mulia. Tidak pernah memaksa. Kemudian selepas itu, barulah baginda dakwah secara terang-terangan. Waktu itulah kaum quraisy menunjukkan penentangan dengan sangat dahsyat. Orang islam diseksa. Para wanita juga dibunuh. Namun orang islam bersabar. Rasulullah tetap meneruskan dakwah. Walaupun berkali-kali dicemuh dan dibuat percubaan membunuh."

Falah diam sejenak. Menelan saki baki kuih dalam mulut.

"Dan kerana begitu banyak pengorbanan yang dilakukan, tiga puluh tahun selepas itu dua pertiga dunia ialah di bawah taklukan orang islam. Kejayaan demi kejayaan datang nenyembah di kaki mereka. Tak perlu disoal kenapa, Allah taala redha pada mereka di dunia dan di akhirat."

Falah pandang Henry dan Iman yang pegun mendengar kata-katanya. Bibirnya kemudian mengukir senyuman.

"Kita baru sahaja tiga hari berusaha, takkan dah putus asa kan?"

Henry akui dia tersentap mendengar ceramah pendek itu. Betapa dia banyak merungut dengan segala kelakuan Falah apabila Falah begitu bersungguh-sungguh membantu penduduk kampung sedangkan penduduk kampung hanya pandai mencemuh mereka. Namun apabila mendengar cerita itu dia dapat faham, kenapa Falah begitu teguh berusaha dalam semua itu.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now