| Bunga | 50

11.9K 1.7K 262
                                    

MENJADI seekor hamba untuk seorang jin bukanlah perkara yang mudah. Biarpun dirinya terasa berkuasa dengan segala sihir yang diberi pinjam jin itu, satu saat diri ini akan tetap lemah di dalam jasad sebenar. Apatah lagi apabila tuannya itu sedang murka padanya. Ketika itu dirinya hanyalah dalam bentuk manusia tua yang tiada apa-apa hatta kekuatan untuk bertutur sekalipun.

Saat ini, waktu petang makin berinjak ke senja - dia terbaring di atas pelantar guanya sendiri. Merenung dinding gua yang dipenuhi bongkah batu hitam. Tubuhnya menggeletar kesejukan. Dirinya ialah Bunga yang sebenar. Yang sudah lanjut usia melebihi usia sebenar manusia normal. Dengan rambut yang berguguran dalam warna putih yang semakin memakan setiap helaiannya. Dia kepingkulan.

Sejak pagi tadi - apabila Falah melaungkan azan sehingga membuatkan tenteranya kalah- kekuatannya telah disedut sepenuhnya oleh Jibt sebagai hukuman atas kekalahan ini. Lalu di sinilah dia sehingga ke malam hari, terbaring lemah bagai nenek tua yang tiada harapan lagi untuk hidup.

Masih jelas dalam pandangannya kemarahan Jibt apabila dia pulang, lelaki jin itu serta-merta menampar pipinya kuat sehingga Bunga dapat merasakan tulang pipinya patah. Tidak cukup dengan itu Jibt memijak tubuhnya bagai hendak meremukkan seluruh raganya, Bunga tahu Jibt sangat marah. Kekalahan ini bukan untuk kali pertama. Ini kekalahan yang entah ke berapa kali. Memang sepatutnya Jibt marah. Bunga redha dimarahi sebegitu rupa. Namun dia tak redha apabila kuasanya ditarik sebagai hukuman.

Ketika dalam susuk sebegini lah dia mula terimbau kisah-kisah lama. Merenung kembali kehidupan lalunya sebagai seorang Bunga. Saat dia mempunyai keluarga yang sangat menjaganya dan mendidiknya.

Lalu mengingati semua itu buat air matanya menitis ke pipi. Dia mula teringatkan ibu bapanya, kawan-kawan sekampungnya, saudara maranya dan paling kuat dalam ingatannya pasti lelaki yang pernah bertakhta dalam hatinya, Tuah.

Sungguh, dia tidak pernah meminta kehidupan sebegini. Dia cuma mahu menjadi seorang wanita biasa yang berkahwin dan bahagia. Namun dia tersalah langkah dalam percintaan lalu tertipu oleh seorang lelaki. Dengan itu dia memilih dendam sebagai jalan akhir.

Kalaulah dia boleh memutar kembali masa, akan dia pilih untuk membunuh diri daripada menjadi seorang Bunga ataupun lebih dikenali dengan nama Mona yang sangat digeruni.

Dia mahu bahagia. Jujur dia cuma mahu bahagia tapi kenapa kebahagiaan itu sentiasa menjauh darinya?

Apabila dia mengambil Linda untuk menggantikan tempat anaknya, tetap juga Linda dijauhkan darinya. Walhal dia sudah terasa sangat hampir untuk menangkap Linda kembali ke dalam jagaannya.

Kenapa?

Kenapa dia tidak diizinkan untuk bahagia?

"Dalam setiap apa yang Dia aturkan ada hikmah dan kebijaksanaan yang maha hebat!"

Suara Falah tidak semena melantun dalam fikirannya.

"Yang kita sebagai hamba tidak mengetahuinya walau sedikit! Yang kau sebagai hamba sanggup membunuh jutaan manusia hanya kerana tidak redha atas aturan ini! Sedang tidakkah kau tahu Bunga, betapa sayangnya Allah pada kau kerana masih selamatkan kau dari seksaan Tuah?! Tidakkah kau sedar betapa sayangnya Allah pada kau apabila dia mendatangkan Nyai untuk menjadi perawat kau? Tidakkah kau sedar besarnya sayang Allah apabila Dia berikan kau Mona sebagai penyejuk mata kau?! Maka kenapa kau pilih jalan ini?!"

Bunga mengetap bibir mengingati kata itu. Entah kenapa, berada dalam balutan dirinya yang asal ini membuatkan hatinya mudah tersentuh. Kata-kata Falah buat matanya makin berair.

"Kerana Dia tiada waktu Nyai dan Mona mati di depan mata aku! Dia langsung tak tolong aku waktu aku perlukan Dia. Dia langsung tak tolong aku waktu aku tiada siapa-siapa! Dan sekarang kau suruh aku percayakan Dia?! Berterima kasih pada Dia?! Selepas dia membunuh semua kesayangan aku!? Selepas dia hilangkan semua keluarga aku?!"

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now