| Razak | 30

12.6K 1.8K 430
                                    

SUASANA perkuburan sangat tenang, sesekali angin pagi menghembus perlahan. Haruman laut Andaman dapat dihidu sehingga ke sini.

Damai.

Namun tiada siapa tahu apa yang berlaku di balik setiap kambusan tanah yang tersusun di sini. Adakah turut damai atau sebaliknya..

Memikirkan perkara itu buat Falah spontan menelan liur. Sedikit gerun membayangkan azab kubur.

"Nuna dipukul ayahnya petang hari kematiannya itu." tidak semena Tok penghulu membuka cerita.

Falah tersentak. Dahi sedikit berkerut dengan mukaddimah tersebut.

"Hanya kerana dia mengucapkan kalimah syahadah di hadapan kedua orang tuanya, dia dibelasah teruk oleh Osman."

Falah tergamam.

"Ya.. Nuna telah zahirkan keislamannya sebelum dia meninggal dunia." Tok penghulu tersenyum keruh.

"Dia juga ada berdakwah pada tok dan ibu ayahnya. Sebab itu Osman jadi naik berang."

Falah tanpa sedar mengucap Subhanallah. Nuna. Kanak-kanak kecil yang luar biasa hebatnya.

"Ketika dia dipukul ayahnya.. Dia banyak kali menyebut nama Allah." Tok penghulu menatap jernih kuburan cucunya ini.

Falah pula sudah tertunduk. Hatinya digigit rasa sayu yang tidak terkata mendengar cerita tersebut.

"Dan dia juga sebut nama kamu."

Falah memejam mata.

"Nuna begitu sayangkan kamu Falah. Tok tak pernah nampak Nuna sayangkan siapa-siapa lebih dari dia sayangkan kamu." Tok penghulu tersenyum kecil.

"Malam kematiannya itu, dia tidur dengan kami kerana dia merajuk dengan ibu ayahnya. Tok masih ingat malam itu dia banyak kali meminta untuk jumpa kamu."


"NUNA nak jumpa pacik.."

Nuna memegang hujung baju atuknya. Merintih sebak.

Tok penghulu menghela lemah. Tangannya naik mengusap rambut Nuna. Sempat dia berpandangan dengan Mak Embun yang turut mendengar permintaan tersebut.

"Nuna.. Dah lewat malam. Tidak elok kita ganggu pakcik." Tok penghulu membalas lembut.

"Tapi Nuna nak jumpa pacik. Nuna nak jumpa pacik." Kanak-kanak kecil itu sudah menangis. Begitu bersungguh-sungguh untuk berjumpa dengan pakcik kesayangannya itu. Air matanya tidak henti-henti mengalir pada pipinya itu.

Hati dua orang tua di sini dipagut sayu dengan keadaan Nuna.

"Nuna.. Jangan macam ni sayang." Mak Embun sudah merapat. Mengusap belakang tubuh kecil yang terhinggut-hinggut itu.

"Nuna nak pacik, nenek. Nuna nak pacik." Nuna mengulang dan mengulang ayat itu. Terus sahaja menangis seolah sudah tiada harapan lagi untuk dia berjumpa dengan Falah selepas ini.

"Nuna.. Esok kita pergi rumah pacik ya." Tok penghulu memujuk.

Nuna menggeleng. "Nuna nak jupa malam yini jugak. Nuna tak nak jupa eshok." Dia menyembamkan wajahnya pada dada Tok penghulu, merayu sesungguh hati.

"Nuna.." Tok penghulu penat.

"Atuk.. Tolonglah. Nuna nak jupa pacik."

Dan malam itu Nuna lena dalam keadaan mengulang-ulang ayat itu dengan tangisan yang berlagu kecil sehinggalah akhirnya Osman dan Nurin datang mengangkat anaknya itu memasuki bilik mereka.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now