| Tok penghulu | 44

13.6K 1.8K 232
                                    

MALAM. Mereka kembali berehat selepas berjalan tanpa henti sejak tengahari tadi. Keadaan Linda semakin baik biarpun wajah gadis itu masih pucat. Kesan lemas masih ada pada gadis itu.

Suasana hutan seperti biasa gelap gelita. Bulan diselubungi kabus nipis membuatkan cahayanya tampak berbalam di tengah langit.

Jam dua pagi, saat semua sedang lena berbungkuskan alas tidur masing-masing - Falah terjaga dari lenanya. Dirinya rasa terganggu dengan sesuatu. Tidurnya tidak dipayung mimpi. Akhirnya dia bangkit duduk. Membaca beberapa ayat quran yang menjadi rutinnya setiap kali terjaga di tengah malam.

Falah kemudian bangkit berdiri lantas membuka langkah menuju sungai yang berada sedikit di bawah sana. Dengan beberapa lompatan kecil dia sudah sampai di bawah curam, terus mendekati sungai yang mengalir tenang dalam rembulan cahaya bulan.

Dengan lafaz basmalah dia mula menceduk air untuk mensucikan diri. Bermula dari berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, diikuti membasuh muka tiga kali. Semuanya mengikut tertib.

Sejenak, ekor mata Falah ternampak satu kelibat di balik pokok seberang sana. Namun dia tetap sahaja meneruskan wuduk. Tidak tergugat walaupun menyedari kelibat itu sedang merenungnya tajam.

Falah selesai berwuduk lantas mendongak ke arah langit, doa selepas wuduk dibaca penuh khusyuk. Baru sahaja dia hendak mengorak langkah pulang, terasa bagai ada hembusan panas mengocak angin malam.

Langkah Falah terhenti tanpa terseret kakinya. Jeda. Bibirnya mula bergerak menyebut ayat kursi. Bulu romanya menegak dan itu adalah satu tanda sesuatu yang mistik sedang menghampiri.

Seketika angin panas hilang. Berganti dengan bunyi hutan yang tidak pernah diam.

Dia kembali membuka langkah. Tidak berminat untuk melayan apa sahaja makhluk yang sedang mengganggu itu. Fikirannya lebih terarah untuk bermunajat pada Tuhan.

Sesampai di tempat mereka, Falah lantas mengambil kain alas untuk dijadikan sejadah. Dihamparkan ke arah barat, sedikit senget ke kanan. Arah kiblat. Istighfar dan selawat dibaca sebelum takbir diangkat.

Semerta suasana hutan jadi hening bagai dihembus ketenangan hasil takbiratul ihram Falah. Suasana meremang tadi hilang. Hanya tinggal kesepian yang terasa sangat mensunyikan hati.

Beberapa lama kemudian, Linda pula terjaga dari lenanya. Dia rasa hendak tersedak. Lekas-lekas dia duduk terbatuk-batuk mengeluarkan lendir yang terasa melekat di peparu. Nafasnya jadi mengah sedikit.

Sejenak matanya ternampak kelibat seseorang sedang sujud di hujung sana. Dalam kepekatan malam ini Linda tak dapat mengecam siapakah orang itu. Namun dari cara pergerakan susuk itu Linda dapat tahu yang orang itu ialah Falah.

Linda termangu sekejap merenung kelibat tersebut. Nafasnya yang mengah bertukar tenang. Entah kenapa dia rasa damai melihat pergerakan Falah. Seketika kemudian Falah duduk dalam keadaan menyendengkan sedikit tubuh ke kanan, beberapa minit berada dalam keadaan itu Falah pun memberi salam ke kanan dan ke kiri.

Linda tahu solat Falah sudah selesai. Dia sudah masak dengan cara solat kawan-kawannya ini.

"Tidak boleh tidur?" Falah bertanya apabila menyedari Linda sedang duduk.

Linda menggeleng.

"Pergilah basuh muka di sungai, segarkan diri sebelum kembali tidur." Falah memberi saranan.

Linda mengangguk. Kemudian dia bangun berdiri lalu berjalan perlahan-lahan ke arah sungai. Langkahnya agak payah kerana suasana sangat gelap. Akhirnya dia sampai juga di sungai lantas dia menghampiri tebing untuk membasuh sedikit wajahnya.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now