| Falah | 38

11.4K 1.6K 134
                                    

"KALAU begitu, saya tidak akan ikut."

Hanya kerana sepatah ayat itu, akhirnya dia ditinggalkan kumpulan itu. Tanpa pamitan mahupun lambaian, mereka pergi begitu sahaja. Hanya Iman yang sempat memandangnya dengan pandangan simpati sedangkan yang lain langsung tidak memandangnya apatah lagi Falah.

Dia terduduk di pangkin. Menyendiri di situ dengan wajah yang kosong. Hatinya terkilan dengan perbuatan tiga pengembara itu. Fikirnya tiga orang ini akan menjadi teman rapatnya. Namun rupanya mereka langsung tidak melayannya seperti teman. Malah boleh pula ditinggalkannya seorang diri di sini.

"Itulah kau Mona, kenapa perlu mengharapkan orang lain? Bukankah Nyai sudah berpesan untuk berdikari?" Mona bercakap seorang diri. Menyoal perasaan lemah dalam dirinya.

Dia tak suka keadaannya begini. Rasa terkilan hanya kerana ditinggalkan.

Teringatkan Nyai menambah rasa lemah itu. Dia jadi rasa keseorangan. Apatah lagi dengan apa yang terjadi tadi berbagai soalan muncul dalam kepalanya.

"Tukar nama dahulu kepada Linda, dan awak diterima masuk dalam kumpulan kami."

Aneh. Kenapa Falah memintanya menukar nama daripada Mona kepada Linda? Adakah salah untuk dia menggunakan nama sebenarnya untuk perjalanan ini? Tak mungkin hanya kerana nama itu milik wanita di Teluk Nyai maka dia perlu menukar nama?

Lagipun, kenapa nama Linda?

Mona mengerutkan wajah. Masih jelas pada matanya tatapan tajam dari Falah. Bermaksud lelaki itu benar-benar memaksudkan perkara itu.

Mona akhirnya melepas nafas. Malas hendak fikirkan tentang orang yang langsung tidak penting dalam hidupnya. Walaupun dia terpaksa mengakui yang dia sangat terguris hati dengan tindakan Falah - lelaki yang sebelum ini dia kenali sebagai seorang yang menenangkan - namun dia kuatkan hatinya agar menjadi kental.

Dia perlu mulakan perjalanan jauh ini sendirian. Apa pun yang terjadi, dia perlu tunaikan wasiat Nyai untuk mencari wanita di timur itu. Biarpun dia bersendirian, biarpun tiada siapa ingin membantunya.

Mona bangkit dari duduknya. Menarik nafas dalam-dalam hingga menyentuh dasar perut. Lantas diluahkan tenang.

"Kau perlu percaya pada diri kau Mona. Jangan bergantung pada orang lain." Dia memberi motivasi pada dirinya sendiri.

Lantas dia melangkah ke pintu rumah. Hendak mengambil barangan di dalam rumah sebelum memulakan perjalanan. Entah berapa hari perjalanan ini, namun dia hanya ingin bersedia atas segala kemungkinan. Apa sahaja yang terjadi dia perlu menyediakan kelengkapannya. Mungkin sahaja dia perlu membawa senjata untuk pengembaraan ini.

Ketika dia melangkah masuk ke rumah, dia tiba-tiba jadi teringat akan kata-kata Falah sebentar tadi.

Berkenaan kenyataan lelaki itu bahawa mayat di dalam bilik itu bukanlah mayat Nyai.

Lagi sekali akal Mona disambar keanehan. Kenapa Falah mengatakan bahawa mayat di dalam bilik itu bukan mayat Nyai?

Ah begitu banyak soalan dalam kepalanya!

Dek kerana begitu banyak soalan itu maka dia bergerak ke bilik Nyai untuk melihat sendiri mayat itu. Lagipun jika kumpulan pengembara luar itu belum menguruskan mayat neneknya maka tanggungjawabnya untuk menguruskan mayat itu sebelum memulakan perjalanan.

Saat kakinya menapak di hadapan pintu bilik neneknya, pandangannya disajikan dengan susuk mayat rentung yang terbaring kemas di lantai bilik.

Dia melangkah masuk tanpa gentar. Menghampiri mayat tersebut. Tangannya dikepal erat.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now