BAB 7: I'm lost

58 9 9
                                    


Aku berbaring di atas lantai papan di hadapan pintu masuk rumah. Rumah kami merupakan banglo kecil dua tingkat dengan gaya rumah istana tradisional China. Kaki lima papan di sekeliling rumah itu sudah menjadi adat dalam keluarga Wong.

Hari sudah melabuhkan tirai, mengeluarkan bulan mengambang yang terang. Aku tidak membuka lampu rumah kerana tiada sesiapa di rumah, dan aku tidak mahu ada sesiapa nampak aku di koridor rumah. Aku cuma mahu mengambil angin malam, menghidu bau tumbuh-tumbuhan selepas hujan.

Ibu dan ayah tiada di rumah kerana melawat saudara ibu di kampung sebelah. Kemungkinan besar mereka tidak akan pulang untuk dua hari. Mereka ada mengajak aku untuk pergi bersama, tapi aku tiada semangat untuk keluar dari rumah. Walaupun kebanyakan orang kampung tidak tahu pun apa itu hackathon. Mungkin mereka akan terfikir tentang Wak Ton si tukang urut, tapi aku masih tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan manusia. Aku perasan sendiri, diri ini popular di media kerana aku kerap dibandingkan dengan Amer Faiqal.

Semua orang memuji Amer di laman web hackathon kemudian berkata, 'Stay strong Amer, biasalah orang hebat sentiasa hebat cabarannya, sistem kena curi itu menunjukkan sistem Amer hebat sampai orang nak mencuri.'

Jijik aku yang membaca.

Setelah seminggu hackathon berlalu, aku mendapat berita bahawa Amer Faiqal mendapat markah tertinggi untuk Software Angine's Prodigy, asbab sistem yang aku cipta. Aku bernasib baik kerana tidak mempunyai sosial media. Tidak perlulah aku menghadap muka Amer di mana-mana sosial media yang aku lawati.

Dia berjaya hasil merompak usaha aku. Aku menyentuh dada aku yang sakit bagai ditusuk sembilu. Aku rasa ralat ingin melepaskan sistem yang aku bersengkang mata buat seorang diri kepada orang lain.

Nasib baik aku masih ada kawan-kawan dari dark web yang tak kenal pun aku siapa.

Bunyi motor kedengaran masuk ke pekarangan rumah. Aniq memarkir motosikalnya di hadapan rumah, lalu menanggalkan topi keledar. Pasti dia baru pulang dari studio di bandar, merekod lagu barunya. Tidak cukup mendengar Aniq melalak di rumah, aku akan mendengar lagi Aniq melalak di radio. Dan lagu tersebut akan viral hampir 6 bulan lamanya di setiap siaran radio, dan media sosial.

Seketika Aniq ingin bergerak ke pintu hadapan, matanya bertembung dengan aku yang terbaring dengan rambut mengurai di atas lantai.

"Aaaaa!!! Momok!" Jeritan high pitch milik Aniq terkeluar. Lantas, dia mengambil penyapu di tepi rumah, cuba melibas aku yang berada di atas lantai.

"Ini akulah, Aniq!" Aku menyambut penyapu yang lagi beberapa sentimeter akan mengena tubuh aku.

"Hish kau ni! Kenapa tak buka lampu?" Bengang Aniq apabila kejantanannya dicabar begitu. Tidak pasal-pasal terkeluar suara nyaring. Hilang macho.

"Aku tak nak orang nampak aku."

"Baik kau jadi momok, akak. Orang pun takut nak pandang." Perli Aniq. Dia melangkah masuk ke dalam rumah kemudian menghidupkan lampu di ruang tamu.

Aku masih lagi terbaring di kaki lima papan di hadapan pintu rumah. Termenung memandang bintang di dada langit. Cahaya dari ruang tamu yang terpantul keluar ke kaki lima luar rumah sedikit sebanyak mengganggu aku.

"Kak, dah makan ke belum? Aniq beli piza ini. Akak nak tak? Ini piza buatan kedai kawan Aniq. Dia baru buka kedai."

"Tak nak." Perlahan aku membalas.

"Burger nak?"

"Tak nak."

Aku hanya duduk di luar rumah. Tangan mengambil bola tenis di sebelah, lalu aku membaling bola tenis ke dinding tepi rumah sebelum menangkapnya kembali.

I'M LOSTWhere stories live. Discover now