BAB 9: You will be found

59 8 12
                                    

"Ya puan, nak makan apa?" Aku bertanya pada Puan Yiew yang duduk di meja tepi tingkap itu. Aku kenal dia kerana dia salah satu pelanggan yang kerap datang ke sini kerana pejabatnya berada di sekitar restoran kami.

"Amalia, kan?" Tanya Puan Yiew. "Lama tak jumpa dekat kedai. Sibuk belajar, kan?"

Aku hanya mengangguk. "Ya, puan nak makan apa?" Aku tersenyum.

"Ingat tak anak mak cik, Kaisara yang satu kelas dengan kau masa sekolah menengah?" Dia bertanya lagi.

Aku hanya menggelengkan kepala. Aku tak ingat semua rakan sekelas aku kerana aku sibuk belajar. Aku memang malas nak ambil tahu pasal orang lain.

"Dulu, kau selalu dapat nombor satu dalam kelas, kalahkan anak mak cik. Tapi sekarang anak mak cik dah ada degree dalam bidang kedoktoran. Baru balik dari Korea dua bulan lepas. Kau yang pandai daripada dia pun tak dapat tajaan pergi luar negara."

"Haha." Aku tertawa tidak ikhlas. "Puan nak makan apa?" Tanya aku sekali, mengabaikan komennya.

"Kesian kau ni, belajar tinggi-tinggi, sijil berlambak tapi kerja dekat kedai mi tarik." Puan Rozana pula menyambut.

"Itulah, belajar bidang lain, kerja bidang lain." Tambah Puan Fiona.

"Saya tolong mak saya aje. Bukan saya kerja tetap dekat sini." Aku menarik senyum tak ikhlas.

"Bagus anak mak cik belajar sampai dekat Korea. Kelas kau mak cik!" Aniq tiba-tiba mencelah sambil mengelap meja yang wanita-wanita separuh abad itu duduki. Perangai Jemah Aniq dah keluar. "Anak mak cik dah dapat kerja jadi doktor ke belum? Dengar cerita sekarang pun dia menganggur. Iya mak cik?"

"Eh, suka hati kau aje, dia baru dapat tawaran kerja dekat hospital kerajaan bulan lepas. Balik dari Korea terus sampai surat tawaran." Puan Yiew mendabik dada.

"Tch-tch." Aniq berdecit sambil menggelengkan kepala dengan wajah yang sedih. "Kaisara itu sebaya dengan saya, umur 22 tahun. Mana ada orang dapat ijazah kedoktoran dalam masa 3 tahun, paling cepat pun pengajian 5 tahun. Lainlah kalau pandai macam kakak saya, orang belum habis sekolah menengah, pihak universiti dah bagi surat tawaran masuk universiti. Ini tidak, Kaisara itu belum dapat ijazah dah berlagak macam apa."

Aku tak dapat nafikan kata-kata Aniq. Memang betul pun aku masuk universiti awal sebab aku pakai keputusan peperiksaan percubaan Lance, di mana semua pelajar sekolah menengah Lance perlu menduduki peperiksaan itu sebelum mengambil Peperiksaan Awam Negara Lance. Hasilnya aku telah dapat ijazah dalam software engineering pada umur 22 tahun.Tarikh graduasi aku agak lambat, tapi aku sudah boleh bekerja dengan sijil peperiksaan akhir ijazah aku.

Berubah riak muka Puan Yiew. "Anak aku yang cakap pengajian dekat Korea memang cepat. Adam Khai pun jadi doktor umur 16 tahun."

Aniq terus berdekah. "Mak cik bandingkan Professor Dr. Adam Khai dengan Kaisara? Mak cik tak baca ke biografi Adam Khai? Adam Khai umur 7 tahun dah bedah mayat. Anak mak cik umur 7 tahun masih main barbie sambil hisap puting."

Aniq menggabungkan kedua belah tangan dengan muka kasihan. "Macam itu jelah mak cik kena gula dengan anak mak cik. Lepas tu? Dah kerja ke belum?"

"Isy, kan aku dah kata dia dah kerja dekat hospital kerajaan!" Melenting Puan Yiew di situ.

"Kesiannnn... belajar tinggi-tinggi jadi doktor dekat hospital kerajaan, gaji asas 2 ribu aje? Penat anak mak cik belajar sampai Korea, berhabis duit sampai ratusan ribu nak bagi dia graduate. Balik Lance dapat gaji 2 ribu, sama taraf dengan gaji saya yang cuma pelayan tak ada sijil sekolah menengah." Aniq mengangkat apronnya penuh lagak.

I'M LOSTWhere stories live. Discover now