Prolog

18.2K 1.1K 147
                                    

Semoga saya rajin untuk update selalu

.
.
.

"Dah tak ada harapan lagi." Perlahan saja suara itu memecah sunyi pejabat. Serak dan lesu. Tanda dah begitu lama memikirkan cara untuk selamatkan keadaan.

Dia hanya tunduk di belakang. Memeluk tablet. Wajahnya keruh. Dia yang bawa berita buruk ini pada Tuan Mustakim, tapi dia juga rasa pedih.

"Kita tiada pilihan lain, melainkan umumkan bankrap." Perit sekali ayat itu diluah.

Dia pejam mata.

Tuan Mustakim senyum hambar. "Ini pilihan terbaik sebelum keadaan jadi lebih teruk, Irdina." Tuan Mustakim tahu setiausaha di belakangnya sedang sedih. Ayat itu lebih kepada memujuk.

Irdina mengetap bibir. Matanya dah berair.

46 tahun syarikat ini terbina, dan sekarang hanya kerana satu kesilapan.. Syarikat ini akan ranap sehabisnya. Hati mana tidak remuk.

Irdina berkhidmat di sini sejak 10 tahun lalu. Dia sangat sayangkan syarikat ini. Jika begini sayangnya dia, apatah lagi Tuan Mustakim. Tuan Mustakim membesar bersama syarikat ini.

Ketika usia Tuan Mustakim setahun, syarikat ini dibuka ayah beliau, Dato' Mukhriz. Selepas kematian Dato' Mukhriz 20 tahun lalu, Tuan Mustakim ambil alih. Irdina tak dapat bayangkan betapa Tuan Mustakim sayangkan syarikat ini.

"Kita buat sidang media 12hb nanti," ujar Tuan Mustakim selepas lama diam.

Irdina mengangguk. Hela nafas berat.

"Baik, tuan."

Dia kemudian meminta diri. Keluar ke mejanya. Tablet diletak. Begitu banyak fail tersusun di atas mejanya. Seminggu dua ini dia selalu pulang lewat, mencari cara untuk selesaikan masalah ini. Tapi akhirnya, semuanya menemui jalan mati.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Mendongak ke siling. Mata berair. Tapi ditahan. Dia kemudian hela nafas.

Dia perlu kuat. Dia perlu kuat berada di sisi Tuan Mustakim. Jika dia sedih, Tuan Mustakim lebih sepatutnya bersedih.

.
.
.

Maghrib itu dia masih belum pulang. Berada di pejabat seperti biasa, menyiapkan kerja. Bila menjadi setiausaha, tiada istilah overtime untuknya. Kerana sepenuh masanya ialah untuk syarikat ini. Dia bekerja dengan seikhlas hati. Jadi dia sering pulang lewat, dia tidak peduli kerana tiada siapa di rumah. Dia hidup sendirian.

Dia siap bancuh kopi untuk Tuan Mustakim. Memang setiap malam bila mereka masih di pejabat, Tuan Mustakim mahukan kopi. Sejak syarikat punya masalah, mereka selalu pulang lewat malam. Selain mereka berdua, ada seorang lagi PA Tuan Mustakim yang menemani. Bernama Wafiy. Lelaki pendiam yang selalu mengiringi Tuan Mustakim ke mana-mana.

Dia melangkah ke pejabat Tuan Mustakim bersama kopi panas. Pintu diketuk dua kali. Selepas mendapat sahutan, dia pun masuk. Bilik Tuan Mustakim terang-benderang. Jendela kaca menghamparkan pemandangan bandar Kuala Lumpur di waktu malam.

Tuan Mustakim sedang menikmati pemandangan. Esok ialah hari sidang media. Mereka sudah membuat persiapan sebaiknya untuk sidang media nanti. Selepas sidang media bankrap diumumkan, pengosongan bangunan akan dibuat.

Irdina dapat faham perasaan Tuan Mustakim sekarang. Pasti Tuan Mustakim memikirkan banyak perkara. Ada ribuan pekerja di bawah syarikat mereka, dan kini semua itu kehilangan kerja. Duit pampasan pun tidak dapat menampung melainkan sara hidup tiga bulan saja.

Irdina hela nafas. Dia meletakkan muk kopi di meja.

"Tuan," Irdina menegur lembut.

Tuan Mustakim sedar kewujudan Irdina sejak tadi lagi. Dia hanya diam. Merenung pemandangan dari puncak menara ini buat kali terakhir. Selepas ini bilik ini malah menara ini bukan miliknya lagi.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now