35 | Marah?

10.8K 1.1K 527
                                    


.
.
.

"Boleh saya bermalam di rumah auntie malam ni?" Irdina meminta sopan.

Dia sudah berfikir panjang apa yang dia perlu lakukan. Dia perlu bermalam di pejabat. Memandangkan rumah ini ialah pejabat tempat kerjanya, maka dia perlu bermalam di rumah orang juga. Susah dia mahu buat keputusan ini. Tapi memikirkan rasa tidak tenang, dia tekadkan diri.

Puan Leila seperti tidak bersedia menyambut permintaan itu. Dia sedikit terkejut.

"Irdina nak bermalam sini malam ni?" Soalnya ingin kepastian.

Irdina mengangguk perlahan.

Puan Leila mengulas senyum lebar. "Dengan senang hati auntie jemput, Dina."

Gembira dia mendengarnya. Dia pun sebenarnya tidak senang Irdina perlu pulang lewat setiap hari. Sebelum ini dia mahu saja menjemput Irdina bermalam di sini, tapi dia risau Irdina yang tidak selesa.

"Auntie jangan risau. Dina bermalam dekat bilik pejabat aje." Irdina tidak mahu Puan Leila fikir dia mahu bilik tidur pula. Segera dia menjelaskan.

"Haish, apa pulak bermalam dekat pejabat? Dina kan ada bilik sendiri dah. Bilik depan musolla tu, itu bilik untuk Dina. Boleh tukar baju, mandi solat semua."

"Dina memang bermalam sebab nak selesaikan kerja aje, auntie." Irdina senyum segan. Dia tidak terfikir pula mahu menggunakan bilik itu. Dia memang mahu berjaga malam ini. Itu tujuan utama dia mahu bermalam di rumah ini.

"Lepas tu tak akan tak mahu tukar baju, solat, tidur sikit? Takkan sepanjang malam bekerja? Lepas tu esok jadi apa? Jadi panda?"

Irdina tertawa diserang soalan begitu. Nampak geram sungguh Puan Leila padanya.

"Okay. Dina guna bilik tu. Terima kasih, auntie." Irdina turutkan sahaja.

"Kalau nak pinjam baju auntie pun boleh." Puan Leila mempelawa.

"Jangan cakap tak mahu mandi pula." Awal-awal Puan Leila beri amaran. Semacam sudah dapat mengagak penolakan Irdina.

Irdina tertawa lagi. "Okay, terima kasih sekali lagi, auntie." Dia pun mahu tukar pakaian. Jika Puan Leila mahu pinjamkan, dia dengan senang hati menerima.

Puan Leila buat tanda okay dengan senyum puas hati.

"Erm, auntie..."

"Ya?"

Irdina menggenggam tangan sesama sendiri. Dia mahu beritahu tentang Tuan Fathi seperti yang disuruh Hadi, tapi seperti awal tadi segan sungguh dia mahu beritahu tentang hal ini.

"Kenapa, Dina?"

"Ermm... Tuan Fathi tertidur dalam bilik pejabat. Mungkin auntie nak kejutkan tuan sebab dah nak maghrib." Irdina akhirnya memberitahu dengan sedikit segan.

Puan Leila mengangkat kening mendengarnya.

"Dia tidur?"

Irdina mengangguk.

"Haih, budak ni. Macam tulah. Setiap kali banyak kerja, waktu tidur pun tak menentu. Ibu banyak kali cakap supaya jaga waktu tidur. Degil. Sekarang waktu nak maghrib juga dia tidur." Puan Leila membebel geram. Dia menyimpan barang tanamannya. Hendak pergi masuk ke dalam. Terbatal sudah niatnya hendak menikmati pemandangan matahari terbenam.

Irdina terdiam melihat. Sedikit tersenyum bila Puan Leila bahasakan Tuan Fathi 'budak ini'. Sebesar apa pun anak, tetap terlihat kecil di mata ibu.

Puan Leila masuk ke dalam rumah. Irdina menyusul kemudiannya. Irdina sengaja ke musolla, bersiap untuk solat maghrib. Tidak mahu mengganggu Puan Leila mengejutkan anaknya. Puan Leila sudah ke pejabat Fathi. Entah apa pula bebelan wanita itu kali ini.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now