36 | Pagi

4.8K 931 193
                                    

Hai! Suprise!

.
.
.

Irdina bangun awal hari ini berbanding kebiasaan. Jam tiga pagi sudah dia bangkit bangun, ambil kesempatan yang ada untuk tahajjud beberapa rakaat. Hari ini hari besar untuknya dan juga untuk semua pekerja Tuan Fathi. Irdina sejujurnya cukup gugup memikirkan hari ini. Ia seperti catur pemula bagi sebuah rancangan lebih besar yang mereka susun selama ini. Jika begini dia gugup pasti Umar lebih gugup memandangkan Umar yang akan buat pembentangan di hadapan pemegang saham nanti.

Irdina berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah. Tiada daya dan upaya melainkan daripada Allah. Sehebat mana pun rancangan yang telah disusun oleh Tuan Fathi bersama pekerja-pekerjanya - tetap juga rancangan Allah lebih mengatasi.

Sebelum subuh ini, Irdina dengan langkah berani pergi ke bilik kerjanya. Semalam Tuan Fathi sudah marahkan dia jika dilihat biliknya bercahaya di tengah malam, tapi ini bukan malam... Ini kan sudah pagi. Irdina berjalan perlahan-lahan ke biliknya. Sempat mencuri pandang ke sekitar. Bimbang juga jika terserempak dengan sesiapa.

Melihat persekitaran yang lengang, Irdina memasuki pejabatnya. Jam ketika itu menunjukkan pukul empat setengah pagi. Rumah agam ini sangat hening sekali. Tiada satu suara pun terdengar. Cuma terdengar sesekali ombak kecil menghempas pantai di bawah sana.

Irdina menutup pintu perlahan-lahan. Dia kemudian menghidupkan lampu dengan sedikit cuak. Kali pertama dia cuak begini padahal cuma nak menghidupkan lampu. Bila biliknya terang-benderang, dia diam sejenak menanti apa-apa berlaku. Alhamdulillah tiada apa berlaku.

Irdina memasang kipas perlahan, dia kemudian bergegas ke mejanya. Dalam kesempatan yang agak mencemaskan ini, dia mahu siapkan kerjanya yang tertangguh gara-gara dimarahi Tuan Fathi. Dia berdoa semoga Tuan Fathi tidak turun pagi ini ke bawah. Semoga Tuan Fathi duduk di atas sahaja sampai dia selesaikan kerjanya.

.
.
.

Hampir subuh, Irdina berjaya tamatkan kerjanya. Gembira sungguh dirinya. Sekurang-kurangnya nanti bila di Rangkasa, tidaklah dia asyik teringat-ingat kerjanya yang tertangguh. Irdina menyusun fail di rak dengan agak ceria. Bukan apa, dia rasa puas dapat siapkan kerjanya sementelah semalam dia hampir tidak tidur nyenyak memikirkan dokumen yang belum siap padahal dokumen itu diperlukan untuk AGM Rangkasa.

Irdina tidak sedar menyanyi kecil. Sekadar bergumam lagu nasyid yang dia dengar kecil-kecil dulu. Lagu Raihan tak silapnya. Bertajuk asyhadu alla ilaha illallah... Irdina pun sudah lupa.

Irdina siapkan semua kerjanya. Subuh dah hampir masuk. Bermakna dia harus turun sekarang sebelum Tuan Fathi membuat kejutan tiba-tiba muncul di pejabatnya. Irdina mempercepatkan mengemas mejanya. Dia kemudian menuju pintu, lampu dimatikan.

Dia keluar dengan sangat lega. Nafas dihembus panjang-panjang. Melangkah setapak daripada pintunya yang sudah ditutup, kakinya kaku tidak bergerak. Matanya jatuh pada pintu bilik Tuan Fathi yang terbuka luas. Lampu terang-benderang. Malah terdengar penyaman udara yang terpasang. Dinihari begini sudah dipasang penyaman udara.

Irdina melangkah sedikit sehingga dia dapat lihat meja Tuan Fathi secara penuh. Sebaik melihat ruangan itu, Irdina mengetap bibir. Ada Tuan Fathi di situ sedang membaca dokumen. Mungkin sedar Irdina sedang mengintainya dari pintu - Tuan Fathi angkat wajah.

Irdina tidak mampu bertindak apa-apa bila Tuan Fathi sudah nampak dia terlebih dahulu. Nampaknya dia tertangkap. Tetapi ini bukan malam, ini kan sudah pagi. Apa salahnya dia bekerja pagi-pagi.

"Kenapa tercegat di luar?"

Irdina dengar Tuan Fathi bertanya dari dalam bilik. Majikannya itu tidak memandangnya, sedang menyusun kertas.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now