2 | Hipokrit?

5.6K 997 298
                                    

Irdina pulang awal ke rumah hari ini. Dia lebih lega berbanding hari-hari lalu. Sekurangnya dia tahu Rangkasa akan selamat, dan kerjanya juga masih selamat.. Walaupun dia sendiri tidak tahu jatuhnya Rangkasa itu di tangan siapa.

Irdina berbaring di katil. Dia sangat penat. Tapi dia tidak mengantuk. Hari hari terakhir ini dia kurang berehat, sepanjang hari bekerja memikirkan cara untuk menyelamatkan Rangkasa. Dari sebelum Tuan Mustakim meninggal dunia sehinggalah seminggu ini.

Kerana itu Irdina rasa marah pada siapa pun yang baru saja datang sekarang. Kononnya untuk menyelamatkan, kenapa tidak datang lebih awal? Tidak tahu kah betapa dia dan Tuan Mustakim memerah otak memikirkan bermacam cara. Dan selepas kematian Tuan Mustakim, dia sudah seperti zombie memikirkan penyelesaian ini sendiri.

Kenapa?

Kenapa baru datang sekarang?

Sengaja mahu biarkan Tuan Mustakim bunuh diri dulu?

Sengaja mahu biarkan dia terkontang-kanting menguruskan semuanya dahulu?

Irdina memejam mata. Dia tahu dia tak patut marah begini. Ini semua takdir Allah. Dia tidak layak pertikaikannya. Allah hantar orang untuk selamatkan Rangkasa pun dia patut bersyukur sangat-sangat.

Ya Allah..

Irdina bangkit dari baring. Dia perlu bersihkan diri dan mandi. Sekejap lagi azan maghrib.

Selesai mandi, Irdina ke meja. Dia mengeluarkan barang dari begnya. Dia bawa pulang semua dokumen yang diberi Hadi siang tadi. Dia rasa perlu untuk meneliti kembali semua isinya. Mungkin dia akan dapat lihat walau satu klu siapa sebenarnya Muhammad Al-Fathi.

Dokumen berwarna merah terang dibuka. Dia dapat lihat nama Muhammad Al-Fathi yang didaftar sebagai presiden rasmi Rangkasa. Menjadi presiden rasmi perlulah persetujuan lembaga pengarah, bermakna lembaga pengarah juga sudah maklum hal ini. Patutlah lembaga pengarah tidak berbunyi apa-apa selepas kematian Tuan Mustakim.

Irdina merenung lama nama Muhammad Al-Fathi. Ada rasa marah dan curiga dalam dadanya setiap kali melihat nama itu padahal jelas Muhammad Al-Fathi ialah penyelamat Rangkasa.

Penyelamat? Penyelamat atau perampas dalam diam?

Irdina menghembus nafas. Dia beristighfar. Cuba bersabar.

Dia buka dokumen kedua. Pemindahan wang ringgit 100 juta ke bank Rangkasa dari akaun peribadi Muhammad Al-Fathi sendiri.

Akaun peribadi?

Seberapa kaya lelaki itu?

Irdina tertawa perlahan. Mungkin lelaki itu memang dah sediakan awal-awal duit untuk beli Rangkasa, dapatlah berlakon jadi hero.

Ataupun itu duit Rangkasa sendiri.. Yang dikatakan hilang..

Irdina berubah wajah. Tiba-tiba dia teringatkan kerugian Rangkasa, yang akhirnya membawa kepada bankrap.

100 juta. Ya.. 100 juta totalnya. Dia ingat kerana dia juga yang terduduk menerima jumlah itu.

Irdina tercengang. Dia merenung angka di dokumen itu dengan nafas sendat.

Apa maksud semua ini?

Irdina tak dapat larikan diri dari bersangka bermacam perkara pada Muhammad Al-Fathi. Lelaki entah dari mana, mahu menyelamatkan Rangkasa, memindahkan 100 juta ke akaun Rangkasa tanpa ragu..

Siapa.. Muhammad Al-Fathi sebenarnya? Apa motif dia?

.
.
.

Hari ini ialah perlantikan CEO Rangkasa yang baru. Lelaki muda bernama Umar Faruq. Berkaca mata dan nampak skema. Irdina selesa melihat lelaki itu, maksudnya dia percaya untuk bekerja di bawah lelaki itu. Bukannya lelaki gatal atau miang yang menjadi kerisauan semua setiausaha.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now