33 | Kotak Pandora

5.8K 891 124
                                    





Hari Sabtu, kebiasaannya dia turun ke pantai untuk berjoging. Mengambil jarak dalam 5 kilometer untuk dia berpusing dua tiga kali. Sehinggalah dia mengah dan berhenti. Mengambil nafas dan kembali ke rumah.

Tapi hari ini dia tidak turun ke pantai. Semalam dia pulang lewat selepas pertemuan dengan Tan Sri Muazzam. Hampir jam 1 pagi barulah dia tiba di rumah. Badan sudah penat ketika itu. Sudahlah bergelumang dengan bau wain di mana-mana, tekaknya berasa loya. Akhirnya dia tertidur lebih lama daripada biasa.

Pulang dari solat subuh di masjid, dia bersiap mengemaskan diri untuk terus masuk ke pejabat. Tidak seperti biasa, waktu ini biasanya dia sedang berlari di persisir pantai. Bukannya dia tidak mahu bersenam begitu hari ini, ada hal mustahak perlu dia lakukan di pejabat.

Fathi turun menggunakan lift. Dia ke dapur dahulu. Ibu nampaknya masih belum turun. Jam baru menunjukkan pukul 6:55 pagi. Langit luar pun masih suam-suam kuku menunjukkan warna.

Dia bancuh viyet dalam botol. Dia mahu ambil epal daripada peti, kemudian dia teringat yang mereka kehabisan stok epal. Kecewa sedikit dirinya. Cuma ada epal hijau di dalam peti.

Selepas selesai membancuh viyet, barulah dia naik ke pejabat. Di pejabat, lampu dan kipas dihidupkan. Mesin pembersih udara dihidupkan juga. Fathi mengikat langsir dan membuka sedikit tingkap untuk mengambil udara. Dapatlah dia hidu bauan laut dari tempatnya ini. Bauan yang sinonim sejak dia berpindah ke rumah ini.

Fathi labuhkan duduk, meneguk sedikit viyet. Dia menghidupkan laptop, tablet, komputer dan telefonnya sendiri. Dia kemudian bangkit mengambil dokumen daripada almari. Beberapa dokumen dipilih. Ada dokumen yang Irdina sudah tanda. Sebut tentang Irdina dia pun teringat fail merah yang Irdina katakan semalam.

Fathi mencari fail itu di atas meja. Mudah saja ditemui. Fathi membelek fail itu dan memeriksa sepintas lalu. Dia kemudian meletakkannya di sebelah, nanti dia akan periksa fail laporan Wafiy ini bersama dokumen lain yang berkait.

Fathi sedang mengumpulkan dokumen-dokumen semua syarikatnya yang pernah bekerjasama dengan Yayasan Jiwa Malaysia. Yayasan yang diterajui Tan Sri Muazzam.

Dicampakkan satu demi satu dokumen ke atas meja. Dia ingat nama syarikat-syarikatnya yang bekerjasama dengan yayasan tersebut di tahun ini. Melihat nama syarikat itu, dia terus mengumpulkan sekali.

Pertemuan semalam membawa berita sangat besar untuk Fathi. Ia seperti kotak pandora baru terbuka. Hanya kerana tan sri mulai mempercayainya, semua cerita dibongkarkan padanya.

Di kalangan semua targetnya, hanya seorang sahaja yang mengetahui dia ialah pemilik sebenar Rangkasa. Iaitu Dato' Hanif. Kerana itu, dia menugaskan Irdina untuk mendapatkan kepercayaan Dato' Hanif memandangkan Dato' Hanif sudah terlebih dahulu mencurigainya.

Manakala targetnya yang berbaki tidak mengetahui bahawa Rangkasa sebenarnya di bawah miliknya. Mereka cuma menganggap Fathi melabur wang pada syarikat yang hampir musnah itu seperti sosok Fathi dalam pengetahuan mereka. Fathi ialah hero yang sering menyelamatkan syarikat-syarikat yang hampir musnah dengan cara melaburkan wang. Itulah tanggapan mereka tanpa mereka mengetahui Fathi menggunakan syarikat itu kemudiannya.

Tan Sri Muazzam juga tidak mengetahui perkara itu. Sebegitu senyap kerja Fathi dan orang-orang bawahannya sehingga tiada siapa dapat menjangka, sebenarnya pengarah syarikat Rangkasa itu juga pekerja Fathi. Malah seluruh lembaga pengarah Rangkasa juga bekerja dengan Fathi.

Dalam pertemuan semalam, Fathi berbual dengan Tan Sri Muazzam seperti rakan lama. Begitulah cara berbual mereka dari dahulu. Cuma panggilan sahaja bertukar menjadi tan sri. Bagaimana sekalipun, perlu mengambil hati ahli politik tertinggi ini.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now