21 | Merayau

5.6K 1K 293
                                    

Seawal pagi, Irdina sudah sampai di kediaman Al-Fathi. Seperti biasa, memulakan kerjanya di bilik. Menyusun dokumen di rak sambil mengira-ngira berapa lagi dokumen yang dia perlu periksa dan rumuskan sebelum diserahkan pada Tuan Fathi.

Beberapa dokumen yang kurang tebal diletak atas meja, hari ini dia akan periksa dokumen ini memandangkan tarikhnya semakin dekat.

Hujung bulan ini pula akan ada Annual General Meeting di Rangkasa. Walaupun Tuan Fathi tak terlibat hadir, Irdina perlu hadir bersama Hadi sebagai wakil Tuan Fathi. Jadi Irdina perlu siapkan kertas kerja juga. Lagipun semestinya mereka memerlukan kertas kerja untuk pembaharuan Rangkasa. Rangkasa akan menjadi Awam Berhad tak lama lagi. Tuan Fathi sibuk membuat persiapan, maka Irdina pasti terkena tempiasnya.

Tempoh hari Umar datang bermesyuarat dengan Tuan Fathi. Irdina tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. Ia seperti mesyuarat sulit berkenaan Rangkasa. Entah kenapa, Irdina dapat lihat, bila perkara itu melibatkan Rangkasa, Tuan Fathi pasti tidak memanggilnya masuk ke mesyuarat. Seperti ada sesuatu yang rahsia yang tak dapat diberitahu padanya. Tuan Fathi cuma memberi tugasan padanya selepas selesai mesyuarat.

Irdina mengaku, dia rasa sedikit terkilan bila perkara itu terjadi. Kenapa dia tak boleh terlibat mengetahui tentang Rangkasa? Bukankah Tuan Fathi ambil dia bekerja kerana dia tahu banyak perkara tentang Rangkasa? Jadi, apa dia buat di sini jika Tuan Fathi tak mengajak dia pun pada mesyuarat Rangkasa?

Irdina melepas nafas. Niat asal mahu menyusun dokumen, tapi sekarang dia lebih kepada mengelamun.

Satu hal lagi, dalam banyak-banyak dokumen di rak biliknya ini, tiada satu pun berkait maklumat lama Rangkasa. Yang ada cuma maklumat baru selepas Rangkasa berada di bawah Al-Fathi... Berkenaan pembaharuan sistem dan juga pengubahan Rangkasa kepada syarikat Berhad. Jika Irdina mahu cari maklumat sewaktu Rangkasa berada di bawah Tuan Mustakim, pasti tiada. Seperti Tuan Fathi sengaja tidak mahu berkongsi dengannya.

Irdina sedar, dia sebenarnya belum bersedia untuk mengetahui jenayah apa yang dibuat Tuan Mustakim. Dia takut yang dia pedih tidak dapat menerima. Tapi, dalam masa yang sama dia juga tertanya-tanya sebesar mana jenayah itu sehingga Tuan Fathi masih tidak berkongsi apa-apa dengannya. Salahnya juga tidak bertanya. Maka memanglah Tuan Fathi tak bercakap apa-apa. Mungkin kalau dia bertanya, Tuan Fathi akan jawab.

Irdina baru teringat untuk menjenguk Tuan Fathi. Mahu melihat sama ada Tuan Fathi sudah masuk pejabat atau belum. Irdina keluar dari pejabatnya, mengintai bawah pintu. Nampaknya masih gelap. Tuan Fathi lewat hari ini.

Irdina hendak masuk ke biliknya semula tapi tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Dia kembali memandang pintu bilik Tuan Fathi. Selepas berfikir dalam-dalam, Irdina menghampiri pintu itu. Disentuh gagang tombol pintu. Sempat dia menoleh, memeriksa jika auntie atau Tuan Fathi muncul.

Selepas memastikan auntie dan Tuan Fathi tiada, dia pun menolak gagang ke bawah. Pintu ditolak. Bilik Tuan Fathi kosong dan gelap. Haruman cologne Tuan Fathi semerbak tertinggal dalam bilik.

Irdina keluarkan telefon. Sempat periksa luar dahulu. Pintu kemudian ditutup. Dia pun buka torchlight telefonnya. Dia menghampiri rak dokumen di belakang meja Tuan Fathi. Dia tak pernah melepasi meja Tuan Fathi. Ini kali pertama. Dia selalu nampak Tuan Fathi ambil maklumat sulit syarikat-syarikat yang bernaung di bawah Al-Fathi dari rak ini. Seperti tiga dokumen yang Tuan Fathi pernah berikan padanya sebelum dia ikut Tuan Fathi ke pub mewah tempoh hari.

Irdina menarik penuh berhati-hati satu demi satu dokumen. Dia dapat lihat ianya dokumen-dokumen berkenaan syarikat-syarikat gergasi yang masih bernaung di bawah Al-Fathi. Banyak nama familiar terlihat di mata Irdina setiap kali membelek setiap fail, tapi tiada satu pun bernama Rangkasa.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now