40 | Cerita Nurrah

8.2K 1K 626
                                    


Selamat membaca!

.
.
.

Irdina datang awal ke pejabat walaupun hari ini hari Sabtu. Hari Sabtu menjadi hari Tuan Fathi masuk kerja lewat kerana berjoging di pantai dulu. Waktu inilah Irdina boleh masuk ke bilik pejabat Tuan Fathi sesuka hati untuk meletakkan dokumen yang selesai dirumuskan, juga untuk mengemas bilik itu. Kerana dia yakin Tuan Fathi pasti belum masuk.

Sebut tentang pantai buat Irdina rasa rindu untuk turun ke pesisir laut itu, dah lama dia tak turun ke sana sejak sibuk dengan AGM Rangkasa dan juga Dato' Hanif. Irdina teringin untuk turun pagi ini tapi memikirkan sekarang pasti Tuan Fathi sedang berlari ke sana ke mari di pantai itu, tak sopanlah dia turun juga.

Irdina sambung menyusun dokumen dalam rak. Hari ini dia akan makan tengahari di luar bersama Tuan Fathi dan Hadi. Tuan Fathi mahu memperkenalkan kepadanya perisik-perisik bagi setiap target mereka. Bermakna Lia yang tempoh hari membantunya di rumah Dato' Hanif juga pasti ada. Lia perisik bagi bapa Najah itu.

Sebut tentang Najah buat Irdina berhenti sejenak menyusun dokumen. Dah lama dia tak berjumpa temannya itu sejak punya hubungan aneh dengan Dato' Hanif. Sekarang dia cuma berbalas mesej dengan Najah bila Najah buat ig story atau whatsapp story. Lain dari itu, mungkin kerana semakin dewasa ini semua semakin sibuk.

Kembali ke cerita perisik tadi, Tuan Fathi kata akan ada 8 perisik berbeza yang dia akan temui. Semua itu orang-orang kepercayaan Tuan Fathi yang sudah lama bekerja di lapangan. Selalunya mereka berhubung dengan Hadi, tetapi sesekali mereka harus bertemu Tuan Fathi untuk memberi laporan terperinci. Mereka ini tidak pernah datang ke kediaman Al-Fathi dan hanya berurusan dengan Tuan Fathi di luar. Kerana itu tengahari ini mereka akan ditemui di luar.

Perisik-perisik itu biasanya dihantar Tuan Fathi ketika permulaan seorang korporat korup dipilih. Untuk menyelidiki jenayah korporat tersebut, mereka memerlukan perisik. Apabila jenayah korporat tersebut kelihatannya mengganggu dan menzalimi orang, barulah korporat tersebut diluluskan untuk dijadikan senarai target Al-Fathi yang seterusnya.

Contohnya seperti Tuan Mustakim. Wafiy yang menjadi perisik Tuan Mustakim. Dua tahun Wafiy menjadi perisik barulah Tuan Mustakim dipilih menjadi target Al-Fathi. Memakan masa cukup lama sehinggalah seseorang itu dianggap benar-benar layak untuk dijatuhkan.

Sekarang, perisik-perisik tersebut pastinya sibuk memantau rancangan target yang akan datang. Bermula daripada perdana menteri sendiri; Tan Sri Muaazzam, sehingga YB Marhani. Irdina berasa tidak sabar ingin mendengar apa khabar target itu kesemuanya terutamanya Dato' Hanif.

Bunyi pintu diketuk mengejutkan Irdina yang tekun menyusun dokumen. Dia harus menyusun dokumen mengikut tarikh terbaharu, barulah mudah untuk dia ambil jika Tuan Fathi minta. Baru sahaja Irdina menoleh, pintu sudah terbuka dan terjengul wajah Puan Leila di muka pintu. Sedang tersenyum lebar.

"Auntie..." Irdina turut senyum pada wanita itu.

"Jom turun sarapan. Hari ini kita sarapan awal. Kita teman Nurrah dekat bawah." Puan Leila beritahu ceria.

"Nurrah?" Irdina tak sangka inspektor wanita itu akan datang hari ini. Tuan Fathi tak ada pula beritahu tentang kedatangan Cik Nurrah.

"Iya. Dia ada hal nak jumpa Fathi. Sekarang kita breakfast dulu." Puan Leila senyum kecil.

"Okay, auntie."

.
.
.

Ketika Irdina turun ke dapur, dapat dia lihat Inspektor Nurrah sedang duduk di meja makan sambil membelek telefonnya. Di depannya ada sepinggan anggur yang Puan Leila baru beli semalam di pekan.

SIAPA MUHAMMAD AL-FATHIWhere stories live. Discover now