Kisah - 6

1.5K 203 22
                                    

  Arjuna berhenti singgah di masjid apabila tiba waktu maghrib. Mereka solat kemudian bermalam di situ selepas selesai makan malam.

  "Kakanda Dahlia." Panggil Ratna secara berbisik.

  Dahlia menoleh ke arah Ratna. Mereka tidur di dalam ruang solat wanita yang tertutup. Suasana sepi hanya bertemankan bunyi pungguk di malam hari. Hanya sedikit  cahaya bulan yang dapat menerangi ruang solat. Pawana sejuk bertiup menyapu lembut wajah kedua insan yang sedang berbaring itu.

  "Ya saya." Balas Dahlia.

  "Bila sudah besar nanti, hamba mahu jadi seperti kakanda. Kau sungguh jelita dan baik. Kau bantu hamba walaupun tidak mengenali hamba." Ratna berbicara sambil memandang ke atap masjid.

  Dahlia menoleh semula memandang atap sebelum membuka bicara. "Aku ini jauh dari jelita, Ratna. Baik apatah lagi. Aku sudah penat menjadi jahat dalam hidup ku. Maka aku cuba menjadi baik pula." Dahlia tertawa kecil perlahan. "Lagipula, aku cemburu dengan Arjuna. Solatnya terjaga dengan sangat baik. Terkadang aku boleh mendengarnya berzikir perlahan ketika sedang menunggang kuda. Sungguh aku cemburu dengan mereka yang sangat erat hubungannya dengan Allah."

  "Cemburu atau suka?" Ratna menyakat.

  "Eh engkau ini Ratna, jangan macam-macam ya." Dahlia memberi isyarat dengan menggoyangkan jari telunjuknya.

  Ratna tersenyum nakal. Suka benar dia menyakat. "Jikalau hamba berjaya jumpa dengan abang hamba, akan hamba kenalkan dia kepada kau agar dia tahu siapa yang telah membantu adiknya."

  "Kau kata ibu bapa kau hilang entah ke mana, tetapi mengapa kau mahu mencari abang mu dahulu sebelum mereka? Bagaimana kau boleh terpisah dengan abangmu?" Soal Dahlia.

  "Hamba tidak mahu membazirkan waktu mencari kedua orang tua tidak guna itu. Abang hamba lebih menyayangi hamba berbanding mereka yang membuang hamba tanpa belas ihsan." Nada Ratna bertukar sedikit bengang. Jelas dia tidak suka berbicara tentang itu.

  "Ohh, ada sejarah tidak baik ya antara kalian. Maafkan aku kerana membuka bicara soal itu."

  "Tidak mengapa. Aku baik-baik sahaja." Ratna menggeleng.

  Suasana kembali sepi. Bunyi pungguk menghiasi suasana. Malam mula menguasai alam sepenuhnya. Ratna sudah tertidur beberapa ketika kemudian namun tidak bagi Dahlia. Dia sedang memikirkan soal neneknya. Apakah neneknya sedang merisaukan dirinya? Apakah neneknya baik-baik sahaja?

  Nenek Tipah tidak boleh risau yang berterusan kerana dia mempunyai hati tua yang tidak kuat lagi. Boleh jatuh sakit jika risau terlalu lama. Dahlia risau akan neneknya. Rindu mula menyengat jiwa. Dipaksa matanya untuk lelap kerana esok perjalanan panjang akan diteruskan tetapi tetap tidak berjaya untuk tidur.

Macam-macam perkara dirisaukannya. Tetapi dia hanya mampu memanjatkan doa kepada Ilahi dan menyerahkan segalanya kepada Allah agar ditentukan yang terbaik oleh Allah buat dirinya.

  Lama Dahlia tidak lelap memikirkan macam-macam sehingga pada waktu dia hampir berjaya dibuai mimpi, bunyi air kedengaran. Tanda ada orang sedang mengambil wuduk. Seketika kemudian, tapak kaki kedengaran bergerak ke ruang solat lelaki.

  'Arjuna kah itu?' bisik Dahlia dalam hati. Dahlia mengintai di sebalik penghadang. Kelihatan Arjuna yang bangun menunaikan solat malam.

  'Mak aih, tahajjud kau.. ini kalau di zaman aku pasti kau menjadi rebutan.' bisik Dahlia tertawa kecil dalam hatinya.

  Dia kemudiannya bergerak sama mengambil wuduk bagi menunaikan solat malam juga. Entah kenapa, setiap kali melihat Arjuna melaksanakan perkara kebaikan, dia jadi tertarik mahu ikut sama. Selalunya dia jarang bangun malam untuk solat tahajjud sebegini. Tetapi alang-alang sudah tidak boleh lelap itu apa salahnya dia menunaikan solat sunat dua rakaat.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now