Kisah - 65

275 29 0
                                    

  "Sampai di sini sahajalah Tengku. Sudah cukup tebal wajahku ingin menerima bantuanmu lagi." Seroja mengambil semula bakul berisi buah-buahan dari tangan Dewi yang menjadi wakil untuk Dahlia. Wajahnya merona kemerahan. Dia tersenyum simpul menyerlahkan pipinya yang merah bak delima.

  'Bersendiriankah gadis ini di rumah?' Suara batin Dahlia berbisik perlahan. Pandangannya jatuh pada rumah kayu bersaiz sederhana besarnya. Jikalau diikutkan tahap bangsawan zaman itu, rumah Seroja ini boleh dikatakan rumah orang bangsawan juga. Biarpun rata-rata penduduk di sini sepertinya punyai harta yang boleh tahan banyaknya apabila Dahlia melihat kebanyakan rumah di kampung ini tidaklah seperti rumah di kawasan kampung Duyong di Tarawangsa.

  Namun yang dimaksudkan dengan golongan bangsawan, Seroja bukanlah golongan ternama. Cumanya keadaan rumahnya kelihatan lebih baik berbanding golongan rendah. Sepertinya Seroja golongan orang sederhana pada zaman ini. Jelas bahawa suaminya bukan sekadar bekerja biasa.

  Bumbung rumahnya masih beratapkan nipah. Keseluruhan rumah juga kelihatannya tidak menggunakan sekadar kayu biasa. Kayunya berkualiti tinggi dan terlihat sangat kemas binaannya. Di bahagian pangkin pula terdapat tangga batu yang berjubinkan permata indah. Aneka corak yang tertampal pada jubin juga menaikkan seri binaan rumah tersebut. Rata-rata penduduk di situ juga mempunyai binaan seni bina rumah yang hampir serupa.

  "Andai boleh patik tahu, atas urusan apa Tengku berangkat tiba ke mari?" Seroja menyoal sopan mula membuka bicara tatkala Dahlia berlabuh punggung di kaki beranda rumahnya.

  "Tiada apalah. Sahaja beta bertandang ingin bertemu rakyat jelata." Dahlia tersenyum manis. Kain sampinnya dibetulkan. Dewi dipelawa untuk duduk bersama namun gadis itu sekadar menggeleng perlahan. Dia kekal berdiri bagaikan patung setia mengawal Tengku Puterinya. Hanya Ratna yang turut duduk di sisi Dahlia.

  "Sebentar ya, Tengku. Patik hidangkan air." Segera Seroja masuk ke dalam rumahnya. Namun langkahnya sedikit perlahan berbanding orang biasa akibat perutnya yang berat untuk dibawa ke sana ke mari.

  "Eh tidak perlu!" Dahlia yang hanya sekadar mahu berehat dan mengambil angin bangun serta-merta. Tiadalah hendak dirinya menyusahkan ibu hamil itu.

  Seroja berpaling. Biar benar puteri seorang ini. Seroja mengerling memandang Dewi, memohon respon balas daripada pemangku puteri itu. Dewi sekadar mengangguk perlahan menyuruh Seroja menurut sahaja bicara Puteri Seri Dahlia.

  "Mahu ke mana kita selepas ini?" Dahlia memandang Dewi seraya mendongak memberi ruang retina matanya menonton keindahan jumantara alam nan biru muda itu. Tawangnya langit cerah dan baik hari itu. Namun hati Dahlia tiba-tiba diserang gundah gulana.

  Dahlia berkerut sedetik. Entah datang dari mana perasaan itu menyerbu tanpa diundang. Namun segera ditepis segala perasaan tidak berasas itu.

  "Seroja, apakah ada lagi tempat menarik lain di kampung ini?" Dahlia segera mengubah topik mengelakkan hatinya berfikir yang bukan-bukan. Dia menoleh memandang Seroja yang sedang mengambil tempat untuk berlabuh punggungnya. Biarpun pergerakan gadis seorang itu adalah terhad, tetap terlukis jelas akan lelahnya.

  "Hmmm. Patik juga kurang pasti memandangkan penduduk kini tiada lagi di rumah kerana semuanya keluar menanti keberangkatan tiba Tengku." Balas Seroja sambil mengelap peluh di seluruh wajahnya.

  'Banjir dengan peluh pun masih jelita lagi.' Senandika Dahlia terpegun melihat wajahnya Seroja yang berkirana dibanjiri peluh.

  "Baiklah jikalau begitu. Beta ingin terus mengambil angin, berkenalan dengan penduduk yang lain pula." Dahlia berdiri serta-merta. Tenaganya masih berbaki banyak lagi.

  "Kau tunggu di rumah ya Seroja. Sarat sudah kau. Usah ke mana-mana lagi. Malang tiada berbau tau! Sembilan bulan sudah bukan? Bila-bila sahaja boleh pecah air ketuban itu. Duduk rumah." Persis seorang ibu mithali Dahlia berpesan sambil jari telunjuknya diangkat. Wajahnya terlihat separa garang menunjukkan bahawasanya bicaranya tidak boleh dipandang remeh.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now