Kisah - 59

423 51 6
                                    

Sang Merpatika kekal berteleku bersebelahan dengan Dahlia yang kini berpura-pura menjadi Puteri Seri Dahlia. Dewi pula berdiri berdekatan Tengku Puterinya kerana tugasnya sebagai pendamping setia Tengku sudah bermula sejak Dahlia tiba ke sini lagi.

Masing-masing hanya diam menyaksikan persembahan yang berunsurkan tarian bangsa, pertunjukan silat yang menegakkan bulu roma dan banyak lagi persembahan lain.

Raja Sang memberikan reaksi luar biasa buat setiap satu persembahan yang disaksikannya. Benar-benar dahagakan perhatian Tengku Puteri Seri Dahlia yang duduk di hujung pentas singgahsana bersama Dewi dan Merpatika. Namun usaha Raja Sang hanyalah sia-sia belaka.

Dahlia memberikan reaksi sederhana buat semua persembahan dan tidak menoleh walau sedikitpun ke arah Raja Sang tatkala baginda bertepuk gemuruh cuba menarik perhatian. Gadis itu hanya memberikan perhatian sepenuhnya tatkala Arjuna mula ke tengah dataran bagi mempersembahkan persembahannya.

Tidak seperti yang lain, persembahan Arjuna hanyalah pertunjukkan silat secara persendirian. Pertunjukannya juga sekadar bersahaja tanpa berlebihan. Bibirnya basah dengan istighfar mengelak hati dari dicengkam bangga. Penyertaanya juga hanyalah kerana dia merupakan anakanda kepada Ratu Melawati. Jikalau tidak, tiadalah hendak Arjuna menjadi tontonan ramai.

Hati Raja Sang dipaut cemburu melihat Puteri Seri Dahlia yang mula memberikan tumpuan penuh terhadap persembahan Arjuna berbanding yang lainnya. Namun perasaan itu ditelan sahaja kerana tidak mahu merosakkan suasana.

Tepukan gemuruh bergema kuat di seluruh kawasan Dataran Pentas Merak Kasih tatkala Arjuna selesai mempersembahkan silatnya. Ratu Melawati tersenyum lega melihat persembahan anakandanya itu. Baginda turut memberi sokongan kerana persembahan yang baik itu sekaligus memberi nama baik buat dirinya.

"Hebat! Hebat! Sungguh menakjubkan pertunjukkan silat anak jati Tarawangsa ini!" Raja Sang kembali dengan sikap dahagakan perhatian setiap kali selesai persembahan.

"Ampun Tuanku, Menjunjung kasih, Tuanku!" Arjuna mengutarakan salam kasihnya atas penghargaan yang diberikan. Sebaik sahaja kakinya mula mengorak langkah berundur ke belakang, Raja Sang tiba-tiba bersuara.

"Silat Tarawangsa sungguh mengasyikkan! Namun Beta berpendapat ianya akan lebih menarik sekiranya terdapat pertunjukkan pertarungan antara Tarawangsa dan Wantachitra!" Raja Sang tiba-tiba memberi cadangan.

"Memandangkan wakil Tarawangsa adalah anakanda kepada Ratu Melawati sendiri, maka adalah lebih baik sekiranya wakil Wantachitra adalah anakandanya Tuanku Sultan Muadzam Shah sendiri iaitu, Tengku Puteri Seri Dahlia!" Cadangan Raja Sang itu membuatkan Dahlia dan Arjuna terkesima. Malah yang lain turut tercengang sama.

Melihatkan keadaan itu, Rum Aspalela yang dalam diam bersetuju dengan cadangan Raja Sang tiba-tiba mencelah sama, "Sudah lama kita tidak menyaksikan kehebatan Tengku Puteri! Alangkah bagusnya seandainya kemahiran hebat memanah Tengku Puteri dipersembah di khalayak ramai yang sudah lama tidak melihat Tengku keluar bertarung!" Rum Aspalela sebenarnya mempunyai syak wasangka terhadap Puteri Seri Dahlia.

Kelibat Puteri Seri Dahlia yang dilihatnya di hutan tempoh hari menimbulkan sebuah firasat dalam hatinya yang mengatakan gadis di singgahsana itu bukanlah Tengku Puteri yang sebenar. Maka, peluang ini akan dia gunakan sebaik mungkin untuk cuba sedikit demi sedikit membongkarkan identiti sebenar gadis itu.

Serentak dengan itu rakyat kembali bersorak girang bersetuju dengan cadangan kedua insan yang penuh muslihat itu. Raja Sang tersenyum penuh makna sambil matanya melirik ke arah Rum Aspalela. Sepertinya adipati Wantachitra itu memberi isyarat untuk bersahabat dengan baginda.

Dahlia pula kekal membatu di kerusi singgahsananya. Sejujurnya dia tidak mahu sungguh untuk melaksanakan cadangan tidak seberapa bernas milik Raja Sang itu. Permaisuri Kuntum turut cemas dalam diam kerana dia tahu gadis itu bukan anakandanya yang sebenar, masakan kemahiran memanahnya mampu menyamai kemahiran puteri sebenar?

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now