Kisah - 9

1.3K 189 11
                                    

"Kalian mahu menghadap tuanku Permaisuri Melawati bukan? Jika benar, maka aku yang tidak diundang tidak punyai tujuan untuk ikut bersama kalian. Lagipula aku masih belum yakin Dahlia merupakan puteri Wantachitra. Izinkan aku undur diri terlebih dahulu kerana ada destinasi yang harus ku tuju." Iskandar memecah sunyi tatkala mereka dalam perjalanan untuk pulang ke kenderaan.

"Baiklah sekiranya begitu. Semoga selamat dalam perjalanan kau." Ujar Arjuna seraya bersalaman dengan Iskandar tanda perpisahan.

"Kalian juga berhati-hati dalam perjalanan." Iskandar membalas pesanan kebaikan itu dan menyambut huluran salam Arjuna. Dia menepuk belakang bahu Arjuna seraya berbisik, "Dahlia kelihatan kecil hati. Berbaiklah kalian selagi ada waktu."

Huluran tangan dilepaskan. Arjuna hanya mendengus kecil menghadam pesanan Iskandar. Mereka bertiga menghantar Iskandar pergi dengan pandangan.

Kemudian kereta kuda bergerak merentasi pekan yang penuh dengan kerumun orang ramai. Suasana kekal tegang. Masing-masing mengunci mulut dan tidak bersuara.

Perjalanan diteruskan hinggalah mereka berhenti di sebuah masjid di sebuah kampung. Kampung diberi nama Kijang kerana lokasinya yang dekat dengan Bandar Kijang. Walaupun dekat dengan bandar kampung tersebut bukanlah kampung yang besar dan dihuni ramai.

Kampungnya hanya mempunyai jumlah bilangan penduduk yang sedikit. Mereka menjejakkan kaki di masjid dalam kawasan Kampung Kijang.

Hairan waktu Zohor telah tiba namun hanya ada seorang tok imam dam seorang makmum sahaja yang bersedia. Arjuna melangkah masuk ke dalam surau selepas menyempurnakan wuduknya.

"Memang ini sahajakah penduduk di sini? Mana yang lain? Tidak turun ke masjid kah?" Soal Arjuna sambil menyikat rambutnya yang basah ke belakang menggunakan tangannya.

Makmum seorang dan tok imam itu menggeleng. Namun mereka terus sahaja menunaikan solat secara berjemaah. Dahlia dan Ratna turut sama menyertai dari saf wanita.

Selesai solat, tok imam membuka cerita.

"Dahulu masjid ini penuh. Ramai pemuda datang ke sini untuk solat berjemaah setiap waktu."

Arjuna memasang telinga. Disebabkan oleh suasana yang sunyi, hanya kedengaran suara tok imam membuka mulut, Dahlia dan Ratna dapat mendengar sama apa yang disampaikan.

"Namun belakangan ini, ada seorang wanita baru sahaja menjejakkan kaki di kampung ini. Maafkan aku andai aku berkata buruk tentangnya tetapi aku dapat merasakan wanita itu menggunakan ilmu hitam untuk memukau semua pemuda di kampung ini. Sehingga mereka lalai bermain cinta hingga lupa Tuhan." Sambung tok imam itu lagi.

"Memukau semua pemuda?" Arjuna melopong.

"Bukan sahaja pemuda, semua lelaki dewasa atau yang sudah berumur turut terkena sama." Jelas tok imam.

"Apakah kalian berdua dapat membebaskan diri dari sihir itu? Kerana hanya kalian yang kelihatan seperti tidak terpikat dengan wanita tersebut." Soal Arjuna curiga.

"Aku alhamdulillah dapat menjaga diriku dari sebarang pukauan." Tok imam membalas kemudian menoleh memandang pemuda lagi satu di sebelahnya yang merupakan makmumnya tadi.

Pemuda itu mempunyai wajah yang agak jelek. Dia berkata, "aku mempunyai wajah yang hodoh makanya sihir itu tidak digunakan ke atasku kerana wanita tersebut tidak menyukai aku. Jijik katanya." Memang benar wajah pemuda itu agak unik dan tidak setampan yang lain namun sangat tidak bermoral untuk dia digelar jijik sedangkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Serius wajah Arjuna memandang kedua insan itu. Sungguh tidak percaya dengan berita yang baru didengarinya.

"Habis itu sekarang bagaimana? Mana mungkin pemuda-pemuda yang disihir itu dibiarkan terus dalam keadaan begitu. Wanita itu harus dihentikan. Apakah tok tidak mematahkan sihirnya?" Soal Arjuna memandang hal ini dengan penuh serius.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now