Kisah - 21

1.3K 173 22
                                    

Ratu Melawati memberhentikan kudanya di sebuah kawasan lapang hutan berhampiran sempadan rahsia antara Tarawangsa dan Wantachitra. Kirana selaku pendamping yang paling dipercayainya dititahkan agar berhenti di situ.

Seluruh kawasan itu dilitupi hutan tebal. Di hadapan mereka terdapat tumbuhan menjalar tinggi ke udara seolah-olah terdapat dinding di belakang litupan dedaun yang menjalar tebal itu.

Ratu Melawati menolak beberapa helaian daunan ke tepi memberi ruang dirinya masuk ditelan litupan dedaun menjalar tinggi itu. Bagaikan dua alam, hutan tebal tadi hilang membawa Sang Ratu ke sebuah tempat yang berbeza.

Wantachitra.

Baginda kini berada di sebuah puncak gunung di Wantachitra. Jumantara luas terbentang indah memukau mata Ratu Melawati. Biru cair warna langit membuatkan mata Sang Ratu tidak berkedip.

Leka dipukau indahnya ciptaan Tuhan hingga tidak menyedari akan kehadiran seekor burung gergasi dari celahan awan indah menghiasi dada langit. Serta merta Ratu Melawati bersedia menerima kunjungan si burung gergasi itu.

"Assalamualaikum, ampun Tuanku, berangkat tiba tanpa khabar, apakah hajat Tuanku yang boleh patik perkenankan?" Soal Jentayu lembut penuh beradab, indah teratip bahasa diaturnya selepas kakinya selamat mendarat di tanah.

Ratu Melawati tersenyum manis. "Waalaikumussalam. Biarpun kedatangan beta adalah mengejut, tetap dapat dikesan kau, Jentayu." Balas Sang Ratu lagi.

Sang Jentayu membalas bicara Ratu Melawati dengan seukir senyuman manis.

"Hajat beta kemari hanyalah mahu minta menumpang. Beta mahu ke Kampung Duyong dengan segera." Memandangkan perjalanan ke Kampung Duyong bakal mengambil masa yang lama, Ratu Melawati berhasrat menumpang Sang Jentayu bagi ke sana. Dia mahu menyelidik bagaimana Dahlia tiba ke sini sekaligus mencari jalan pulang buat gadis itu.

"Ampun Tuanku, menjunjung titah, Tuanku namun bolehkah patik menyuarakan kegusaran patik, Tuanku?" Biarpun Jentayu merupakan burung gergasi yang jauh lebih besar, berumur dan berpengalaman berbanding Ratu Melawati, adabnya tetap tidak hilang ketika dia berbicara bersama Sang Ratu itu. Baginya pemimpin yang baik haruslah ditaati sepenuhnya walaupun pemimpin itu merupakan pemimpin kerajaan lain.

"Apakah kegusaran itu?" Sang Ratu membalas.

"Ampun Tuanku beribu ampun andai persoalan patik ini tidak sesuai disuarakan. Akan tetapi ingin patik tahu, tujuan Tuanku ke Kampung Duyong itu." Tunduk hormat tetap diberi sepanjang perbualannya bersama Ratu Melawati. Sungguh adab dia muliakan setingginya berbanding umur dan ilmu.

Ilmu dan umur mudah diperoleh oleh sesiapa sahaja tetapi adab yang mulia hanya mampu dibawa oleh mereka yang terpilih sahaja.

"Ada beberapa urusan yang harus beta langsaikan di sana." Ujar Ratu Melawati.

"Ampun Tuanku, apakah urusan ini ada kaitannya dengan seorang gadis yang katanya hadir dari masa hadapan?" Balas Sang Jentayu.

Ratu Melawati tersentak. "Kau mengenali Dahlia?"

"Ampun Tuanku, benar tekaan Tuanku. Patik mengenali gadis itu. Dia bersama patik buat masa ini." Sahut Jentayu terpana tidak menyangka Sang Ratu turut mengetahui tentang Dahlia.

"Apa? Dahlia bersama kau, Jentayu? Dahlia juga boleh melihat engkau?" Soal Sang Ratu bernada bahagia mengetahui Dahlia selamat.

"Ampun Tuanku, benar Tuanku. Dahlia diselamatkan daripada terjatuh di lereng bukit tempoh hari. Patik sudah pun mengetahui segalanya dan kini patik dengan bantuan sahabat patik sedang melatih Dahlia sebelum dia dibawa pulang ke Istana Wantachitra." Balas Jentayu lagi.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now