Kisah - 12

1.3K 200 63
                                    

  Cubaan ketiga Dahlia berjaya memecahkan pintu hadapan rumah Citra. Terus matanya menangkap kelibat Ratna di sisi pintu dan berlari ke arahnya. Mereka berdakapan.

  "Kakanda Dahlia apakah kau baik-baik sahaja?" Soal Ratna risau.

  "Alhamdulillah aku tidak apa-apa." Dahlia tersenyum mengusap lembut kepala Ratna. "Tetapi sepertinya dia akan mencari Arjuna kerana katanya dia mencium bau lelaki dari aku. Di manakah Arjuna sekarang?"

  "Masjid. Tok Imam dan Budi pergi menghadiri mesyuarat tergempar jadi Arjuna berseorangan di sana." Ratna membalas.

  "Jikalau begitu ayuh lekas ke masjid. Kita akan mengelakkan Arjuna jatuh ke dalam lubang fitnah yang direka wanita sihir itu. Tangkal ini akan aku uruskan kemudian." Tangkal tetap digenggam erat, mengorak langkah menuju ke masjid.

Sedang dalam perjalanan mereka lalu berdekatan dengan dewan berkumpulnya penduduk Kampung Kijang, bunyi riuh rendah yang luar biasa kedengaran dari dalam dewan. Seperti ada sesuatu yang berlaku.

  Dahlia menoleh ke arah Ratna. Ratna juga berbuat demikian.

  "Ratna aku rasa lebih baik hanya kau yang pergi ke masjid. Sekurang-kurangnya kau boleh jadi saksi bagi sebarang fitnah yang dituju ke atas Arjuna. Sepertinya aku harus ke sana." Kata Dahlia sambil tangannya menunjuk ke arah dewan berkumpul itu.

  Ratna mengangguk memahami. "Hati-hati ya Kakanda Dahlia."

  "Baik, kau juga." Dahlia menyahut perlahan. Langit bertukar oren kemerahan menandakan matahari semakin  menyembunyikan diri, gelap malam pula akan menghantui alam.

  Langkah kaki Dahlia terus diorak ke arah dewan. Sungguh banyak perkara berlaku pada hari ini dan banyak juga masalah yang harus dia selesaikan.

_______________________•••____________________

  Citra yang makin lama makin dilahap nafsu semakin mendekati Arjuna. Dia sudah pun tidak hairankan bahawa dia berada di dalam masjid, rumah Allah yang suci. Kegilaan nafsunya menguasai diri. Langsung tiada rasa hormat terhadap Arjuna.

  Arjuna yang risau akan Dahlia melaksanakan solat sunat hajat buatnya. Akibat terlalu khusyuk dalam ibadahnya, dia tidak menyedari bahawa Citra betul-betul dekat di belakangnya.

  Selesai tahiyat akhir, dia memberi salam. Wajahnya dipalingkan ke kanan kemudian ke kiri. Alangkah terkejutnya Arjuna apabila Citra tercegat di belah kirinya tersenyum manis di situ. Persis syaitan.

  Terloncat Arjuna ke kanan menjauhi Citra yang terlalu dekat dengannya. Segera dia beristighfar memohon ampun dari Allah kerana perkara sebegini berlaku dalam rumah suci-Nya.

  Berkerut Arjuna memandang Citra. Bibirnya tidak putus-putus dengan istighfar.   Sepertinya ada suatu tarikan dari Citra yang sangat merbahaya baginya. Bingkas dia bangun dari duduknya berdiri dan cuba keluar dari ruang solat itu.

  Tiba-tiba Citra berlari ke arahnya dari belakang. Menyedari pandangannya sahaja tidak cukup menggoyahkan iman pemuda itu, dia mencuba idea lain untuk membutakan Arjuna dengan cinta.

  Namun Arjuna yang mahir dalam mempertahankan diri lebih-lebih lagi sekiranya musuh hendap dari belakang segera mengelak. Dia menapak beberapa tapak sebelum berdiri dengan stabil di perkarangan masjid.

  "Siapa kau? Di manakah adab kau di rumah Allah?! Sanggup kau berfikir untuk melakukan perbuatan kotor di sini?!" Berang Arjuna dibuatnya. Saat ini dia sudah dapat mengagak inilah wanita sihir yang sering disebut Tok Imam dan Budi.

  Citra tersenyum melebar. "Benar-benar istimewa ya kau. Selalunya cukup dengan pandanganku sahaja sudah mampu menggoyahkan iman semua pemuda. Malah aku memakai lebih cantik dan wangi untuk berjumpa kau tetapi kau tidak terpedaya sedikit pun. Sungguh utuh iman kau ya." Kakinya perlahan-lahan menapak mendekati Arjuna.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now