Kisah - 44

964 105 32
                                    

"Bonda, lekas! Aku kesuntukan masa ini!" Laungan suara Nara memecah sunyi di pagi hari.

Kedengaran beberapa bunyi penduduk yang sudah pun celik mata terlebih dahulu sebelum Sang Mentari menyinari alam. Langit bertukar emas tatkala sinaran mentol alam memayungi seluruh jumantara di pagi yang mulia itu.

Indahnya suasana di pinggir pantai itu dengan tenggelam timbul suara penduduk yang sudah mula keluar mencari rezeki sebagai nelayan mahupun sebagai nakhoda bahtera besar di pelabuhan.

Pantai selatan Tarawangsa ketika itu dipenuhi dengan penduduk yang punyai urusan untuk menuju ke Sulantara. Bahtera pagi itu sudah diberitahu untuk ke Sulantara sebagai destinasi yang dituju. Kemudian hanya mereka yang punyai hajat yang sama akan turut menyertai pelayaran. Selebihnya harus menumpang bahtera lain sekiranya destinasi yang ingin dituju bukanlah Sulantara.

Meriah pagi itu dengan suara Nara yang sudah bersemangat saat pagi masih muda. Warna biru langit masih belum hilang sepenuhnya malah Sang Purnama masih jelas kelihatan di dada langit.

Bunyi deruan air pantai pagi itu menghangatkan lagi suasana pelabuhan yang sudah cukup meriah dengan keriangan para penumpang yang bersemangat untuk memulakan hari masing-masing.

Bukan hanya nelayan, malah segolongan ibu-ibu turut sama berada berdekatan pantai di sebuah kawasan yang memang telah dikhaskan sebagai sumber domestik seharian. Rancak perbualan antara ibu-ibu yang tidak henti mulut melontar kata sambil tangan menyental pakaian dengan air dan sabun.

Sungguh cerianya seluruh penduduk Tarawangsa ketika itu adalah tidak terkata. Namun itu bukanlah perkara luar biasa. Lazimnya, begitulah tabiat harian penduduk kampung yang tinggal di pinggir pantai selatan berdekatan dengan pusat pelabuhan itu. Mungkin keadaan tidaklah semeriah kawasan tengah bandar, namun keamanan kawasan kampung itu tetap terserlah dengan kewujudan penduduk yang gemar menceriakan suasana di pagi hari.

"Iya, sebentar." Balas Che Jemah sambil terkedek-kedek berjalan pantas menuju ke luar pintu rumahnya yang sudah tercegat Nara di situ. Di tangannya terdapat sebuah bungkusan kain diikat kemas kemudian dihulurkan kepada Nara.

"Bonda, bukankah aku katakan tidak perlu ini semua? Usah gusar tentang diriku, anakandamu ini bijak membawa diri." Ujar Nara sambil memuncungkan sedikit bibirnya tanda tidak setuju dengan tindakan bondanya bersusah payah menyediakan bekalan makanan buat dirinya.

Bukannya dia tidak tahu mencari makan sendiri sebelum bergerak menuju ke destinasi. Sungguh itu hari pertamanya menjadi dewasa secara rasmi kerana kini dirinya mahu bergerak menuju ke ujian kelayakan sebagai tentera Tarawangsa, berkhidmat untuk negara.

Semangatnya berkobar-kobar kerana sungguh itulah yang diimpikannya sejak sekian lama. Bukan sahaja kerana kekuatan fizikalnya yang luar biasa malah berjuang untuk tanah air sendiri juga merupakan sesuatu yang harus dibanggakan. Tambahan pula, dapat dia membahagiakan bondanya dengan kemewahan sedikit sekiranya dia menjadi seorang tentera negara.

Che Jemah menggeleng perlahan. "Ini bonda sediakan buat santapan kau dalam perjalanan nanti. Habiskan semuanya sebelum kau tiba ke sana. Di sana nanti gunakan wang saku yang bonda beri pula untuk mengisi perut itu."

"Makan biar cukup, jangan kau kurang makan ya! Jikalau kau pulang dengan badan cengkung, tahulah nasib kau nanti!" Pesan Che Jemah tegas. Garang nadanya namun bermanfaat isi bicaranya.

Comel sahaja kedua beranak ini menggelarkan diri masing-masing dengan gelaran aku-kau. Kedua-duanya turut sama berperwatakan ceria dan bersahaja. Sungguh tingkah laku Nara sebiji dengan tingkah laku ceria bondanya itu. Iyalah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?

Nara mendengus berat. Sudah besar panjang pun masih dilayan seperti kanak-kanak kecil, mana tidak angin pemuda itu.

"Baiklah, bonda..." Nara menyambut bungkusan bekalan makanan itu daripada bondanya dengan baik. Dia tidaklah marah mahupun merajuk, sengaja dirinya bermuncung sebegitu kerana tidak gemar bondanya menyusahkan diri tanpa sebab.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now