Kisah - 31

1.1K 159 66
                                    

Dahlia bangkit tatkala mentol langit, sang bulan masih bercahaya terang indah menyinari jumantara alam. Langit masih berwarna biru tua bak lautan menandakan subuh baru menjelma. Dingin hawa menggigit seluruh tubuh apabila air menyentuh kulit Dahlia.

Rerumput kecil di tepi tasik menari gemalai dan perlahan ditiup sang bayu dingin. Wuduk disempurnakan kemudian kakinya melangkah kembali ke ruang solatnya. Sang Jentayu masih beradu diulit mimpi sebelah gua manakala Sang Merpatika pula entah bila pulangnya, tiba-tiba sudah berada di sebuah batu besar di tepi tasik, juga sedang lena diulit mimpi.

Perlahan-lahan langit berubah warna menjadi kuning cair tatkala sang Mentari mula bergilir tugas dengan sang bulan. Alam mula disinari cahaya si bintang merah besar itu.

Dahlia menyapu seluruh wajahnya dengan kedua telapak tangan seusai selesai ibadahnya. Kemudian dirinya melangkah keluar gua menikmati keindahan alam saat terbitnya Sang Mentari.

Sang Jentayu dan Merpatika juga sudah pun terjaga dek disinari cahaya matahari yang terlalu terang membutakan mata.

"Kalian akan berlatih lagi bukan hari ini?" Jentayu membuka bicara memecah sunyi di pagi hari.

Namun bicaranya tidak dibalas. Kedua Dahlia dan Merpatika kekal membisu membiar pawana menghiasi suasana. Beberapa seketika baru kedua-duanya mengangguk mengiyakan bicara Jentayu itu.

"Jikalau begitu, izinkan aku membawa diriku atas urusan yang harus aku selesaikan." Jentayu menghabisi bicaranya dengan sebuah senyuman manis cuba menceriakan suasana namun keduanya masih kekal membisu.

Sang Jentayu kemudiannya mengibarkan sayapnya luas ke udara sebelum bergerak meninggalkan perkarangan gunung.

Kini tinggal Dahlia dan Merpatika yang masih kekal membisu tanpa suara. Siang masih muda namun seharusnya mereka tidak membazirkan masa dengan kekal membatu.

"Sampai bila mahu tercegat di sana?" Sang Merpatika memecah sunyi sambil bergerak ke arah Dahlia. Dia kemudiannya merendahkan seluruh tubuhnya di sisi gadis itu.

"Mahu apa ini?" Dahlia tidak menghiraukan soalan Merpatika namun gelagat burung itu seolah-olah mahu menawarkan dirinya sebagai tunggangan. Bukankah dia tidak gemar orang menunggangnya sesuka hati?

"Ayuh bergerak pantas, kita harus berlatih lebih banyak hari ini." Sang Merpatika membalas ringkas.

"Biarpun aku menjadi tunggangan engkau, namun kau lah yang akan menjaga diri sendiri kerana ini ujian pertama buat kau. Penerbangan Ku akan lebih mencabar dari sebelum ini. Sekiranya kau gagal menjaga dirimu sendiri, padah bakal mengundang atas kesilapan sendiri." Merpatika berpesan seraya mendengus kecil tanda mengarahkan Dahlia agar bergegas segera.

"Aku harus berpaut sehabis baik lah ini, ya?" Dahlia berbicara ringkas lantas naik ke atas Sang Merpatika. Tangannya mengenggam kuat bulu gebu apam putih itu.

Sebaik sahaja Dahlia mengambil posisi duduknya dengan baik, segera tubuh Merpatika berdiri seperti biasa. Kemudian kakinya bergerak pantas menuju ke hujung gunung tanpa sayap dikibarkan seluasnya.

"Merpatika mengapa kau tidak-" Dahlia cuba melontarkan soalan tatkala menyedari Merpatika seolah tidak bersedia untuk terbang namun terlambat.

Seluruh tubuhnya sengaja dijatuhkan dari Pergunungan Tasik Gerhana Berdarah yang tinggi melepasi awan itu.

"Merpatikaa apa inii?!!" Menjerit Dahlia dibuatnya tatkala mereka berdua jatuh menjunam dengan kelajuan mega tanpa Merpatika mengibarkan sayapnya ke udara.

Apalah Si Merpatika ini fikirkan sehingga sengaja jatuh sebegitu rupa. Jikalau berterusan, mereka berdua bakal menjunam jatuh ke bawah berdentum sekuatnya ke lantai hutan.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now