Kisah - 58

383 51 8
                                    

  Pagi Khamis itu bermula saat terbitnya Sang Mentari menjalankan tugasnya, menumpahkan segala sinarnya ke seluruh jumantara alam. Maha suci Allah atas segala kekuasaan-NYA yang tanpa batasan.

Pagi itu seolah dilimpahi jutaan rahmat dari kerajaan langit apabila gerimis hujan membasahi lantai bumi hingga subuh tadi. Sebaik sahaja Sang Mentari mencagunkan dirinya, segala titisan dan kawah air ditelan bumi hingga hanya tersisa embun pagi yang mendinginkan suasana.

Awan seolah berarak tertib di atas bentangan jumantara yang luas megah di empayar langit. Hawa pula berdesir sekadarnya, menggoncangkan beberapa pepohon renek, menumpahkan segala embun tersisa. Sungguh syahdunya pagi itu bagai diselimuti bayungan sakinah kurniaan Ilahi.

Kelihatan orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi ruangan sekeliling Dataran Pentas Merak Kasih. Kehadiran yang dinanti kini hanyalah tetamu jemputan dari Tarawangsa dan Sulantara berserta beberapa barisan tentera kerajaan sendiri sebagai tanda hormat.

Peristiwa hitam yang berlaku di pesisiran pantai timur Wantachitra baru-baru ini dirahsiakan dari pengetahuan umum kerana hanya beberapa penduduk berdekatan pesisir pantai sahaja yang mengetahui tentang serangan kecil yang berlaku di situ tempoh hari.

Bagi memastikan majlis keraian berjalan lancar tanpa sebarang masalah, perkara sebegitu harus dirahsiakan dari pengetahuan umum buat sementara waktu. Sultan Muadzam Shah sedar bahawasanya lambat laun khabar akan tiba ke telinga semua penduduk juga kerana mulut tabuh dapat disumbat, mulut orang bagaimana menyumbatnya.

Namun biarlah berita itu tersebar dengan perlahan dan bukan bagaikan kilat menyambar. Sultan Muadzam Shah bukan hanya sekadar menurut permintaan Laksamana Khoja begitu sahaja. Sekiranya cadangan tersebut tidak bernas, tidak mungkin beliau bersetuju. Namun dirinya sendiri juga berpendapat serupa seperti laksamana terhormat itu. Maka, mereka akan kekal berpura-pura tidak mengetahui apa-apa sehinggalah tiba waktu yang sesuai.

Keberangkatan tiba Raja Sang Kudawamarti bersama barisan tenteranya yang tidak begitu banyak adalah serentak dengan keberangkatan tiba Ratu Melawati bersama Arjuna dan beberapa barisan tentera Tarawangsa yang terserlah gahnya di khalayak ramai.

Para wanita yang memenuhi sebahagian daripada ruang penonton mula memandang ke arah selain daripada barisan tentera kerajaan jiran yang mampu memikat hati itu. Sungguh tampan dan menawan!

Kesemua tetamu kehormat mula mengambil tempat di singgahsana sementara masing-masing yang telah disediakan. Barisan tentera kerajaan jiran pula berada di kawasan yang ditetapkan. Segalanya berada dalam keadaan teratur namun sepertinya mata Raja Sang Kudawamarti meninjau-ninjau mencari kelibat kekasih hatinya.

Kedua Sultan Muadzam Shah dan Permaisuri Kuntum kekal tersenyum, tidak mahu menampakkan kelemahan mereka di hadapan dua tetamu terhormat berserta ribuan manusia yang memenuhi segenap ruang dataran megah itu.

Selang beberapa ketika, Sang Pengacara Majlis mula bermadah bicara melantun sepatah dua kiasan dan syair ringkas sebagai kata alu-aluan sebelum memulakan majlis secara rasminya.

Peluang berucap diserahkan seketika kepada Sultan Muadzam Shah sebagai tuan rumah yang memegang tampuk kuasa paling tinggi tika ini untuk memberi salam sejahtera buat tetamu terhormat beliau serta rakyatnya.

Di akhir katanya, Sultan Muadzam Shah tidak lupa dalam menyelitkan tentang anakandanya, Puteri Seri Dahlia.

"Dukacita Beta maklumkan pada sekalian rakyat hari ini bahawasanya anakanda beta, Tengku Puteri Seri Dahlia masih belum kebah geringnya. Berkemungkinan besar beliau tidak dapat menghadiri majlis ini pada hari ini." Sultan Muadzam Shah bijak bermain kata dalam menyembunyikan hal yang sebenar. Namun jiwanya bagai dicengkam perasaan bersalah kerana berdusta bicara dengan rakyat sendiri.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now