Kisah - 49

683 88 29
                                    

Bom besar merah menyala menghentam bahtera besar itu menggegar seluruh isi kapal. Dahlia tidak dapat melihat apa-apa namun gegaran kuat kapal membuatkan dirinya terpelanting jauh dari kapal akibat bom besar tadi telahpun menyebabkan keruntuhan sebahagian besar dari kapal.

Dahlia mengelipkan matanya berkali-kali cuba menghadam situasi dan memerhari kawasan sekeliling ingin melihat sejauh mana dirinya terpelanting. Sungguh dirinya tidak dapat melihat dengan baik akibat pandangannya kabur dengan asap dan debu yang melampau. Namun kapal bagaikan bercahaya terang yang melampau.

Dahlia termangu-mangu tanpa bicara masih memerhatikan suasana kapal yang terang-benderang itu. Ternyata bukan cahaya yang menghiasi kapal, malah seluruh isi bahtera besar itu sudahpun dijilat api. Api marak menjilat seluruh isi kapal namun Dahlia masih kekal terpinga-pinga. Wajahnya comot terhantuk di hujung dinding kapal.

Luka merata di seluruh tubuh hingga darahnya yang mengalir dari kepalanya sendiri tidak disedari Dahlia. Dirinya bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah disaksikan matanya pada malam ini. Peperangan berlaku di hadapan matanya sendiri.

Bukan hanya satu bom yang menghentam seluruh isi kapal itu malah bertubi-tubi hentaman yang bagaikan mahu menggegar dunia. Bergelora kencang air laut hingga terumbang-ambing kapal dibuatnya. Namun, sungguh Wantachitra amatlah handal dalam sistem pertahanan masing-masing.

Biarpun sebahagian besar kapal sudahpun dijilat api marak hingga berlubang besar kapal dibuatnya, para tentera laut langsung tidak menunggu daripada terus menyerang balas. Bukan itu sahaja, biarpun ramai sahabat handai mereka syahid di hadapan mereka sendiri, langsung mereka tidak berlengah dalam menyerang balas dan membentuk corak serangan baharu. Malah kesemua bom yang dilepaskan meriam tepat mengenai musuh biarpun kapal dalam keadaan terumbang-ambing.

Sungguh kehandalan tentera laut Wantachitra adalah lebih dari luar biasa. Kelibat Jebat langsung tidak kelihatan di tingkat atas. Hanya kelibat Arjuna dapat dilihat Dahlia. Bahagian atas kapal turut musnah kerana di situlah tempat terhentamnya bom besar yang marak dengan api itu.

Ternyata Dahlia terlewat sedikit sedar selepas kepalanya terhantuk kuat akibat terpelanting jauh ke hujung kapal tadi. Malah ruangan tingkat atas yang tadinya menjadi bilik perbincangan Arjuna dan Jebat turut musnah. Jebat ternyata telahpun turun ke tingkat bawah dengan hanya melompat bagi membentuk corak serangan baharu.

Sungguh Jebat juga banyak lukanya tidak terhitung namun dirinya tidak menunggu dan segera turun berjuang bersama para tentera terlatihnya. Mustahil hatinya tidak pedih berdarah melihat bagaimana kapal dan tentera di bawah pimpinannya ramai yang tumbang syahid di tangan musuh namun tiada masa untuk dibazirkan dengan memikirkan itu semua.

Segera serangan balas diberikan hingga salah satu kapal musuh telahpun berjaya ditumbangkan mereka, kapal yang musnah separuh ini dalam masa tidak lebih dari lima minit. Sungguh betapa hebatnya mereka adalah tiada tandingan. Sekelip mata kapal musuh tumbang ditelan samudera biru pekat yang luas.

Awi telahpun turun ke bawah menyertai Jebat selepas diarahkan Arjuna. Maraknya api terserlah dari retina mata Dahlia yang berkaca menyaksikan pertempuran laut mega ini. Derap tapak kaki Arjuna juga tidak dihiraukannya. Pelitup wajahnya tidak lagi menutup muka.

Akibat leka menghadam situasi yang terlalu mengejutkan ini, dirinya langsung tidak menyedari bahawa dinding kapal di sisinya turut musnah dijilat api hingga hud hitamnya turut sama perlahan-lahan dimamah api marak.

"Dahlia!" Jeritan suara Arjuna menghentikan lamunan Dahlia.

Berlari Arjuna datang ke arah gadis itu sebelum dia merendahkan dirinya berhadapan dengan gadis itu.

"Jadi benarlah. Engkau Dahlia." Ujar Arjuna perlahan. Luka Arjuna lebih parah daripada Dahlia. Namun pemuda itu kekal mengukir senyuman cuba menenangkan Dahlia yang pucat seluruh wajahnya. Dahlia terpinga-pinga, entah kenapa telinganya bagaikan pekak tidak dapat mendengar apa-apa.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now