Kisah - 18

1.5K 200 38
                                    

  Juraian air mata Permaisuri Kuntum mengalir deras di pipi tuanya. Berita tentang serangan dari pihak tidak diketahui itu sungguh memilukan jiwa dan raga. Walaupun dia sudah tahu bahawa pastinya Dahlia itu bukan anakanda kandungnya namun dia tidak mempercayai tentang itu sepenuhnya. Kerinduannya terhadap putrinya itu terus menerus mencengkam membuatkan dia menanti Dahlia bagaikan menanti anakandanya sendiri.

  Sebaik sahaja mendapat berita, Tuanku Sultan Muadzam Shah sendiri yang mencemar duli turun ke lokasi kejadian sendiri. Namun hanya tersisa kesan darah kering di serata tempat maka sultan berangkat terus ke masjid Al-Ihsan yang berhampiran dengan sempadan Tarawangsa dan Wantachitra itu.

  Mengetahui ketibaan Sultan Muadzam Shah ke Tarawangsa, Ratu Melawati tidak boleh bersama ke tanah perkuburan walaupun hatinya pilu tidak berpeluang menghantar Intan sehingga ke liang lahadnya. Dia harus menyambut ketibaan tetamu kehormat itu. Mahu sekali hati ini menyambut tetamu itu di singgahsananya sendiri namun Sultan Muadzam Shah telah tiba di Masjid Al- Ihsan terlebih dahulu.

  Seberangkat tibanya Sultan Muadzam Shah di situ tatkala semua penduduk masih bertungkus- lumus meletakkan jenazah di atas kenderaan untuk dibawa ke tanah perkuburan. Hari masih pagi disinari cahaya Sang Mentari selepas subuh.

  Selesai solat subuhnya, Tuanku Sultan Muadzam Shah, baginda segera berangkat menuju ke Tarawangsa. Alhamdulillah sempat baginda menatap jasad bekas tenteranya yang kini telah bergelar syahid. Ketibaan baginda disambut dengan penuh hormat oleh seluruh penduduk yang berkumpul ramai di masjid.

  Sesak jalan dibuatnya akibat berita tersebar dengan cepat bagaikan kilat tentang kejadian petang semalam. Permaisuri Kuntum berkeras mahu ikut sama tambahan pula, Puteri Seri Dahlia masih tidak dijumpai lagi. Hati kecilnya masih berharap wanita itu adalah anak kandungnya. Namun Sultan Muadzam Shah menghalang permaisurinya untuk turut sama lantaran perkara ini tidak mahu diuar-uarkan kepada rakyat Wantachitra. Lagipula tiada yang tahu tentang kehilangan putrinya itu, maka Permaisuri Kuntum harus kekal di istana menanti sebarang berita baharu.

_______________________•••____________________

  "Aku lihat Tuanku Sultan berangkat dengan lekasnya tadi pagi. Sepertinya ada suatu perkara besar yang berlaku namun mengapa tidak aku ketahui apa-apa tentang ini?" Rum Aspalela bersuara lantang dalam bilik mesyuarat kecilan yang diadakannya sejurus selepas dia terlihat keberangkatan Tuanku selepas subuh pagi tadi.

  "Sudah aku katakan, pasti Tuanku ada menyembunyikan sesuatu dari kita." Sahut seorang pemuda lain yang berada dalam mesyuarat itu.

  Semua pemuda dan pemudi itu terdiri daripada pembesar peringkat kampung yang dilantik oleh adipati Wantachitra mengikut bidang masing-masing. Kesemua pemuda di dewan kecil itu diketuai oleh adipati Rum Aspalela yang merupakan kepala daerah bagi sebuah wilayah di Wantachitra. Dia merupakan antara adipati termasyhur yang dipercayai Sultan Muadzam Shah sepenuhnya.

  Pada awalnya pemuda dalam lingkungan umur 60-an, Rum Aspalela itu seorang yang bertanggungjawab dalam menjalankan tugasnya dengan amanah. Segala kerjanya pasti diselesaikan secepat mungkin tanpa sebarang masalah. Kebijaksanaannya sedikit luar biasa berbanding adipati yang lainnya menyebabkan dia sering dinaikkan pangkat. Asyik leka dengan kemewahan dunia, kenaikan pangkat dikejar hingga banyak amal ibadahnya dilaksanakan sambil lewa sahaja menyebabkan tugas yang dijalankan semakin tidak amanah akibat hati semakin hitam.

  Hari demi hari insan yang diberi kepercayaan oleh Sultan ini mula mendambakan kuasa, harta dan dunia. Segala permasalahan dalam Wantachitra harus ada dalam pengetahuannya. Sekiranya sesuatu masalah itu dapat memberi manfaat kepada dirinya, akan diajak penjenayah itu berkerjasama dengan dirinya. Rasuah ibarat permainan baginya, langsung terlupa tentang hukum Allah akibat lalai dibutakan harta.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now