"Jadi apakah kau berpendapat untuk Beta kekal menerima Sulantara sebagai tetamu di hari kejadian kelak?" Soal Sultan Muadzam Shah yang sedang bersemayam di atas singgahsananya.
Laksamana Khoja mengangguk. "Ampun Tuanku, memang benar firasat patik menyuarakan bahawa serangan malam itu adalah angkaranya Sulantara. Namun patik beranggapan agar Wantachitra kekal berkelakuan seolah-olah tidak mengesyaki apa-apa. Ini adalah untuk mengelakkan Sulantara memerhati Wantachitra dengan lebih tajam lagi." Laksamana Khoja menghabisi bicaranya sambil berada kekal dalam posisi tunduk sembahnya.
Sultan Muadzam Shah terdiam sejenak. Janggut tebalnya diusap seketika.
"Beta mengakui kebijaksanaan kau Khoja Hassan. Malah kau kehilangan sejumlah besar tentera kau pada malam itu. Namun berbanding hadir ke sana memberi hormat pada barisan armada laut kau, kau bertandang ke mari menghadap Beta untuk menyuarakan pendapat ini. Jelas sekali ia lebih penting dari segalanya. Maka tiada asbab untuk Beta tidak menurutinya." Indah teratip susunan ayat Sultan Muadzam Shah menyusun butir bicaranya.
Laksamana Khoja memandang lantai istana dengan pandangan redup. Sungguh biarpun jasadnya di dalam istana Wantachitra tika ini, hatinya berada dekat dengan kesemua barisan tenteranya yang gugur syahid dalam peperangan.
"Ampun Tuanku, menjunjung kasih Tuanku." Laksamana Khoja menyuarakan salam kasihnya atas kesudian Sultan Muadzam Shah mencemar duli baginda bersetuju dengan cadangan laksamana Khoja.
_______________________•••____________________"Selesai." Merpatika bersuara tiba-tiba disusuli dengan hembusan kecil nafasnya.
Dahlia tercengang tidak mengerti. "Apa?"
"Latihan kau sudah selesai. Hingga ke tahap ini, banyak kemahiran asas sudah kau kuasai. Tahniah aku ucapkan."Merpatika membalas dengan senyuman.
"Benarkah? Kita selesaikan semuanya sudah? Lagi berbaki berapa hari ya sebelum majlis itu? Satu, dua..." Dahlia cuba mengira menggunakan jari-jemari kecilnya.
"Tiada berbaki lagi. Esok sahaja." Pantas Merpatika memintas bicara Dahlia. Entah apalah yang gadis itu ingat hingga lupa bahawa majlis penting itu bakal berlangsung pada esok hari.
Dahlia tertampan. Mulutnya terlopong sambil bisu berbicara menidakkan kata Merpatika tadi. Burung gergasi itu hanya menggeleng. 'Pura-pura terkejut konon.' penuh menyampah nada suara hati Merpatika.
"Namun hari ini kau harus bertemu seseorang terlebih dahulu." Sambung Merpatika cuba kembali kepada tujuan asal perbincangan.
"Oh iya? Siapa?" Bersinar mata Dahlia berharap sekiranya orang yang dimaksudkan adalah Arjuna.
"Pendamping setia Tengku..."
"Dewi."
_______________________•••____________________"Eeeiighhh!!"
Bergegar seluruh kawasan hutan dengan gegaran kecil suara milik wanita itu. Garang sungguh nadanya bagaikan harimau bintang kelaparan. Kayu dan dahan-dahan pohon renek di sekelilingnya dicantas kasar melepaskan geram.
"Baik sudah!"
"Bekerjaya!"
"Golongan terhormat!"
"Tahu adab dan hormat dengan wanita!""Sempurna sudah semuanya Jebat itu! Apa lagi yang menyukarkan ayahanda untuk memberi restu lagi?!"
Dewi mendengus kasar. Hatinya bergelodak dengan lautan api amarah yang membakar seluruh jiwa. Jeritannya tidaklah bergema seluruh hutan namun cukup untuk semua tahu bahawasanya gadis lingkungan umur 30-an itu sedang berada dalam kawah amarahnya.
Setiap bicaranya disusuli dengan satu cantasan pepohon renek hingga berguguran jatuh dedaunan ke lantai hutan.
Sepatutnya dia pergi memastikan persiapan bagi Majlis Keraian Setiga Serangkai yang bakal dijalankan pada esok hari supaya berjalan lancar namun dia menyelinap mencari tempat sembunyi terlebih dahulu menenangkan fikirannya yang kusut.
Belakangan ini, ayahandanya lah insan yang paling banyak merunsingkan kepalanya. Bermula dari hal Jebat yang tidak pernah berakhir dengan perbincangan baik, semenjak Tengku Puteri Seri Dahlia hilang tanpa jejak, Rum Aspalela sudah berkali-kali meletakkan tekanan melampau kepada Dewi dengan memaksanya mencuba sehabis baik bagi mencari Tengku.
Hakikatnya bukan Dewi tiada usaha, namun jalan buntulah hasilnya. Cubaannya pula bukan sekali dua, malah sejak tiga bulan pertama Tuanku hilang lagi Dewi lah orang yang paling berusaha keras bagi mencari Tengku nya sendiri.
Ketiadaan Puteri Seri Dahlia hingga kini dengan keadaan majlis keraian bakal berlangsung esok hari merupakan kemuncak kerunsingan Dewi. Entah bagaimana Wantachitra mahu hadap permintaan Sulantara yang menginginkan kehadiran Tengku Puteri pada majlis itu.
Dewi melabuhkan punggung di atas seketul batu sederhana besar saiznya. Gaya duduknya persis teruna belaka. Tiada ciri dalam dirinya yang melambangkan perawanannya. Nafasnya diambil sedalam yang mungkin sambil bibir terkumat-kamit melafaz istighfar cuba bertenang.
Seluruh kawasan hutan kekal sunyi hanya bertemankan geseran antara daun pohon tebal sebagai penghias suasana. Dewi menunduk merenung lantai hutan. Dirinya buntu. Fikirannya melayang memikirkan kejadian esok hari. Merisaukan sesuatu yang masih belum berlaku.
Seketika dirinya leka dalam kesunyian alam, Dewi menyedari sesuatu. Sepasang mata sudah lama memerhatikannya sedari tadi. Lekas Dewi bangun lalu berpaling ke belakang mencari gerangan insan itu.
Namun insan itu langsung tidak bersembunyi. Dibiarkan dirinya tidak terlindung. Hanya wajahnya dilitupi kain hitam.
Dahlia berdiri tegak di sisi kawasan penuh belukar itu.
Dewi terpana berkerut seketika. Sepertinya dia mengenali wajah itu. Namun segala persoalannya terjawab saat pandangannya jatuh pada tiara manis yang terletak kemas di atas kepala gadis misteri itu.
Mata Dewi terbuntang. Serta-merta dia tunduk merafak sembah. "Ampun Tengku!"
Dewi yakin dengan firasat hatinya. Biarpun gadis misteri itu masih belum mencabut pelitup wajahnya, Dewi sudah terlebih dahulu memberi sembah hormat kepada Tengku kesayangannya itu."Beta masih belum mencabut pelitup wajah, pantas kau mengenali beta ya." Dahlia menelan semua rasa bersalahnya dalam menyuarakan dirinya 'beta' kerana sungguh dia masih janggal dalam berbahasa istana.
Setapak demi setapak Dahlia melangkah mendekati Dewi yang masih kekal tunduk merenung lantai hutan.
"Ampun Tengku, apakah benar yang disaksikan mata patik ini? Apakah benar Tengku sudah kembali pulang ke tanah air tercinta selepas menghilang beberapa bulan lamanya? Apakah Tengku benar-benar berada di hadapan patik ketika ini?" Dewi menyoal sambil kekal merafak sembah. Terdengar getaran dalam bicaranya. Setitis demi setitis embun air jatuh ke lantai hutan. Jelas gadis itu sedang menahan tangisnya. Rindu.
Dahlia datang merapat. "Bukankah sudah beta pesan, jikalau hanya antara kita, tiada perlu untuk kau merafak sembah sebegini rupa." Tangan Dewi disapa Dahlia lembut. Perlahan-lahan Dewi mengangkat wajahnya yang sembap dengan tangisan.
Lekas Dahlia didakapnya erat. Sungguh jiwa itu merindukan sahabatnya. Pada mata orang, hubungan Puteri Seri Dahlia dengan Dewi hanyalah sekadar pendamping sejati namun mereka berdua adalah lebih akrab berbanding itu. Banyak yang telah dilalui bersama.
Dahlia mengetap bibirnya cuba menelan sebesar-besarnya perasaan bersalahnya itu. Sungguh Dewi tersalah orang namun Dahlia tidak mampu berbuat apa-apa. Terpaksa menelan segala rasa demi menjayakan sebuah lakonan palsu sebagaimana yang telah diajar Merpatika.
Merpatikalah yang telah mengajarnya pelbagai perkara tentang Dewi hingga gadis itu terpaksa berpura-pura akrab dengan gadis yang tidak pernah dia temui sebelum ini.