Kisah - 25

1.2K 164 84
                                    

Arjuna memperlahankan kudanya kerana tiba-tiba dirinya diserang rasa tidak sedap hati yang mendalam. Tadi dia hanya membuntuti adipati Wantachitra dalam perjalanan ke Pergunungan Tasik Gerhana Berdarah namun tiba-tiba Rum Aspalela memberikan isyarat agar dia membelok ke kiri namun tanpa suara.

Arjuna pula lupa meneliti sama ada isyarat yang diberikan benar atau tidak kerana mereka berdua dalam keadaan pantas dan tergesa. Ternyata dia tersilap langkah. Rum Aspalela yang dilihatnya hanyalah bayangan bunian yang cuba melalaikannya kerana Aspalela yang sebenar sudahpun berada jauh ke hadapan menunggang kudanya penuh pantas hingga terlupa tentang Arjuna.

Dalam erti kata lain, Arjuna hanya membuntuti Rum Aspalela hinggalah mereka tiba di kawasan berhampiran hutan, temenggung Tarawangsa itu dibawa lari bunian yang menyamar sebagai Rum Aspalela.

Namun setelah dia menuruti adipati Wantachitra itu masuk ke dalam hutan, tiada sepatah kata yang dilontarkan penunggang kuda di hadapannya itu. Sedari tadi, hanya pandangan pemuda itu dari belakang sahaja yang dapat Arjuna lihat kerana dia langsung tidak menoleh ke belakang.

Bibir Arjuna dibasahkan dengan ayat kursi dan tiga qul tanpa henti kerana gerak hatinya mengatakan seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Menyedari Arjuna memperlahankan kudanya, pemuda di hadapannya turut melakukan perkara yang sama namun tetap tidak dia menoleh ke belakang. Arjuna hanya memerhati gerak-gerinya dengan rapat, hairan mengapa pemuda ini tiba-tiba diam tanpa suara. Namun bibirnya juga tidak tergerak untuk melontarkan pertanyaan tentang itu.

Tunggangan kuda masing-masing makin lama semakin perlahan hinggalah kedua-duanya terhenti. Namun masing-masing membatu tanpa suara, tanpa bunyi, membiarkan sunyi sepi menguasai hutan. Rum Aspalela kekal membatu tidak menoleh menambahkan syak wasangka Arjuna.

Namun dia tetap kekal tenang dan hanya bersiaga sekiranya perlu.

"Kenapa kau berhenti?" Rum Aspalela akhirnya bersuara memecah kesunyian. Kepalanya ditoleh sedikit sahaja memandang Arjuna dari tepi.

Mirip. Suaranya mirip sama seperti Rum Aspalela. 'Apakah ini benar-benar dia?' Arjuna bermonolog sendiri. Hampir sahaja dia membalas pertanyaan itu namun bibirnya seolah terkunci daripada terus berbicara. Entah kenapa sepertinya dia tidak harus melontarkan jawapan bagi persoalan itu.

Mulutnya mungkin terkunci daripada melontarkan sebarang kata namun tidak hatinya. Ayatul kursi dan tiga qul tetap dibaca kuat dari dalam hati tidak putus-putus. Mungkin gerak hatinya yang benar itu adalah anugerah Allah melindunginya daripada sebarang ancaman tidak baik berkat amal ibadahnya selama ini.

Rum Aspalela menoleh semula memandang hadapan dan mengunci mulutnya.

Suasana kekal sunyi tatkala masing-masing kekal membatu tanpa bicara.

Hatta bunyi deruan angin pun tidak kedengaran.

Semakin lama, sunyi itu tidak lagi mewujudkan damai malah ia sebagai petunjuk untuk Arjuna bersiaga bersedia bagi sebarang kemungkinan.

Perlahan-lahan tangan kiri Arjuna mendekat dengan pemegang kerisnya. Dia bersiaga sepenuhnya dalam diam namun belum sempat tangannya menggenggam keris itu, kedengaran tawa kecil Rum Aspalela.

"Kau tahu ya?" Perlahan suara itu bertanya sambil diiringi baki tawa kecilnya. Sudah tidak wasangka lagi, ini bukan Rum Aspalela.

Biarpun menyedari bahawa dia sudah tersilap langkah dan membawa ancaman terhadap dirinya, Arjuna tetap kekal tenang tanpa sekelumit gerun terpalit di jiwanya. Bunian rupanya yang menyamar sebagai Rum Aspalela itu.

'Alhamdulillah...' senandikanya menyebut kalimah suci itu. Setinggi kesyukuran dia panjatkan kepada Ilahi atas petunjuk yang telah diberikan ini. Tangan kirinya terus mengenggam keris pantas sambil menunggu masa mempertahankan diri.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now