Kisah - 27

1K 153 105
                                    

"Benar sangkaanku. Kalian saling mengenali. Masakan seorang puteri merisaukan rakyatnya hingga menitiskan air mata sebegini rupa?" Si bunian datang dari belakang Dahlia tiba-tiba bersuara. Gadis itu masih risaukan Arjuna namun sedikit pun tidak disentuh pemuda itu kerana hormatnya dia kepada Arjuna.

Matanya merah menahan tangis. Arjuna kelihatan benar-benar seperti mahu pergi meninggalkan dunia. Darahnya menghambur keluar tanpa henti.

Dahlia mencabut kain batik yang menjadi pelapik kepalanya membantu mengikat bahagian dada Arjuna yang berdarah tanpa henti. Sapaan si bunian dibiarkan begitu sahaja tanpa dihiraukan. Berusaha sehabis baik dia menjaga jaraknya dengan Arjuna. Sedikit pun tangannya tidak bersentuh dengan pemuda itu.

Dia tidak tahu menahu tentang perubatan maka hanya itu yang dia tahu untuk menghentikan pendarahan sebentar. Sekurang-kurangnya dia dapat mengelakkan Arjuna mati akibat kehilangan darah yang banyak.

"Padanlah kekasih. Masing-masing perangai sama sahaja. Dua-dua tidak menghiraukan aku. Dasar!" Bengang dirinya dipalau sebegitu rupa, dia mula menyerang Dahlia pula.

Gadis itu segera mengelak. Dirinya berputar beberapa ketika sebelum berpijak ke tanah semula. Entah bagaimana, tiba-tiba kemahirannya bagaikan memuncak. Dia bersiaga sepenuhnya sambil mengheret si bunian pergi jauh dari Arjuna. Sebolehnya dia tidak mahu mengundang Arjuna dalam bahaya antara pertempurannya dengan si bunian itu.

Dia tahu kemahirannya masih tidak menyamai sesiapa. Tetapi dirinya bagaikan dihantuk batu besar langsung terlupa akan ketidakbolehan diri sendiri dalam bertempur.

Fikirannya melayang merisaukan Arjuna lebih dari dirinya sendiri. Bagaikan seorang ibu yang boleh tiba-tiba melompat jauh demi menyelamatkan anaknya yang dalam bahaya, sama juga seperti Dahlia yang tiba-tiba boleh bertempur dengan baik dalam keadaan dirinya yang ingin menyelamatkan orang lain.

Keadaan ini dikenali sebagai kemahiran luar kawalan. Kemahiran ini berjaya dilakukan seseorang apabila mereka berada dalam keadaan diancam yang teruk atau keinginan ingin menyelamatkan seseorang yang luar biasa hingga memaksa diri bertindak melebihi kemampuan.

Keris digenggam Dahlia kuat sambil seluruh tubuhnya dipenuhi jumlah tenaga yang luar biasa banyaknya. Seolah-olah bertukar diri, Dahlia kini berada dalam keadaan tertumpu sepenuhnya kepada si bunian.

Pergerakannya tiba-tiba menjadi amat lincah dan pantas. Serangan si bunian langsung tidak mencederakannya akibat gadis itu yang bagaikan disambar kilat hingga kepantasannya di tahap yang luar biasa.

Sepatah pun tidak terpacul keluar dari mulutnya. Benar-benar tersilap langkah si bunian menganggu insan istimewa Dahlia, memang mendapatlah jawabnya.

Dahlia pula tidak menunggu. Akibat ilmu pertempurannya yang cetek, dia tidak tahu bilakah masa yang sesuai untuk melancarkan serangan, maka serangannya membuta tuli bila-bila sahaja menyebabkan si bunian tidak dapat membaca pergerakan Dahlia.

Namun, sudah terang lagi bersuluh si bunian lebih mahir berbanding gadis itu, dengan mudah pergerakan tidak tentu arah Dahlia dibacanya dengan baik lalu dia membuat serangan balas.

Belum sempat serangan si bunian mendarat di tubuh Dahlia, dirinya bagai dilibas dengan sayap berat dari belakangnya. Dia tidak sempat melihat namun hanya warna putih bak pualam yang dapat ditangkap pancainderanya.

Si bunian terpelanting jauh ke belakang akibat libasan penuh bertenaga burung merpati gergasi itu. Namun pandangannya sekejap sahaja dapat melihat warna putih itu.

Dia bingkas bangun dari baringnya segera berdiri bersiaga. Namun hairan. Apakah yang melibasnya tadi?

Jelas, dia tidak boleh melihat Sang Merpatika. Hanya Dahlia yang terlopong melihat kehadiran apam putih itu yang tiba-tiba datang bagaikan mahu menyambar si bunian itu.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now