Kisah - 39

1K 128 22
                                    

Dahlia terjaga saat bunyi ranting kecil dipijak ditangkap pancainderanya. Segera dia bangkit bersiaga sambil Sang Merpatika turut sama terpisat-pisat bangun menggosok mata dengan sayap gergasinya. Kedua insan itu masih lagi separa sedar belum berpijak di dunia yang nyata sepenuhnya lagi.

'Sang Jentayu kah?' Senandika Dahlia melontar soalan pada diri sendiri. Namun kelibat Jentayu masih tidak kelihatan. Masakan burung gergasi sebegitu tidak mampu dilihatnya? Mustahil sungguh.

Merpatika kekal membatu. Pancainderanya mengesan sesuatu. Tumpuan penuh diberikan kepada segala bunyi di sekeliling mahupun bunyi nyata atau tidak.

Dahlia perlahan-lahan menarik panahnya di busur biarpun arah bunyi masih belum dapat dikesan sepenuhnya. Dengan senjata apa yang dia ada pada ketika itu, hanya panah yang mampu digunakan bagi bersiaga menghadapi ancaman musuh.

Sunyi seluruh alam hingga dapat didengari jelas bunyi nafas masing-masing. 'Sungguh bagaimana Dahlia yang lena tidur akibat kepenatan boleh segera terjaga saat bunyi yang terlalu perlahan menangkap telinganya?' Sang Merpatika bermonolog sendiri. 'Apakah dia semakin cekap?' Pantas tiada terkata sekiranya benar Dahlia sudah bertambah cekap dan tangkas dalam masa yang singkat.

Mungkin ancaman yang dia hadapi semenjak dia tiba ke sini memaksa dirinya berlatih menjadi lebih dari kebolehan biasanya. Sungguh kali ini gadis itu benar-benar memberi sepenuh tumpuan terhadap bunyi samar-samar yang kalau ikutkan sukar sungguh bunyi itu ditangkap deria pendengaran.

Perlahan-lahan busur panah diangkat sambil pergerakan tangannya mengikut isyarat telinga. Pernafasannya dikawal sehabis baik tidak mahu cubaannya diganggu. Merpatika akhirnya dapat mengesan arah tepat bunyi namun belum sempat dia mengangkat sayapnya...

Zup!

Dahlia melepaskan panahan ke satu arah di sebalik pepohon renek. Sang Merpatika tercengang. Dahlia terlebih dahulu bertindak sebelum dirinya. Malah arah yang disasarkan adalah teramat tepat menyebabkan Merpatika terkesima seketika. Sungguh benar tekaannya. Dahlia semakin tangkas!

"Aduh!" Laung seorang pemuda mengerang kesakitan. Ternyata panahan Dahlia tepat mengenai si misteri itu biarpun hampir terpesong sedikit sebentar tadi. Sungguh bukanlah kemahiran Dahlia yang menjadi asbab panahan mendarat tepat di sasaran. Namun takdir menentukannya untuk bertemu dengan pemuda tersebut.

Dahlia dan Merpatika keduanya tersentak tatkala mendengar suara seorang insan mengerang kesakitan.  Segera mereka melangkah bergerak ke arah pemilik suara tersebut.

Kelihatan seorang pemuda sedang terduduk kesakitan akibat belakang badannya tertusuk sebatang panah panjang yang tajam. Terbuntang mata Dahlia melihat pemuda tersebut yang kelihatan seperti penduduk atau rakyat biasa sahaja.

Biarpun wajahnya belum sempat ditatap Dahlia segera gadis itu membuka mulut ingin meminta maaf kerana telah melukakannya namun tindakan pantas Sang Merpatika segera menutup mulut Dahlia menahan gadis itu dari melontarkan bicara.

Dahlia kehairanan. Dia mengerling memandang Merpatika memohon penjelasan atas tindakannya itu. Namun Merpatika tidak memberi respons malah pandangannya tidak terkalih walau sedikit dari pemuda tersebut.

Pancainderanya mengesan lelaki itu bukan orang biasa. Buat masa ini, Sang Jentayu amat diperlukan. Merpatika kekal membatu sambil sayapnya tidak berganjak dari menutup separuh daripada wajah Dahlia.

Suasana kembali sunyi. Hairannya, hanya sekali sahaja pemuda itu mengerang kesakitan. Malah, tidak sedikit pun dia menoleh ke belakang memandang ke arah Merpatika dan Dahlia. Dirinya tetap berada dalam keadaan melutut dipanah dari belakang tanpa bergerak walau sedikit pun.

Kemudian perlahan-lahan pemuda itu cuba menoleh ke belakang. Dahlia kekal memerhati sambil sedaya upaya dia menanti penuh sabar hingga wajah penuh pemuda itu berjaya dilihatnya. Namun baru hanya sedikit pipinya kelihatan, boleh terlihat Dahlia akan pipinya seolah-olah pemuda itu sedang berada dalam keadaan senyum.

Dusta Puteri PalsuDär berättelser lever. Upptäck nu