Kisah - 71

306 32 1
                                    

  "Ampun Tuanku beribu ampun. Patik sedar Tuanku lagi sibuk menguruskan hal di Kampung Empat Puncak. Namun patik gusar, berita yang bakal patik sampaikan bakal menjadi sesuatu yang jauh lebih penting ketika ini." Ujar salah seorang daripada tentera Wantachitra. Nada suaranya mengah bersulam gusar. Jelas dia baru sahaja lepas memecut ke sini membawa berita yang kurang menyenangkan.

  "Silahkan." Tanpa banyak bunyi, Sultan Muadzam Shah tidak mahu membuang waktu, segera disuruhnya tentera itu untuk meludahkan segala berita yang dibawanya bersama.

  "Ampun Tuanku, patik utusannya Laksamana Khoja Hassan, datang ke mari atas arahan beliau." Tentera itu terlebih dahulu memperkenalkan diri, kekal beradab secara ringkas biarpun dalam keadaan sebegini genting.

  "Berdasarkan Laksamana Khoja, didapati ada kehadiran bahtera yang bukan milik kita ataupun kerajaan terdekat yang kini menghampiri sempadan perairan kerajaan Wantachitra Tuanku." Akhirnya tentera itu memuntahkan berita penting itu.

  Sultan Muadzam Shah berkerut. "Milik siapakah bahtera itu?" Soalnya spontan. Segera dia bangun dari meja tempat dia menguruskan hal ehwal negara. Jelas curiganya menguasai diri. Apakah tentangan baharu yang bakal diterimanya kali ini? Belum selesai satu masalah, timbul pula masalah lain.

  Tentera itu terdiam sejenak. Riak wajahnya berubah menjadi lebih gusar sebelum dia membalas pertanyaan Sultan Muadzam itu.

  "Ampun Tuanku, dikhuatiri bahtera itu milik Kerajaan LuoYang." Balas tentera itu ringkas.

  Sultan Muadzam Shah tersentak. Lidahnya kelu dikunci dari terus berbicara. "Kerajaan LuoYang?" Sultan Muadzam menyoal sekali lagi, memastikan.

  Kerajaan LuoYang merupakan Kerajaan yang terletak agak jauh di bahagian Tenggara benua Sundalawari. Memandangkan hanya Kepulauan Tiga Serangkai yang berjiran tanah antara satu sama lain, kerajaan-kerajaan lain hanya mampu berjiran namun terpisah dengan keluasan bentangan samudera yang menjadi garis pemisah antara pulau itu dengan yang lainnya.

  Hubungan diplomatik telah dijalinkan bagi mengelakkan keamanan tergugat. Namun kehadiran bahtera milik Empayar LuoYang benar-benar di luar kotak jangkauan.

  "Berapa buah bahteranya yang melepasi garis sempadan Wantachitra?" Soal Sultan Muadzam Shah lagi. Wajahnya benar-benar serius. Helaian-helaian kertas kerjanya yang tadinya berada dalam genggamannya diletakkan semula di atas meja. Muktamad, perkara ini jauh lebih penting berbanding urusan lain.

  "Hanya sebuah, Tuanku." Balas tentera itu, sopan.

  "Sebuah sahaja?" Sultan Muadzam menarik nafas lega. Seandainya kehadiran mereka adalah lebih dari sebuah kapal, mereka bukanlah datang dengan niat yang baik. Namun memandangkan hanya sebuah sahaja kapal yang datang menghampiri, bermakna ada hajat penting yang menyebabkan mereka hadir ke mari.

  Sultan Muadzam terdiam sejenak. Beliau mula tenggelam dalam lautan mindanya yang sarat dengan pelbagai buah fikiran. Mindanya ligat memikirkan sesuatu. Langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan, titah apa yang perlu dia turunkan kepada laksamana Khoja itu.

  Selang beberapa waktu, Sultan Muadzam akhirnya mencapai kata putus. "Baiklah. Dengar arahan beta dengan baik." Sultan menoleh semula memandang tentera tadi yang masih tercegat tidak berganjak dari lantai istana itu.

  Mendengarkan bicara Sultan, tentera itu segera memberi sepenuh tumpuannya terhadap segala butir bicara yang terpacul keluar dari mulut sultan.
 
  "Beta titahkan untuk Laksamana Khoja sambut tetamu kita dengan baik. Berkemungkinan besar Maharaja LuoYang turut berada di atas bahtera itu."

  "Turut juga beta titahkan, agar dikerah segala tenaga tentera kita untuk berkawal di atas samudera bagi menjaga keselamatan tetamu kehormat kita." Jelas Sultan panjang lebar.  

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now