Kisah - 8

1.4K 196 19
                                    

  "Arjuna, apa hubungan kau dengan Tengku?" Soal Iskandar memecah kesunyian.

  Arjuna tersentak. "Aku tidak punya apa-apa hubungan dengannya." Pantas Arjuna menidakkan soalan tersebut. "Tetapi apakah benar dia itu Puteri Seri Dahlia? Jika benar kenapa dia tidak memberitahuku dari awal?"

  "Tengku tidak memberitahu kau?" Iskandar berkerut. "Itu mustahil."

  "Sedikit pun dia tidak membuka cerita tentang itu. Malah katanya, dia datang dari masa hadapan. Pakaiannya juga aneh dan berbeza dari yang biasa aku lihat. Maafkan aku tetapi aku masih tidak percaya dia adalah puteri Wantachitra. Atas sebab itulah aku masih tidak menggelarnya Tengku." Jelas Arjuna.

  "Dari masa hadapan? Mana ada orang datang dari masa hadapan." Iskandar diam berkerut dan berfikir sejenak.

  "Apakah ini hanyalah pelanduk dua serupa?" Arjuna meneka.

  "Mustahil ini adalah pelanduk dua serupa. Hatta pelanduk serupa sekalipun tidak akan sepenuhnya mirip. Tetapi ini memang tidak sah lagi, dialah puteri Wantachitra yang hilang itu. Malah suara Tengku juga serak-serak basah benar-benar sama seperti Dahlia yang kau maksudkan itu." Iskandar menjelaskan.

  Arjuna pula yang diam dan berfikir sejenak. "Apakah cara gerakan dia berjalan juga mirip? Tingkah lakunya?"

  "Sama tetapi lebih sopan berbanding Tuanku Puteri Dahlia. Entah kenapa kelihatan Tuanku yang sekarang ini seperti hilang ingatan kerana tingkah lakunya agak sedikit tidak sama seperti sebelumnya..." Iskandar mengurut dagunya.

  "Jikalau dia hilang ingatan sekalipun, apa tujuannya mengatakan dia dari masa hadapan?" Arjuna mendengus berat. Pening kepala memikirkan misteri tidak berkesudahan ini.

  Seketika kemudian kedengaran tapak kaki dari belakang milik Dahlia dan Ratna.

  "Maaf mengambil masa sedikit lama." Ujar Dahlia perlahan. Dia berlama sedikit di dalam masjid kerana malu mahu keluar dengan wajahnya yang sembap akibat baru lepas menangis.

  Namun Arjuna tetap perasan akan kesembapan wajah Dahlia tetapi dikunci sahaja mulutnya. Begitu juga dengan Iskandar. Mereka kemudiannya bergerak menuju ke warung tadi semula.

  Dalam perjalanan, Iskandar hanya diam memerhati. Dia perasan akan sedikit kelainan dengan Dahlia yang berbeza dengan Puteri Seri Dahlia. Salah satunya ialah bagaimana Dahlia cedera melawan lelaki gagah perkasa itu.

  Puteri Seri Dahlia terkenal dengan kehebatannya dalam bertarung. Dia mampu menumpaskan sesiapa pun. Ramai lelaki perkasa tumbang di tangannya. Tidak pernah sekalipun dia tercedera dalam pertarungan. Kehebatannya bertarung dan mengelak dari sebarang serangan membuatkan ramai mengakui keperkasaannya.

  Namun Dahlia yang ini seperti tiada satu pun ilmu seni bela diri. Jikalau benar dialah Puteri Seri Dahlia walau dia hilang ingatan sekalipun, tubuhnya tidak akan hilang ingatan. Pasti dia tetap mampu mempertahankan dirinya.

  Mereka tiba di warung. Sementara menunggu pesanan tiba masing-masing mengunci mulut. Tidak tahu apa yang mahu dibicarakan.

  Lantas Arjuna membuka mulut memecah kesunyian. "Dahlia apakah kau pernah mendengar sejarah tentang Puteri Seri Dahlia?" Soalan Arjuna membuatkan Iskandar menoleh ke arahnya. Dia belum bersedia memberitahu Dahlia tentang itu. Namun Arjuna hanya mengannguk perlahan seolah-olah memberi isyarat agar biar dia yang menguruskannya.

  Dahlia berfikir sejenak. "Seperti pernah dengar nama itu. Sebentar ya aku harus mengingati kembali." Matanya ligat memandang ke atas sedang berusaha mengingati sesuatu kerana sebagai seorang yang meminati sejarah dia merasakan deja vu tatkala mendengar nama tersebut.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now