Kisah - 34

1K 138 37
                                    

"Ampunkan beta atas kelewatan menjemputmu masuk ke dalam." Ujar Ratu Che Tunggal Gemala itu.

Sang Jentayu menggeleng perlahan sambil paruhnya menguntum senyuman manis menghargai usaha Sang Ratu itu mengorbankan sedikit masanya buat Jentayu seketika ini. Dia berjalan perlahan penuh beradab di istana orang.

Kini dirinya terpisah dari alam nyatanya dibawa masuk ke alam bunian. Ternyata Sang Jentayu bertemu dengan Tuanku Ratu Che Tunggal Gemala, ratu bunian. Hasrat di hati hanyalah mahu membincangkan tentang Lela Sakti yang sudah semakin mengganas baru-baru ini.

"Jarang sekali kau bertandang ke mari. Apakah kacau-bilau Lela Sakti semakin menghuru-harakan keadaan?" Ratu Gemala membuka bicara memecah sunyi terlebih dahulu. Niat di hati mahu juga menghidangkan sedikit kudapan ringan buat tetamu luar biasanya itu namun dia menyedari akan hakikat perbezaan alam bakal menjadi asbab kudapan itu tidak disentuh Sang Jentayu.

Burung gergasi itu juga sepertinya tidaklah tersinggung dengan layanan sebegitu maka dibiarkan sahaja perasaan rasa bersalah itu berlalu pergi.

Jentayu mendengus perlahan sebelum membalas bicara Sang Ratu itu. Memandangkan Ratu Gemala bukanlah ratu di alam nyata, maka bahasa istana yang digunakan hanyalah sekadar sederhana sahaja. Tidak mahu berlebihan.

"Sebelum patik utarakan segala kesilapan dan huru-hara yang tercetus, apakah boleh untuk patik tahu terlebih dahulu punca sebenar pemuda ini bertindak sedemikian? Khabar angin hanyalah sekadar khabar. Adalah lebih baik sekiranya patik mendengar tentang perkara sebenar ini sebelum membuat kesimpulan sendiri." Jentayu membalas sopan.

Benar, mungkin selama ini khabar angin yang tersebar mengatakan Lela Sakti menculik pemuda-pemudi yang dirasakan layak untuk mengahwini adik perempuannya namun masih tidak dapat dipastikan lagi kesahihan khabar angin itu.

Tambahan pula, Lela Sakti bukan sembarang orang. Pemuda itu merupakan bunian berdarah raja di alam buniannya. Dalam erti kata lain, Lela Sakti merupakan antara orang ternama di sana kerana dirinya yang berketurunan raja menjadi asbab dia dapat bertindak sewenangnya mengikut kemahuan sendiri.

Maka tidaklah patut untuk Jentayu melontar khabar angin tidak berlesen di hadapan Sang Ratu yang mempunyai pertalian darah dengan pemuda yang dibicarakan itu. Langkah terbaik adalah meminta penjelasan dan kisah sebenar terlebih dahulu.

Ratu Gemala mendengus perlahan sebelum memulakan bicaranya. "Sungguh yang namanya khabar angin pasti tidak lari dari sekadar berita palsu." Beliau berhenti sejenak sebelum kembali melontar bicara.

"Adindanya Lela Sakti, Puteri Melur telah dicuri hatinya oleh seorang bunian yang entah dari mana kami tidak tahu. Menurut kata Lela Sakti, bunian itu bukanlah orang yang baik. Lantaran itu, dia mencegah adindanya dari pergi ke arah bunian misteri tersebut."

"Namun, tiadalah hendak Si Puteri Melur ini menurut kata kakandanya dek hati yang telah dibutakan cinta. Memandangkan si bunian misteri ini punyai satu tabiat pelik iaitu menculik para pemuda-pemudi di hutan, maka Lela Sakti turut membuat perkara yang sama namun lebih kejam lagi agar bunian misteri tersebut mendapat nama yang buruk." Bicaranya Sang Ratu Gemala dihentikan sejenak.

Jentayu khusyuk diam mendengar. 'Begitu rupanya...' Senandikanya berbicara perlahan. Akhirnya misteri terungkai. Namun Lela Sakti tetap bersalah biarpun niatnya hanya mahu memburukkan nama si bunian misteri itu.

"Apa sahaja yang dilakukan pasti salah itu akan diletakkan ke atas si bunian misteri dan perkara ini hanya berada dalam pengetahuan beta. Hingga kini jikalau seseorang pemuda gagal disembunyikannya, dia akan mencederakan pemuda tersebut dengan gaya tarung si bunian misteri agar mudah menaruh salah laku itu kepada bunian tidak bersalah itu." Ratu Gemala menghabisi bicaranya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now