Kisah - 36

1K 132 29
                                    

Sang Merpatika merendahkan tubuhnya dari terbang di langit dengan menggoncangkan pepohon besar berdekatan dengan tempat Dahlia berada. Dirinya menyedari kehadiran lelaki misteri tidak diundang sedang menghendap Dahlia secara rahsia namun memandangkan kewujudannya tidak boleh diuar-uarkan, Merpatika hanya mampu melakukan sebegitu bagi menghalau pergi lelaki misteri itu.

Matanya sempat menangkap kelibat lelaki itu sebelum dia segera menunggang kudanya membawa diri pergi dari situ risau kehadirannya disedari Tuanku Puteri Seri Dahlia. Biarpun burung gergasi itu tidak dapat dilihatnya, namun goncangan pohon sebegitu hebat di tempat persembunyiannya itu mampu menarik perhatian Dahlia yang sedang berlatih memanah.

Sebaik sahaja lelaki misteri itu pergi membawa diri, merpati perlahan-lahan mendarat dan menapak ke lantai hutan dengan selamat.

"Rum Aspalela..." Perlahan kata itu meniti di paruh Sang Merpatika. Kenal benar dia dengan adipati Wantachitra itu. Namun apakah tujuannya menghendap Dahlia sebegitu rupa?

Lama Merpatika leka dalam fikirannya bermonolog sendirian sehinggalah tiba-tiba dirinya dihentak ilham. Segera dia menoleh memandang Dahlia yang masih khusyuk berlatih tanpa henti. Dia.menepuk dahinya.

'Aduh! Parah!' Senandikanya mengeluh berat. Musnahlah rahsia mereka sekiranya Rum Aspalela melihat bagaimana Dahlia tidak tahu menahu dalam ilmu memanah. Pasti dia dapat mengenal pasti tentang kepalsuan gadis itu sekiranya kemahiran memanah Dahlia yang kelaut itu dilihat Aspalela.

Sang Merpatika kemudiannya berjalan setapak demi setapak menuju ke arah Dahlia. Hatinya berharap agar kemahiran memanah Dahlia yang masih tidak lincah ini tidak terbongkar kepada Rum Aspalela. Sudahlah puteri sebenar begitu mahir dalam memanah, tiba-tiba puteri yang terlihat sama pula terkial-kial dalam kemahiran memanah ini.

Perlahan Merpatika muncul dari belakang Dahlia. Biarpun derap tapak kakinya diusahakan sehabis baik untuk tidak menimbulkan sebarang bunyi, tetap kehadirannya di situ disedari Dahlia. Segera gadis itu menoleh ke belakang memandang gurunya.

Serta-merta latihannya dihentikan. Seluruh tubuh dipalingkan menghadap Sang Merpatika sebagai adab terhadap guru. Dahlia memegang busur dengan kedua belah tangannya sambil memandang lantai hutan. Masih buntu mahu memberi respons apa bagi memulakan bicara.

"Sepertinya bicara Ku dapat kau hadam sebaiknya." Sang Merpatika terlebih dahulu melontar bicaranya dengan nada lembut dan sederhana. Sungguh anak muridnya sudah belajar dari kesilapan maka tiadalah perlu untuk dia menegurnya lagi.

Dahlia hanya tersenyum nipis sambil matanya tetap merenung lantai hutan. Dia bukan takut mahupun masih merajuk dengan Sang Merpatika, cuma padanya mungkin burung gergasi itu perlu dia layan dengan penuh beradab kerana sungguh merpati itulah gurunya buat ketika ini. Bagaimana mahu menuntut ilmu tanpa adab dengan guru sendiri tidak dilaksanakan?

Merpatika mendengus perlahan sebelum membuka kembali bicaranya. "Pertelingkahan antara Jentayu dan Garuda di atas puncak Gunung Tasik Gerhana Berdarah pada malam gerhana penuh membawa kepada pertumpahan darahnya Sang Garuda yang kemudiannya menukarkan seluruh air tasik hingga ke sungai menjadi merah pekat."

"Namun Garuda tidaklah mati, cuma keadaan dirinya terlalu parah ketika itu akibat kehilangan darah terlalu banyak. Peristiwa itu disaksikan ramai penduduk kerana air sungai ini dahulunya menjadi sumber kegunaan harian mereka namun pada hari tersebut, airnya yang bertukar menjadi lautan merah berdarah menimbulkan tanda tanya ramai pihak."

"Sejak itulah gunung ini digelar Tasik Gerhana Berdarah kerana peristiwa ini terjadi tatkala langit menjadi merah akibat gerhana bulan penuh berlaku ketika itu dan air sungai turut berubah menjadi merah. Hingga kini ianya masih dalam ingatan penduduk." Sang Merpatika menghabisi bicaranya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now