Kisah - 29

1.2K 167 50
                                    

Sang Jentayu meletakkan sebungkus kain besar di lantai gunung.

"Ini pakaian Tuanku Ratu Melawati sediakan buat beberapa hari kau berada di sini." Kata Jentayu seraya menolak bungkusan kain itu kepada Dahlia menggunakan paruhnya.

"Apakah Tuanku tahu tentang keberadaanku di sini?" Soal Dahlia sambil tangannya membuka ikatan bungkusan yang berisi beberapa helai pakaian itu.

Sang Jentayu hanya mengangguk. "Usah risau, Tuanku tidak akan membuka rahsia." Balas Jentayu lagi sambil bergerak mengambil tempat di sebelah Dahlia. Kemudian dia menoleh memandang sekeliling.

"Aku tidak melihat Sang Merpatika. Di manakah dia?" Kelibat Si Apam putih itu langsung tidak tertangkap mata, ke mana dia menghilang? Disuruh melatih Dahlia tiba-tiba dia menghilangkan diri pula.

Dahlia hanya tertunduk perlahan mendengar soalan yang diajukan Sang Jentayu itu. Tidak tahu mahu mula cerita bagaimana. Hubungan mereka yang tidak baik bakal mendatangkan gusar di hati Jentayu maka sebaiknya dia khabarkan sahaja perkara sebenar atau pendam dan selesaikan sendiri?

"Apakah kalian bermusuhan?" Bagaikan mendengar bicara senandika Dahlia, Sang Jentayu menghadam keadaan dengan tepat. Terkedu Dahlia dibuatnya tidak tahu mahu beri reaksi bagaimana memandangkan rahsia sudah terbongkar walau tiada bicara dilontarkan lidah.

Gadis itu hanya mendengus kecil sambil pandangannya jatuh ke tasik oren kemerahan itu. Sang Jentayu seolah memahami, dia turut sama mengeluh perlahan memandangkan diri sudah dapat menghadam keadaan dengan baik.

Suasana sunyi seketika. Masing-masing membisu kekal membatu mengunci mulut dari melontarkan bicara. Tasik Gerhana Berdarah oren kemerahan itu ditenung mereka bagaikan mahu tembus. Sungguh letih terpancar pada wajah kedua insan itu.

"Pertama kali aku bertemu Sang Merpatika, sukar juga untuk aku bersahabat dengannya..." Sang Jentayu memecah sunyi membuka bicara. "Memandangkan perangai dan karenahnya yang tidak mesra dan terlalu kasar itu." Bicaranya disambung.

Dahlia hanya diam memasang telinga. "Jujur aku katakan, memang sukar untuk bersahabat dengannya." Bicaranya dihentikan sejenak menyusun ayat seterusnya untuk dilontarkan kepada Dahlia.

"Namun..."

"Dia tetap baik." Pendek bicaranya disambung sebelum mulutnya kembali dikunci. 

"Garang dan kasar tidak bermakna jahat Dahlia..." Lembut nasihat Sang Jentayu menyusup masuk ek telinga Dahlia. Hatinya tersentak.

Pedih mencengkam tatkala jiwa terluka ini harus memaafkan tanpa dirawat terlebih dahulu. Berdarah namun tidak menitis darahnya. Sukar untuk mencabut panahan yang meretakkan hati tanpa darah mengalir sama. Memaafkan memang tidak mudah.

Sungguh hati ini harus sempurna sebelum memaafkan dan hati yang sempurna adalah hati luka yang telah dirawat sehabis baik. Apakah hati yang berlubang sana sini mampu memaafkan orang lain?

Hati sendiri pun retak berdarah inikan pula mahu menjaga hati orang lain.

"Aku tidak tahu apa yang terjadi di antara kalian hingga sebegini luka hati kau dibuatnya namun ingin aku khabarkan pada kau sesuatu." Sang Jentayu memandang langit yang sudah bertukar biru tua. Hari makin gelap, maghrib datang bertandang menerjah alam.

Dahlia menoleh memandang Sang Jentayu menanti bicaranya disambung.

"Apakah kau sedar bahawa kau diselamatkan daripada terjatuh di lereng bukit tempoh hari?" Jentayu mengajukan soalan sambil matanya tetap tidak berkalih dari memandang dada jumantara yang terbentang luas.

"Ya, mengapa?" Dahlia membalas soalan dengan soalan.

Jentayu pula menoleh memandang Dahlia. Paruhnya mengukir selukis senyuman manis. Bicara tidak dilontarkan hanya pandangan yang diberikan kepada Dahlia membiarkan gadis itu mencari jawapan sendiri.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now