Kisah - 48

616 85 18
                                    

"Psst! Psst! Merpatikaaa!" Bisik Dahlia perlahan tetapi dalam nada separa menjerit menyeru nama sahabatnya itu. Selamba dia menghilang begitu sahaja. 'Aku ini di sini? Sudah dilupakankah?' Dengus hati kecil Dahlia bengang.

Berkerut-kerut dahi Dahlia mencari kelibat Si Apam itu. Biarpun bulunya putih, tetap tidak kelihatan di sebalik gelap malam itu. Ternyata Merpatika kini ghaib sementara daripada pandangan mata kasar Dahlia. Entah bagaimana namun mereka berdua masing-masing tidak menyedari akan hal itu.

Seorang sedang berusaha mencari, seorang lagi khusyuk dalam bicaranya bersama Tuhan. Dahlia kekal terpinga-pinga di sisi kapal tinggi yang gelap itu. Hanya terdapat sebuah ruang lain di bahagian tengah kapal yang tidak bercahaya kerana tiada satu jasad pun berada di situ ketika ini.

Dahlia yang semakin gelisah akibat gagal mencari sahabatnya itu cuba mengubah cara menggunakan alternatif lain untuk keluar daripada kapal itu. Perlahan-lahan dia mendekati ruang tengah kapal yang bagaikan sebuah bilik sambil terdapat sebatang tangga untuk turun ke bawah bahagian badan kapal. Laluan itulah yang digunakan Laksamana Khoja untuk turun ke bawah dan keluar dari kapal tadi.

Gelap gelita tanpa cahaya ruang bilik itu. Dahlia hanya menghendap di sebalik tingkap bahagian luar kerana telinganya menangkap bunyi riuh-rendah suara orang-orang kapal dari bahagian bawah. Sungguh mana mampu dia mencabut lari dalam kerumunan orang ramai tanpa kehadirannya disedari.

Sedang leka dalam lautan buah fikirannya, tiba-tiba telinga menangkap satu bunyi yang semakin jelas suaranya seolah suara itu sedang datang menghampiri ke arah ruangan tersebut. Dahlia cemas. Segera dia menundukkan seluruh tubuh menyembunyikan dirinya di sebalik dinding yang menjadi pemisah antara dalam bilik dan luar bilik tersebut.

Kini ruangan itu disinari cahaya terang dari dua buah lampu minyak tanah. Jebat menarik kerusinya sambil mempelawa Arjuna untuk melabuhkan punggung terlebih dahulu. Dahlia kekal membatu menutup mulutnya dengan kedua tangan mengelakkan dari terpacul keluar sebarang suara. Peluh gusar mengalir perlahan di dahinya.

"Baiklah, atas urusan apa kalian datang ke mari?" Jebat membuka mulut terlebih dahulu. Kesemua jarinya dicantumkan bersama sambil tangannya diletakkan di atas meja bulat perbincangan mereka tanda bersedia mendengar bicara dari tetamunya itu.

Arjuna mengeluarkan sepucuk surat dari kantung lainnya. Kertas itu diseret di atas meja dihulur kepada Jebat. "Tiada apa. Urusan hanya berkenaan tentang kebenaran membawa lebih daripada satu kapal Tarawangsa berlabuh di pelabuhan utama Wantachitra atas asbab Keraian Setiga Serangkai yang memerlukan beberapa unit tentera turut sama hadir ke keraian tersebut." Balas Arjuna melontar hajatnya.

Dahlia terkesima dalam persembunyiannya. Arjuna!

Suara itu mirip Arjuna. Hatinya terpaut sedikit lega hingga dada membuak dengan tekanan tinggi menyebabkan matanya bagaikan berkaca tatkala telinganya menangkap suara insan yang amat dikenalinya itu. Saat dia menyangka dirinya sudah sesat akibat Merpatika yang tiba-tiba hilang tanpa dikesan meninggalkannya begitu sahaja, hati Dahlia dipaut lega menyedari kehadiran Arjuna di situ.

Namun dirinya juga masih belum pasti sama ada suara itu benar-benar milik Arjuna atau sekadar kebetulan untuk insan lain yang mempunyai suara sebegitu. Dahlia berpusing menghadap dinding kembali. Perlahan-lahan dia menaikkan sedikit kedudukan kepalanya cuba mengintai disebalik tingkap memastikan kebenaran firasat hatinya.

Hanya kedua mata Dahlia kelihatan disebalik tingkap. Tepat sekali tekaan Dahlia, memang benar pemuda tadi adalah Arjuna. Akibat leka bertarung antara mimpi dan juga nyata, Dahlia langsung tidak memberi tumpuan terhadap bicara antara Arjuna dan Jebat.

Matanya tidak berkalih dari memandang Arjuna. Langsung terlupa untuk menjaga pandangan. Sungguh dia tidak percaya bahawa pemuda itu benar-benar Arjuna. Bukan itu sahaja, malah Arjuna juga kelihatan sudah sihat seperti sediakala.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now