Be the Best, Beat the Rest I

166 20 0
                                    

Tinggal lagi dua minggu sahaja lagi sebelum cuti musim panas bermula. Di kala setiap pelajar mula berantisipasi dan seronok dan tidak sabar untuk bercuti, ternyata berita baik itu digugat oleh sebuah berita buruk. Walau pun sebenarnya telah diberi notis sebulan lebih awal, para pelajar tidak pernah mengambil serius tentang notis itu sehinggalah seminggu sebelum notis itu dilaksanakan kelak.

Berita buruk yang merangkap notis tersebut ialah Peperiksaan Pertengahan Tahun.

Jika bagi sekolah lain, peperiksaan ini tidaklah begitu dititik beratkan sehingga ada pertukaran kelas atau markah dan gred terkumpul dibawa ke peperiksaan akhir tahun. Namun sistemnya berbeza dengan Aster High. Perkara yang lebih buruk boleh berlaku seandainya keputusan yang diperoleh amat mengecewakan. Anda perlu mengambil peperiksaan ulangan untuk membaiki keputusan dan pada masa yang sama, cuti musim panas akan dipendekkan. Ini bermakna kalau orang lain ada empat minggu cuti, pelajar yang ambil peperiksaan ulangan akan hanya bercuti selama dua minggu! Sekolah memang cuti, tapi cikgu peperiksaan yang akan uruskan peperiksaan itu.

Menyeramkan, bukan?

Itulah apa yang Bomi rasakan saat dia mengetahui bahawa dia adalah di antara pelajar yang menduduki tempat paling corot dalam kelas.

Aster High memang kejam. Mana taknya, setiap kali menjelang peperiksaan – lebih tepat lagi tiga minggu sebelum peperiksaan- sebuah carta kedudukan dalam setiap tahun akan dipaparkan di papan kenyataan yang letaknya di bahagian koridor pintu masuk sekolah. secara tidak langsung, para pelajar akan melihat nama mereka setiap kali mereka melangkah masuk dan keluar sekolah. Menurut pengetua, rasionalnya adalah untuk memberi gambaran awal kedudukan mereka di dalam tahun masing-masing dan seterusnya sebagai pemangkin semangat agar mereka lebih rajin dan bersedia untuk peperiksaan akan datang.

Walau bagaimanapun, bagi Bomi, carta itu sangat memalukan. Pertama kali Bomi melihatnya adalah ketika dia dan Hayoung baru tiba di sekolah. Mereka sedang menuruni tangga koridor apabila Hayoung menyiku lengannya, tangan menunjuk ke arah kumpulan pelajar yang menghurung papan kenyataan. Ianya sangat menghairankan kerana papan kenyataan itu bagai ada sesuatu yang halimunan dan tidak pernah disedari sebelum ini; dan sekarang tiba-tiba ianya seakan-akan sebuah paparan yang berharga, seperti ada lukisan yang istimewa pula di situ.

Tidak semena-mena Bomi terasa seperti berpuluh-puluh panahan petir menyambarnya dan Bomi dapat rasakan pancainderanya dikejutkan lalu bingkas dia terbangun dari lena yang panjang.

Itulah dia.

Carta Kedudukan Pra-Peperiksaan.

Lantas Bomi berlari meninggalkan Hayoung yang turut berlari-lari anak bagi menyamakan langkah mereka. Dia merempuh pelajar-pelajar itu dengan aksi ala-ala renang. Sekali-sekala dia meminta izin untuk memintas laluan kepada senior. Terjerit-jerit dia cuba bergerak mencelah-celah di antara mereka. Dia akhirnya berjaya sampai di bahagian paling hadapan, tidak menghiraukan kata-kata kesat oleh mereka yang dilanggarnya. Hayoung berada tidak jauh daripadanya dan ketika Bomi menemui namanya di carta itu, Hayoung tiba dengan nafas naik turun dek tercungap-cungap.

"Jangan tengok!" Halang Bomi lalu menutup namanya dengan jari. Hayoung memasamkan muka sambil anak matanya mencari-cari namanya sendiri. Wajah Hayoung semakin muram setelah anak matanya terhenti pada suatu tempat. Bomi andaikan kedudukan Hayoung juga tidak berapa baik.

"Nama aku tak ada dalam senarai top 50." Rungut Hayoung seraya meneliti nama di atas dan bawah jari Bomi. "Kau dapat nombor 99."

Bomi terus merenung Hayoung dengan perasaan gerun mendengarkan kedudukannya kini. Dia bertambah gerun apabila terdengar suara Baekhyun- yang menyuruh pelajar agar lekas ke dataran perhimpunan- semakin dekat dengannya. Semakin dekat suara Baekhyun, semakin panik Bomi dibuatnya. Dia tidak akan benarkan Baekhyun melihat namanya berada di dalam senarai yang corot. Ia sangat memalukan kerana hanya dia seorang saja yang berada di Top 100. Sudah tentu Chorong dan Namjoo masing-masing berada dalam senarai top 5 di mana Chorong berada di tempat kedua dan Namjoo di tempat kelima. Naeun pula jelas sekali berada di Top 20 dengan menduduki nombor 11. Walaupun Hayoung berada dalam Top 50, kedudukannya adalah pada nombor 43; iaitu berada di tengah-tengah carta dan masih boleh dikira selamat. Kedudukan Bomi pula amat berbahaya dan dia tidak mahu mengulang peperiksaan pada hari cuti musim panas kalau dia tidak berjaya untuk kekal dalam senarai Top 100.

[C] Aster High Student Council | EXOPINKWhere stories live. Discover now