Percutian Musim Panas II

129 22 0
                                    

Mereka tiba di Jeju tiga jam kemudian dan telah dijemput oleh pakcik Kai yang bernama Jungshin. Lelaki berusia 40-an itu masih tampak muda meskipun rambutnya sudah separuh beruban, kulit bertukar sawo matang dek tinggal di tepi pantai dan pakaiannya serupa seperti nelayan sekitar. Bezanya dia merupakan seorang pemilik resort yang bertaburan di seluruh Pulau Jeju. Dia terus membawa mereka ke sebuah daripada resortnya di bahagian timur Jeju, kerana dakwanya resort itu punya pemandangan paling cantik dari resort lain.

Benar katanya. Chorong senyum sendiri saat melangkah masuk ke dalam chalet sederhana besar yang berdiri kukuh di atas kayu tercucuh ke dasar laut. Dindingnya diperbuat daripada papan, ruang tamu tampak selesa dan hangat, sebuah sofa putih terletak kemas di tengah ruang bersama sebuah meja kopi berwarna hitam. Sebuah televisyen 24 inci terlekat di dinding bertentangan dengan sofa. Tiga buah lukisan bermotifkan lautan digantung berdekatan dengan lorong ke dua buah bilik.

"Wow." Sebut Hayoung teruja sambil menarik beg pakaiannya ke dalam chalet itu. Bomi yang mengekori dari belakang sudah terlompat-lompat tidak sabar hendak menuju ke bilik.

"Aku nak pergi mandi dulu." Umum Namjoo lalu terus menuju ke bilik pertama yang betul-betul bersebelahan dengan ruang tamu.

Chorong turut sama melangkah ke bilik yang bersebelahan dengan bar dapur mini. Dia membuka pintu bilik yang bertentangan dengan Namjoo dan mendapati dirinya rasa makin teruja. Bilik yang luas itu sememangnya amat hebat. Ada sebuah katil queen di tengah dan sebuah katil bujang di hujung dinding. Balkoni yang punya sliding glass betul-betul menghadap lautan yang membiru. Dinding bilik itu bercat biru laut, kontras dengan cadar, selimut, dan langsir yang berwarna putih. Persis warna laut dan awan. Satu persatu langkah Chorong membawa dirinya ke arah balkoni lalu sliding glass itu di tolak. Ada sebuah meja kayu bulat di sebelah kirinya yang lengkap dengan dua buah bangku. Di sebelah kanan pula ada kerusi gantung yang terbuai sedikit di tiup angin. Chorong meletakkan beg galasnya ke atas meja dan terus ke kekisi balkoni.

Memandangkan chalet yang mereka duduki itu dibina dua tingkat, di mana tingkat bawah adalah pangkin khas untuk aktiviti barbeku, Chorong meninjau pemandangan di tingkat bawah. Di bawah, dia bisa melihat Kris membelai kepala Naeun sebelum gadis itu melambai ke arahnya. Chorong melambai kembali dan terus membawa pandangan ke sekitar. Dia terlihat Luhan, Xiumin dan Chen bergelak ketawa di tingkat bawah chalet sebelah. Mereka duduk melepak di sebuah bangku piknik panjang yang dibina sekali dengan meja yang sama panjang. Tawa mereka bergema di seluruh angkasa dan tawa Luhan yang paling kuat sekali. Tanpa sedar Chorong turut tersenyum kecil.

Kepalanya teralih menghadap ke chalet sebelah kanan pula. Dia nampak Suho dan Kai berbincang sesuatu yang serius di tingkat bawah. Riak serius Suho terus bertukar teruja apabila Kyungsoo dan Tao melangkah ke arah mereka, sambil mereka menjinjit dua bakul buah oren yang mereka dakwa di beri oleh makcik-makcik yang mereka temui setelah mereka berdua bersiar-siar di pekan. Bukannya Chorong curi-curi dengar tapi suara Tao yang kuat sangat sampai dia boleh dengar di tempat dia berdiri.

Kemudian anak matanya beralih ke tingkat atas dimana seorang lelaki turut sama memerhati lautan sama sepertinya. Sosoknya tinggi lampai. Tanpa ada kaca mata dan topi yang menutup kepala, mata dan rambutnya tampak bersinar dipanah cahaya mentari petang. Lelaki itu menongkat dagu di hujung kekisi, belakang sedikit membongkok dek ketinggiannya dan wajahnya melukiskan seribu satu persoalan.

Seperti tersedar dirinya diperhatikan, dia menoleh sekilas, senyumnya sesaat tapi Chorong pasti dan yakin lelaki itu baru sahaja melemparkan senyuman yang amat cantik. Antara yang paling menarik Chorong pernah saksikan.

Dadanya tiba-tiba bergendang. Merasakan pipinya mula hangat, Chorong mengalihkan pandang. Dia menatap langit biru dan mengerling dari hujung mata. Dia dapati lelaki itu masih melihatnya. Sayu. Sebelum pandangan itu turut sama terarah ke langit biru.

[C] Aster High Student Council | EXOPINKWhere stories live. Discover now