Bahagian 01

26.6K 1K 38
                                    

Bilah kipas berputar laju. Berangin sahaja udara bilik ini. Tadi sebelum dia duduk di meja kerjanya tak adalah rasa gementar sebegini, apabila tuan punya bilik dah masuk dan duduk betul-betul mengadap katil di mana aku sedang berbaring. Terasa tak mampu bergerak pula tubuh badan ini.

“Kepala dah tak sakit, bolehlah masuk bilik sendiri.”

Mulutnya bergerak. Tangan ligat menekan papan kekunci. Mata langsung tidak singgah memandangku. Seolah-olah bercakap dengan skrin komputer, bukan dengan aku.

“Saya nak beransur keluarlah ni.” Aku sekadar berbasi-basa.

Perlahan-lahan aku turunkan kaki mencecah lantai. Pening dah hilang. Bolehlah masuk bilik sendiri. Aku ajuk semula di dalam hati ayat dia tadi.

“Lain kali nak pengsan, jangan pengsan depan aku.”

Eeeii... tetiba rasa menyampah! Ingat dia lelaki terlajak laris ke sampai aku terkinja-kinja nak pengsan depan dia?

Tombol pintu aku pulas. Tidak balas pun pesanan penaja tadi. Tiada kepentingan bagiku untuk melayan anak angkat Ayah Jin ni.

“Dengar tak aku kata apa tadi?”

Aku mencemik.

Paling ke arah meja kerjanya. Pandang dia dengan senyuman paksa. Dia balas pandangan aku tetapi dengan wajah tanpa ada apa-apa perasaan. Beku dan kejung sahaja.

“Terima kasih sudi tumpangkan katil tadi.” Pintu bilik segera aku tutup. Malas hendak berbalah dengannya. Buang masa.

Pengsan tadi pun dah buang masa. Mesti Eiya tertanya-tanya kenapa aku tidak balas pesanan WhatsApp dia tadi walaupun aku sudah baca.

Aku raba poket sisi seluar. Kosong. Aku raba poket belakang pula. Tiada.

Alamak, mana hilangnya telefon cabuk aku?

Sedang ralit meraba tubuh badan, pintu bilik dikuak semula. Muncul Eimad. Dia pandang aku. Aku pandang dia. Terkelip-kelip mataku apabila Eimad masih tak berkata apa.

“Cari ni ke?”

Telefon cabuk aku ada dengan dia rupanya. Aku cuba capai tetapi Eimad terkap pada dadanya pula. Tidak mahu aku merampas daripadanya.

“Cuba minta elok-elok, ni main rampas sahaja. Memang suka macam tu ke?”

Aku renung tajam. Tahulah aku ni perampas. Merampas impiannya selama ini. Memang padan muka dengan dia sebab kahwin dengan perampas macam aku.

“Nah, lain kali cuba minta baik-baik. Bukannya aku tak nak bagi.”

Aku ambil telefon yang dihulur. Eimad masih menempel di muka pintu biliknya. Aku belek skrin telefon. Perhati jika ada notifikasi yang masuk selama aku pengsan tadi.

Membulat mata apabila sedar jam di skrin telefon sudah menunjukkan pukul empat petang. Rasanya aku jatuh pengsan tadi selepas aku solat zuhur. Gila lama aku tidak sedarkan diri.

“Oh ye, aku ada jawab panggilan tadi. Eiya. Dia tanya kenapa tak jadi keluar hujung minggu ni, aku jawablah kau nak final exam. Tak boleh keluar.”

“Eiya ada kata apa lagi?”

“Entah, aku tak ingat. Yang aku ingat dia ada sebut nama Bai tadi. Siapa Bai?”

Bai tu Ubaidillah. Kawan satu matrik dahulu. Sekarang, kami satu kuliah di kolej.

“Cuba jawab dengan mulut, ingat aku boleh dengar isi hati kau tu?”

Aku garu belakang kepala.

“Dia kawan.”

“Kawan?”

“Kawan. Ya, kawan.”

Eimad tidak bertanya lagi. Mungkin tidak suka jawapan yang aku beri.

“Jangan kawan dengan lelaki lain.” Pintu bilik ditutup semula.

Banyak betul pantang larangnya. Tadi tak bagi aku pengsan depan dia, sekarang tak bagi aku berkawan dengan lelaki lain. Ingat dia Ayah Jin ke boleh arah aku sesuka hati.

“Lagi satu.” Suara Eimad dari dalam bilik menyapa cuping telingaku lagi.

Terdiam aku apabila pintu bilik dikuak dengan tiba-tiba. Eimad munculkan diri semula.

“Jangan keluar dengan Eiya kecuali aku ada sekali.”

“Boleh tak jangan cuba nak kongkong saya? Saya pandai jaga diri sendiri, sebelum ni pun saya memang dah biasa berkawan dengan mereka berdua.”

“Itu sebelum kau jadi isteri orang, mulai hari ini. Sebetulnya seminggu aku dah jadi suami dan kau dah jadi isteri. Tolong jaga maruah aku sebagaimana aku jaga maruah kau.”

Aku akur. Akur sebab dia keluarkan frasa suami dan isteri. Ingat dia tidak pernah anggap aku sebagai isterinya. Aku angguk perlahan sebelum membuka langkah.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now